BAB 29

6 0 0
                                    


Hari ini merupakan hari yang cukup istimewa. Seorang anak yang cukup ceria dengan celoteh yang tidak pernah henti lahir ke dunia, menghiasi bumi Pulau Kampas. Anak kecil yang giginya sudah rompong tengah tersenyum lebar saat melihat kek hari jadi bertemakan Barbie itu di atas meja nenek.

"Kak Jane, mahu Melur bantu?" Si anak kecil menegur gadis yang dia gelar sebagai kakak Jane itu. Jane yang sedang menggaul mi goreng berpaling.

"Tidak ada, Tuan Puteri Melur. Hari ini, Melur tidak perlu buat apa-apa. Hari ini hari jadi Melur. Hari istimewa Melur," balas Jane lagi. Dia memasukkan beberapa bahan ke dalam masakannya.

Resepi ini diajar oleh Juna kepadanya dahulu. Ketika itu, dia memberitahu Juna bahawa dia cemburu melihat orang yang pandai memasak. Juna mempelawa diri sendiri untuk menjadi tutor kepada Jane. Sekali ajar, dia sudah berjaya memasak sendiri.

Dalam masakan, sekawan bahan perlu dikuasai terlebih dahulu iaitu bawang merah, bawang putih, halia, cili, dan garam. Jane kurang pandai menganggar kuantiti garam. Yang lain, masih boleh diatur. Kata Juna, perihal itu usah bimbang kerana melalui kebiasaan memasak, kita akan dapat menganggar kuantiti garam yang diperlukan.

Practises make improvement!

Lagi-lagi dengan ayat keramatnya itu. Jane tersenyum sendiri mengingatkan itu.

Suara nenek dan Mamak kedengaran dari dapur. Sedang berbual-bual. Sekejap tentang laut, sekejap tentang kebun, sekejap tentang kesihatan Mamak, sekejap tentang kesihatan nenek, dan sekarang, tentang persekolahan Melur.

Bunyi langkah kaki manusia kedengaran. Jane berpaling. Wajah dua lelaki yang penuh dengan peluh sambil mengangkut dua guni menyapa mata. Guna diletakkan di tepi. Kerusi ditarik lalu masing-masing melabuhkan duduk dengan nafas yang termengah-mengah.

"Masak apa, Jane?" Suara Aji melontarkan soalan.

"Mi goreng." Sepatah Jane membalas seraya menutup api gas.

Bunyi keresekan guni kedengaran. Aji keluarkan beberapa tangkai rambutan lalu dibawa ke meja. Kemudian, dia berlalu ke singki untuk membasuh tangan. Dia lirik hasil masakan Jane.

"Sudah rasa?"

Jane geleng kepala. "Kamu tolong rasakan." Dia mencapai piring dan garpu. Sedikit mi goreng diletakkan atas piring lalu dihulurkan kepada Aji.

Aji buat muka tidak tahu.

"Tangan aku basah. Tolong suapkan." Mendengarkan itu, Jane putar bebola mata ke atas. Memangnya tangan basah boleh terbakar kalau memegang garpu?

"Kalau begitu, tunggu tangannya kering dahulu," ujar seorang lagi manusia yang tajam memerhati mereka. Wajahnya serius maut. Pandangan menghunus lelaki yang tersenyum hambar itu.

Aji angkat kedua-dua belah tangan gaya mengalah. "Maaf, maaf." Jane hanya tergelak kecil. Piring itu disuakan kepada Aji.

Jane ambil piring kecil dan garpu semula lalu meletakkan sedikit mi goreng ke atasnya. Piring itu diletakkan tepat di hadapan Juna seraya dia labuhkan duduk di sebelah lelaki itu. "Cuba rasa. Kurang garam atau lebih garam?"

Juna mula merasa. Jane menanti dengan gemuruh di dada. Haraplah latihannya selama ini menjadi. Ini tidak, bila tiba masa untuk meletakkan garam, dia akan menyuruh nenek. Juna mengunyah perlahan. Kemudian, angguk-angguk kepala.

"Bagus, kamu sudah boleh memasak dengan baik. Tidak kurang dan tidak lebih. Cuma, macam ada sedikit yang kurang," komen Juna dengan ibu jari diangkat. Hai, tadi kata tidak kurang dan tidak lebih, kemudian, ada yang kurang pula?

Jauh Lebih SempurnaWhere stories live. Discover now