BAB 14

7 0 0
                                    

Jane mengikut Melur dari belakang. Anak kecil itu benar-benar gembira apabila dia ikut bersama. Entah ke mana dia hendak dibawa. Petang-petang begini, selalunya dia ke pantai. Tetapi, kerana Melur, dia menukar rancangan. Mahu ke bukit, kata Melur.

Melur tiba-tiba berhenti di suatu tempat. Kawasan hutan berdekatan dengan bukit. Ada sebuah lorong dengan tangga usang menuju ke atas. Jane menghampiri kawasan tersebut.

Di dalamnya, kiri kanan ada pohon-pohon dengan akar tebal seperti sedang berkawad.

"Tangga ini untuk naik ke bukit?" Soalnya kepada Melur di samping.

"Iya kak. Mari naik." Belum sempat Jane hendak bertanya lanjut, Melur sudah terlebih dahulu menaiki anak tangga itu cepat. Lincah kaki kecil menaiki satu persatu anak tangga itu.

Jane membuntuti Melur. Pohon-pohon di sini memang agak besar-besar. Usianya pasti lebih tua daripada Jane sendiri. Nampak sungguh langka jika hendak dibandingkan dengan pohon di tepi jalan raya di kota.

Hidung diangkat tinggi-tinggi untuk menghidup kesegaran udara. Aroma tanah semula jadi dikombinasikan dengan dedaun hijau. Sempat tangan menyentuh daun-daun yang berjuntai dari dahan-dahan yang rendah.

Beberapa anak tangga ke permukaan, dingin mula terasa menyucuk lembut tulang temulangnya. Sehinggalah habis anak tangga hendak dipijak.

Jane meluaskan anak matanya.

Dari atas bukit, Jane dapat lihat dengan jelas keadaan di seberang kota dan di pulau ini. Di seberang kota, lampu-lampu di tepi jalan sudah mula menyala. Gerobak-gerobak jualan turut sama berangkat pulang. Motosikal berdesas-desus seperti sedang berlumba-lumba untuk kembali ke destinasi. Kereta-kereta, mesti agak kurang bilangannya di atas jalan raya, turut sama menghuni jalan.

Pasar kota Maluku yang berada jauh samar-samar kelihatan sudah dipenuhi dengan sinar lampu putih. Dan di pulau ini, dia dapat lihat ada beberapa orang nelayan yang sedang menolak bot masing-masing ke persisiran pantai. Ada yang membawa ikan pari yang lebih besar daripada tubuh sendiri, ada yang membawa sotong sepanjang lengan tangan. Dan ada yang pulang dengan tangan kosong.

Lumrah mencari rezeki. Kadang ada, kadang tiada.

Langit biru mula memudar. Digantikan perlahan-lahan dengan ungu bercampur merah jambu. Matahari belum tenggelam sepenuhnya. Angin sepoi-sepoi menampar lembut kulit wajah. Indah!

Tiba-tiba, dia teringatkan Melur. Lantas mata mencari Melur. Senyum sendiri tatkala gadis itu sudah duduk di bangku kayu sambil pandangan dilemparkan ke hadapan. Jane menghampiri lalu melabuhkan duduk di sebelah Melur.

"Ini tempat rahsia Melur?"

Melur angguk dengan penuh antusias. "Bukan Melur seorang." Melur memuncungkan bibir ke suatu arah. Ada seorang lelaki yang turut duduk di bangku seperti mereka sedang membaca buku. Tangan memegang pensel sependek jari kelingking. Sekejap-sekejap, dia melarikan mata pensel ke atas kertas buku.

Jane mengecilkan matanya. Ingin melihat dengan jelas wajah itu. Itu... bukankah remaja lelaki yang pernah dia cerobohi beg di pantai dahulu? Dia mula mengingati kejadian dahulu.

"Ini juga tempat rahsia abang Juna." Melur senyum menampakkan gigi. Ada rompong dua bahagian tengahnya buatkan Jane senyum lucu.

"Tempat ini tempat yang berharga. Pemandangan ini, harganya boleh mencecah puluhan juta."

"Mahal sekali, kak."

Jane ketawa kecil. "Mahal kerana udara sesegar ini jarang sekali di kota. Udara semula jadi tanpa campuran bahan berbahaya." Dia tarik nafas dalam-dalam. Paru-paru seperti sudah berjoget riang. Suka dengan tetamu kali ini.

Jauh Lebih SempurnaTahanan ng mga kuwento. Tumuklas ngayon