BAB 20

6 0 0
                                    


Semenjak kejadian itu, Jane jarang ke pantai lagi. Bimbang jika bertembung dengan Saifuddin. Juna juga yang menasihatinya untuk berbuat demikian. Kata Juna, tunggu kemarahan Saifuddin reda dulu.

Jane hanya menurut tanpa membantah. Juna pasti lebih tahu tentang sahabat karibnya. Nenek dan Jane masing-masing sibuk duduk mencangkung untuk mencabut rumput yang tumbuh meliar di kawasan kebun mini itu. Sekali-sekala, ringan tangan mengangkat parang untuk menebang rumput yang keras kepala sekali untuk keluar dari tanah itu.

Matahari sudah naik sedikit. Peluh yang menitik diesat dengan hujung baju.

"Kebun mini ini sebenarnya hadiah ulang tahun aki buat nenek." Cerita nenek.

Jane mendengar sambil tangan tekun bekerja.

"Aki beli tanah masak di kota seberang, dia ratakan tanah itu di atas pasir sehingga agak tinggi sedikit dari permukaan pasir."

"Tanah masak itu apa nek?" Soal Jane.

"Tanah masak itu, tanah yang di atasnya berlaku pembakaran. Orang-orang kebun biasanya membakar rumput kering di atas tanah. Tanah itu bakalan subur."

Jane hanya mengangguk. Faham maksud nenek. Walaupun selama ini, dia langsung tidak pernah menanam, hanya sekadar menjadi penonton kepada Buk Wan di taman. Tangannya nampak seperti sudah sebati dengan kerja kebun ini. Seperti ini bukan kali pertama dia memegang cangkul kecil dan parang tajam.

"Nenek mahu tanam apa di sini?"

"Tanam cabe, tomat, kobis. Biar tidak perlu membeli. Jane mahu makan yang enak-enak, bukan?" Nenek sudah ketawa halus.

"Sudah tentu dong, nek." Jane turut ketawa bersama. Tangan semakin galak menebas rumput-rumput dengan parang. Membiarkan belalang-belalang meloncat ketakutan apabila tempat tinggal dicerobohi oleh raksasa yang tidak tahu asal muasalnya.

Semakin lama, tanah yang tadinya penuh dengan rumput panjang, semak samun beserta lalang, rata jadinya. Jane menepuk kedua belah tangan untuk membersihkan tanah yang melekat pada tapak tangan. Senyum bangga. Puas hati melihat kebun mini yang elok sekali kejadiannya.

Tinggal membuat batas dan menanam benih. Maka, kebun mini akan penuh dengan pelbagai jenis tanaman kemudian hari.

Nenek mengajak Jane untuk berehat. Masing-masing meletakkan parang lalu membuka kasut boot berwarna kuning ke pinggir.

"Kebun nenek boleh tahan luas juga." Jane menuangkan air putih dalam jag ke dua cangkir kaca di atas meja. Nenek sudah termengah-mengah. Dihirup air putih itu sedikit rakus.

"Bismillah, nek." Jane menegur. Nenek ketawa kecil. Kemudian, membaca basmalah.

"Dulu-dulu, kebun itu penuh dengan sayur-sayuran. Khususnya, kacang bendi. Aki engkau gemar sekali makan ulam bendi."

"Ulam bendi?"

"Kacang bendi direbus, dicicah dengan ulam. Ulamnya dibuat dari belacan yang ditumbuk dalam lesung batu bersama ikan bilis, cili dan sedikit gula. Tapi, jangan terlalu lumat ikan bilisnya. Selepas itu, ditambah sedikit cuka, ditenyeh sehingga merata dalam lumatan belacan." Nenek sudah meneguk liur kelat. Perut sudah bergeroncong luar biasa.

"Perut minta disuap, nek." Jane ketawa kecil. "Jane masak nasi dulu, ya?" Dia sudah hendak angkat dari duduknya sebelum nenek menghalang.

"Tidak usah, Jane. Hari ini, Cempaka bilang mahu menghantar makan tengahari kepada nenek. Ada lauk lebih katanya." Jelas nenek.

Jauh Lebih SempurnaWhere stories live. Discover now