BAB 28

4 0 0
                                    

Usai berangkat pergi dari Penjara Kota Maluku, Juna mengajak Jane untuk bersiar-siar di Jembatan Merah Putih. Tempat yang sama yang pernah mereka singgahi dahulu. Ketika itu, Jane tahu satu perkara tentang Juna. Lelaki yang bercita-cita tinggi. Lelaki yang penyabar. Lelaki yang menerima kehendak takdir yang menolak mimpinya dari terkabul.

Dan pada hari ini, dia tahu satu lagi perkara daripada lelaki itu. Tentang ayahnya. Juna seorang yang kuat dan tabah.

Petang ini, awan nampak sedikit muram. Putih sedikit bercampur dengan kelabu sehingga berjaya menenggelamkan matahari. Mereka berjalan bersebelahan di sepanjang sisi jalan. Berhenti di pertengahan jambatan, Jane meletakkan kedua-dua tangan ke atas penghadang. Kepala dilentokkan atas lengan. Membiarkan sentuhan lembut sang bayu kepada wajah. Matanya terpejam erat.

"Mengantuk?"

"Tidak. Bosan kerana tidak ada yang hendak bercerita." Jane berkias, meminta cerita daripada Juna. Dia mahu tahu tentang lelaki itu. Tentang keluarganya.

Helaan nafas berat jelas kedengaran dari lelaki itu.

"Ayah saya pengedar dadah."

"Sudah tahu." Cebik Jane. Dia mahu cerita yang lebih dalam, bukan sekadar menyentuh permukaan lalu dibiarkan begitu saja.

Juna meraup rambutnya. Melarikan jemari ke celahan bebenang hitam berkilat yang tebal.

"Ketika saya masih di sekolah dasar, ayah saya terlibat dengan pengaruh jahat. Dia menjadikan aktiviti menjual dadah sebagai sumber pendapatan. Saya masih bersekolah dan belum mampu berfikir sepenuhnya. Abang tidak mahu bersekolah. Dia berkeras untuk bekerja di Warung Pak Amit walaupun sudah berkali-kali Mamak melarangnya. Adik pula masih kecil. Setiap kali pulang ke rumah, tidak pernah tidak, rumah itu sunyi tanpa suara pertengkaran Ayah dan Mamak. Mamak sengaja menyuruh saya, adik, dan abang ke dalam bilik. Tetapi, kami tetap dapat dengar dengan jelas apa yang mereka gaduhkan. Tentang wang, tentang perubahan Ayah."

Jeda.

"Suatu hari, saya pulang ke rumah sedikit lewat. Ketika saya sampai, rumah saya sudah berteman. Berteman dengan maraknya api. Segala isi rumah saya tidak kelihatan tatkala amarah jingga itu bertebaran memeluk isi rumah saya. Tempat saya dibesarkan, punah dalam sekelip mata. Semua penduduk kampung mengelilingi saya. Menghalang saya daripada masuk ke dalam rumah itu. Tetapi, bagaimana mungkin saya sebagai anak lelaki boleh bertahan saat mendengar raungan daripada Mamak dan adik saya? Bagaimana mungkin saya boleh berdiam diri saat suara terseksa nyawa-nyawa saya itu terngiang-ngiang di telinga saya? Bagaimana mungkin kaki dan tangan saya terpaku tika jeritan kesakitan kesayangan saya terus-menerus menerjah deria pendengaran saya?"

Jane angkat kepala. Lelaki yang sedang bercerita itu merenung laut yang terbentang luas di hadapan. Ada sesuatu yang terbias dari riak itu. Rasa-rasa yang berkombinasi lalu membentuk satu rasa yang berkecamuk. Tetapi, lelaki itu mahir menyembunyikannya. Wajahnya tenang.

"Saya cuba melepaskan diri dari pegangan orang kampung, tetapi gagal. Saya meraung memanggil Mamak, abang, dan adik saya. Saya mahu selamatkan mereka. Dari penglihatan yang sudah dibanjiri air mata, saya lihat abang saya keluar menggendong tubuh Mamak yang sudah tidak sempurna. Kemudian, dia masuk semula. Entah bagaimana, barangkali terlampau terkejut dengan keadaan Mamak yang cukup sukar dicerna mata, saya pengsan. Saya masih ingat dengan jelas bagaimana kulit sawo matang Mamak bertukar warna. Wajah yang dahulu menenangkan berubah total."

Jadi, Mamak berkeadaan seperti itu kerana kebakaran? Itulah tragedi hitam yang pernah Juna sebut dahulu. Ya Tuhan, sungguh dia langsung tidak menyangka kisah silam Juna begini.

Jauh Lebih SempurnaWhere stories live. Discover now