BAB 30

4 0 0
                                    


Usai solat Subuh, Jane sudah berkemas. Dia hanya membawa apa yang patut dibawa. Dokumen-dokumen dimasukkan ke dalam beg totenya. Pakaian dia tinggalkan kerana pakaian di rumahnya di Malaysia cukup. Dia bakal kembali ke pulau ini juga setelah selesai urusan dengan Wan.

Di luar rumah, seorang lelaki sedang menunggunya. Berkaca mata hitam dengan tubuh yang agak berisi. Abang Paul. Lelaki yang cukup berusia itu melambaikan tangannya ke arah Jane. Jane membalas.

"Hati-hati, nak." Pilu suara nenek. Jane menyalami nenek. Dikucup belakang tapak tangan yang sudah berkeriput dimamah usia itu. Kucupan beralih ke kedua belah pipi nenek.

"Jane akan kembali, nek. Jaga diri nenek. Sayang nenek sampai syurga. Assalamualaikum," bisik Jane lembut. Nenek membalas salam cucu. Melihat air muka nenek seperti hendak menangis itu, hati Jane jadi hiba sama. Mendengar suara Abang Paul yang menyuruhnya agar cepat, dia segera menyarungkan kasut.

Dia lambaikan tangan seluas-luasnya kepada nenek.

Mereka pun berjalan beriringan. Kereta diparkir di seberang kota kerana jambatan itu tidak cukup lebar untuk laluan kereta.

"Ada apa Wan menyuruh Jane pulang ke Malaysia?" Jane menyoal. Abang Paul sangat dikenali orang memandangkan dia merupakan antara orang kuat Wan. Abang Paul memang mudah beramah mesra. Sesuai dengan imejnya sebagai seorang ahli perniagaan. Mungkin, itu juga sebabnya Wan sangat suka dengan Abang Paul.

"Nanti Jane tahu juga."

"Jane mahu tahu sekarang."

Paul tidak terus membalas. Sebaliknya, dia melirik ke arah jam tangan mewahnya. "Nanti saja." Mendengar suara Paul yang sudah berubah sedikit tegas itu, Jane tidak berani mendesak. Dia tahu, Paul bukan dalam mod bercakap dengan orang.


***


Kereta meluncur masuk ke dalam sebuah bangunan. Bangunan berwarna putih dengan perkataan Wisma Arnoult. Pejabat utama Syarikat Arnoult. Sekejap sahaja, kenderaan mewah itu sudah diparkir di tingkat paling tinggi syarikat itu. Jane tahu, mereka pergi ke pejabat Wan, Paul, dan Mama.

Dengan dua orang pengawal peribadi yang mengiringi mereka, mereka bergerak ke pintu utama. Berjalan lalu menuju ke sebuah bilik yang sangat asing dengan Jane. Dia tidak pernah menjejakkan kaki ke kawasan ini. Dia berbisik menyoal Paul. Paul hanya menggeleng kepala. Menyuruh Jane agar bersabar.

Permukaan pintu putih itu diketuk berulang kali. Tidak lama untuk menunggu pintu itu dibuka. Seorang perempuan berpakaian lengkap menyambut. Jane baca tag nama perempuan itu.

Dr. Elya.

Doktor itu tersenyum manis. Jane dan Paul bergerak masuk ke dalam bilik itu. Namun, saat melihat sekujur tubuh yang sedang terbaring atas katil itu, lutut Jane terasa lemah. Bagaikan ada gunung yang menghempap bahunya, menolaknya untuk rebah. Tetapi, dia kuatkan dirinya.

Perlahan-lahan, dia mendekat. Berdebar-debar jantungnya saat ini. Akalnya cuba memujuk hati agar jangan terlalu berasumsi.

Jelas. Jelas wajah itu sedang mengukir senyum kepada Jane. Dia mengenakan pakaian pesakit. Bibirnya lesu. Mata yang dahulu bersinar kini memudar lenyap. Yang ada hanya kekosongan. Kulit putih kelihatan pucat, menunjukkan bahawa wanita itu benar-benar sedang sakit.

"Mama." Jane menghampiri Mama. Mama yang sedang berada di atas katil pesakit itu. Mama, pemilik rahim yang dia tumpang dahulu.Mama yang dahulunya berisi kini susut sekali tubuhnya. Hatinya hancur seperti kaca yang terhempas ke batu. Berderai saat melihat keadaan orang yang paling dia sayang itu. Wayar pada bahagian lengan, yang mencucuk hidung. Sungguh, Jane ikut terseksa melihat Mamanya begitu.

Jauh Lebih SempurnaWhere stories live. Discover now