BAB 9

5 0 0
                                    

"Ada apa?" Jane sudah berubah dingin. Benci melihat wajah penghasut ini. Entah apa tujuannya, Jane juga ingin tahu.

Encik Faizal hampir sahaja menjejakkan kaki ke halaman rumah nenek tadi. Mujur, mata Jane lebih pantas mengenal pasti figuranya. Cepat saja dia meminta izin nenek untuk keluar sebentar. Menarik Encik Faizal untuk menjauhi rumah nenek dan sebaliknya tegak di tempat panas terik itu.

"Encik Faizal datang ke mari untuk menjemput Jane bertemu dengan Mama."

Jane merengus kasar, mengelabui keterujaan dalam hati. Rindunya pada Mama memang sudah menggunung.

"Kenapa tidak Mama saja yang ke sini?"

"Jane boleh berkemas sekarang. Kereta ada di kota seberang." Soalan Jane tidak diendahkan. Entah kenapa, Jane dapat rasakan keseriusan dalam diri Encik Faizal kali ini. Jantung bekerja dua kali ganda daripada biasa.

"Begini saja sudah cukup.", balas Jane. Dia malas hendak berkemas seperti yang biasa dia lakukan dahulu. Cukup menutup aurat, itu paling penting. Encik Faizal mendahului.

Panas terik matahari memancarkan cahayanya.

Beberapa ketika kemudian, mereka sampai ke tempat tujuan. Kereta Alphard berwarna hitam menjadi penyambut utama.

Encik Faizal membuka pintu kereta untuk Jane. Cepat-cepat dia masuk. Teruja untuk berjumpa Mama. Mahu bercerita tentang hari-hari indah di pulau ini. Orang-orang baru yang dia temui di sini. Perkara yang selalu Jane lakukan dahulu, bercerita tentang hari-harinya kepada Mama sambil Mama menjadi pendengar setia.

"Mama." Dia mula mencari-cari wanita bergelar Mama ketika sudah masuk ke dalam perut kereta. Hilang sudah segala rasa marah kepadanya. Ditenggelami rasa rindu yang semakin mendalam.

"Mama."

"Mama tidak ada di sini." Senyum Jane mati. Wajahnya pucat tatkala mendengarkan itu.

"Mama tunggu di Desa Mandel."

Jane hanya angguk kepala. Duduk diam-diam di tempat duduk sambil mata tertumpu pada pemandangan di sebelahnya. Encik Faizal sudah mengambil tempat di sebelah Jane dengan jarak yang agak besar. Khuatir anak kucing ini berubah menjadi singa.

Hampir sejam perjalanan dari Pulau Kampas ke Desa Mandel. Langit sudah beransur hilang biru terangnya. Berganti giliran dengan redupnya langit jingga.

Tatkala mata menangkap susuk tubuh yang sangat dikenali sedang duduk berseorangan di sebuah pondok beratapkan daun nipah, bibir menggariskan senyuman lebar. Mama sentiasa suka pantai. Laut dan langitnya.

Jane keluar dari perut kereta. Perlahan-lahan kaki melangkah menuju ke arah wanita yang sedang membelakanginya.

Tepat di belakang, Jane tutup mata wanita itu dengan kedua belah tangan kecil.

"Jane!" Ceria suara itu. Rindunya pada wanita ini melebihi amarahnya dahulu.

"Mama, Jane rindu Mama." Luah Jane. Belakang tapak tangan Mama dikucup lembut. Kedua belah pipi kemudian mengambil giliran. Mata Mama pula sudah mula merah dengan empangan yang hampir pecah.

"Mama juga, nak. Maafkan Mama kerana terlalu sibuk sehingga tidak punya masa untuk menghubungi Jane." Serak suaranya.

"Mama..." Jane esat air mata Mama yang sudah tumpah itu. "Jane juga salah kerana berkecil hati dengan ibu sendiri."

Jauh Lebih SempurnaWhere stories live. Discover now