BAB 12

6 0 0
                                    

"Nenek masak apa hari ini?", soal Jane yang sedang memotong bawang merah itu. Kelmarin, nenek pulang dari laut dengan wajah yang gembira. Pada tangan nenek, ada dua ekor udang galah yang besar. Membulat mata Jane apabila melihatnya.

Ketika itu, Jane baru sahaja selesai solat Zohor. Keluar dari bilik dengan bertelekung. Wajah yang gembira itu semakin bercahaya melihat cucu.

Jane buat permintaan untuk merebus udang galah. Bertambah-tambah nasi apabila berlaukkan makanan segar itu. Makanan orang kaya!

Hari ini, nenek juga masih ke laut seperti biasa. Cuma pulang awal kerana kata nenek, laut sedang marah. Ombak sangat besar jadi nenek terpaksa berundur. Bimbang kalau-kalau amarah laut itu memuncak. Nyawa jadi pertaruhan.

"Kita makan telur saja ya hari ini, nak?", ujar nenek. Jane mengangguk. Tidak mengapa. Perutnya masih berpuas hati dengan lauk yang kelmarin.

Dia memotong bawang merah dengan berhati-hati. Cekap tangan kali ini dengan potongan yang nipis dan nampak kemas.

'Practise makes improvement!'

Itu pesanan Juna kepadanya dahulu. Lambat-lambat, senyum terukir. Dia teringatkan surat kecil kelmarin. Si gadis merah jambu. Jadi, itu gelaran Juna kepadanya?

Ya, memang dia sangat gemar warna merah jambu. Di rumah Mama, biliknya itu penuh dengan warna merah jambu dan putih. Kombinasi warna yang mampu meningkatkan serotoninnya. Cuma, hatinya terselit sedikit perasaan marah. Dia terasa hati dengan pemberian Juna.

Mata tiba-tiba menangkap jaket hitam yang tergantung pada penyangkut almari.

Jaket Juna! Dia lupa akan kewujudan jaket itu. Sebaik sahaja, dia pulang waktu itu, fikirannya lebih banyak memikirkan tentang Melur.

"Nanti Jane hantar telur masak sos ini ke rumah Juna, ya? Mamaknya suka makan telur masak rebus ini."

Bingo!

"Boleh dong, nek.", balas Jane. Nenek menghampiri Jane sambil membawa enam biji telur yang sudah siap direbus. Dia melabuhkan duduk di kerusi bertentangan dengan Jane.

Telur rebus itu dikupas kulitnya. Jane membantu nenek setelah selesai menghiris bawang merah. Terkial-kial tangannya hendak mengupas kulit telur tersebut yang masih panas. Lain pula dengan nenek, selamba sahaja kulit tangan menyentuh kulit telur itu.

"Biar nenek aja yang kupas, nak. Kulit nenek tebal. Pegang matahari pun nenek mampu."

Jane menghambur gelaknya.

"Nenek dengan Mamak Juna seumur, ya?", soal Jane. Dia sedikit keliru memandangkan umurnya dan Juna tidak jauh berbeza.

"Mamak Juna itu sudah nenek anggap sebagai anak nenek sendiri. Mamak Juna itu anak yatim piatu. Sahabat baik Bulan.", terang nenek.

Jane mengangguk faham. Mengertilah dia mengapa nenek agak rapat dengan Mamak Juna. Nenek kerap juga mengajaknya untuk berkunjung ke rumah Mamak Juna. Tetapi, dia menolak kerana gusar Mamak kurang selesa dengan dirinya.

Maklumlah, Jane agak terkenal di kampung ini dengan gelaran anak Si Tanggang. Setiap kali dia ke warung Pak Dol, ada saja wajah-wajah pelanggan tetap Pak Dol mempersoalkan tentang Mamanya.

"Mama kau sudah lupa ya sama nenek."

"Tidak berhati perut rupanya Mama kau. Ditinggal ibu sendiri terkontang-kanting hidup menyendiri."

Jauh Lebih SempurnaWhere stories live. Discover now