BAB 10

3 0 0
                                    

Hujan rintik bertukar lebat. Jane masih berada di halaman rumah meski berkali-kali nenek menyuruhnya untuk masuk ke dalam.

Entah. Dia lebih suka berada di luar rumah, mendengar bunyi titisan hujan jatuh ke tanah. Melihat pemandangan yang kini dihiasi biasan hujan.

Ketika Jane sampai ke rumah setelah bertemu Mama dahulu, nenek hampir menangis. Wajahnya pucat lesu. Barulah Jane tahu bahawa nenek sudah gelisah selama dia bertemu dengan Mama.

Dalam perjalanan pulang, nampak Juna berpeluh-peluh seperti mencari sesuatu. Dan sesuatu itu ialah Jane. Kata Juna, nenek terlalu khuatir akan Jane kerana belum pulang sejak keluar rumah dari tengahari. Bimbangnya nenek berjangkit kepada Juna pula.

Semenjak itu, Jane rasa sedikit canggung dengan Juna. Apatah lagi apabila teringatkan pesanan Mama. Cukuplah sekadar berteman. Sudah tentu Jane akan ikut pesanan Mama.

Jane mengambil payung di dalam rumah. Nenek nampaknya sedang sibuk dengan pukatnya. Kata nenek, musim landas sudah berada di penghujung. Banyak nelayan pantai sudah mula turun ke laut.

"Nek, Jane ke warung Pak Dol dulu, ya? Mahu beli telur." Dia meminta izin. Baru tersedar bahawa telur ayam dalam rak dapur sudah tinggal sebiji. Sebenarnya, Jane mahu bersiar-siar di sekitar pantai dalam hujan. Mahu menikmati suasana. Tidak tahu alasan apa yang hendak diberikan kepada nenek, akal tiba-tiba teringatkan tentang jumlah telur ayam yang tinggal satu.

Rezeki!

"Hujan, nak. Nanti-nanti aja."

"Jangan risau, nek. Jane bukan kambing." Gelak Jane lalu melangkah keluar. Nenek tidak mampu melarang cucu. Cucu sudah besar, kadang-kadang pasti rasa jengkel juga jika terlalu mengongkong.

Dalam derasnya hujan, Jane memasang fon telinga di sebalik selendang di bawah perlindungan payung hitam itu. Lagu 'Tentang Bunga' oleh Romantic Echoes bergema di gegendang telinga. Titisan hujan menuruni hujung payung, jatuh ke tanah merecik sedikit ke seluar.

Sehinggalah kaki berhenti tepat di hujung jambatan, tempat yang sama dia melambaikan tangan kepada Mama.

Fikiran menerawang pada hari dia dan Mama bertemu kemudian berpisah kembali. Dari hujung jambatan, dia masih ingat ada seorang lelaki yang dia kenali sedang menunggu Mama di luar kereta. Entah bagaimana lelaki itu boleh berada di situ, dia juga tidak tahu.

Yang penting, lelaki itu adalah lelaki yang sama yang duduk di restoran bersama Mama dahulu.

Siapa lelaki itu?

Jane menyoal diri sendiri. Tidak pernah sekalipun dia berjumpa atau terserempak dengan lelaki itu. Dia cam wajahnya lalu disimpan rapi-rapi dalam kotak memori. Kotak memori ini yang akan dibuka jika perlu.

Mata tiba-tiba menangkap seorang anak kecil sedang berjalan kaki dalam hujan. Beg sekolah nampak berat digalas di belakang tubuh yang kecil itu. Tangan kecil memegang tali jambatan sambil kepala ditundukkan.

Jane menghampiri kanak-kanak itu. Payung yang melindungi diri didekatkan ke anak kecil. Wajah itu mendongak. Tampak terkejut. Cepat-cepat Jane hadiahkan senyuman manis untuknya. Dia masih ingat pesanan Puan Fazimah, penceramah dalam salah satu program di universitinya ketika dia masih seorang mahasiswi.

"Berhadapan dengan anak kecil, perkara utama yang perlu kamu teliti adalah tatapan pertama mereka. Sebaik sahaja, mata mereka bertentang dengan kamu, hadiahkan senyuman yang paling manis. Tunjukkan imej ramah mesra kalian. Itu senjata utama untuk menakluki raksasa muda dalam diri mereka. Ingat itu."

Jauh Lebih SempurnaWhere stories live. Discover now