BAB 26

8 0 0
                                    

Sebulan lamanya, Jane menanti panggilan telefon dari Mama. Manusia yang paling dia rindui kala ini. Meski ada yang disembunyikan oleh wanita itu daripadanya, entah kenapa rasa rindu melebihi segalanya.

Dia mahu peluk tubuh berisi Mama. Dia mahu cium pipi Mama. Dia mahu mendengar suara Mama. Dan betapa beruntungnya manusia bernama Jane, hari ini rindunya akan terhapus jua.

Nenek sedang menyiapkan ikan masak merah. Diletakkan elok-elok ke dalam bekas makanan bersama nasi. Usai Jane memberitahu nenek bahawa dia bakal berjumpa dengan Mama tengah hari ini, nenek teruja lain macam. Dia meminta Jane untuk memberikan Mama masakannya. Sudah tentu, Jane tidak menolak. Andai saja... nenek mahu bertemu dengan Mama. Dan Mama mahu bertemu dengan nenek.

Sayang, kedua-duanya sama-sama tidak mahu mengalah. Dalam hal ini, perkara yang paling baik adalah Mama yang berjumpa dengan nenek.

Hati orang tua itu lembut. Hati orang tua itu juga keras. Harus ada cara untuk menembusi kerasnya, barulah dapat melihat kelembutannya.

Sebagaimana Jane rindukan Mama, dia pasti Mama juga pasti rindukan nenek.

Tetapi, kenapa? Kenapa terlalu sukar untuk mengalah? Atau terlalu peritkah masa silam Mama? Sehingga bayangan nenek memaafkan Mama juga tidak pernah terlintas dalam fikiran Mama?

"Nak, ini ya masakannya." Nenek letakkan beg anyam di atas meja.

"Nenek tidak mahu ikut sama?" Suara Jane seperti mengajak. Atau lebih tepatnya, merayu?

Nenek geleng kepala perlahan. Senyuman terukir di bibir.

"Jane pergi dulu, nek. Assalamualaikum." Usai bersalaman, Jane pun melangkah keluar bersama beg anyamnya.


***


Pelukan erat seperti tidak mahu dilepaskan. Ah, rindunya dengan haruman Mama!

Sepanjang perjalanan menuju ke resort tempat penginapan Mama, Jane rasa teruja lain macam. Encik Faizal memberitahu Jane bahawa keluarga papa turut ada sama di sana.

Keluarga papa kecil. Hanya ada Auntie Anne dan Uncle Joseph. Auntie Anne merupakan kakak papa manakala Uncle Joseph pula merupakan abang papa. Auntie Anne, anak sulung, Uncle Joseph, anak kedua dan papa sudah tentu, anak bungsu. Kedua-duanya melayan Jane sebagaimana mereka melayan anak mereka sendiri. Cuma, Mama yang agak kurang bergaul dengan mereka berdua.

"Mana Auntie Anne dan Uncle Joseph?" Jane menyoal. Matanya dililaukan ke segenap ruang dobi itu. Mencari-cari susuk tubuh wanita berisi dan lelaki kurus kering. Namun, hampa menyapa.

Mama ringan tangan mencubit pipi gebu anak tunggalnya.

"Mama sendiri ada di depan mata, orang lain juga yang dicarinya." Mama buat-buat merajuk. Jeling anak yang sudah tersenyum manja itu. Kini, giliran pipi Mama pula dicubitnya. Kemudian, cepat saja bibirnya mencium bekas cubitan itu membuatkan Mama kembali tersenyum lebar.

Jane keluarkan bekas makanan dari beg anyam berwarna kelabu. Dia meletakkan bekas makanan di atas meja. Penutup bekas makanan dibuka pantas. Bau enak semerbak menerjah hidung.

"Ikan masak merah!" Mama teruja. Lebar bibir mengukir senyuman tatkala imej lauk kegemarannya itu menyapa mata. Kembang tekak dibuatnya.

Jane dekatkan makanan itu ke hadapan Mama. "Nenek yang masak. Mama makanlah," ujar Jane.

Jauh Lebih SempurnaWhere stories live. Discover now