BAB 17

5 0 0
                                    


Jane masih terpaku. Matanya bersabung dengan mata gadis yang sedang berada di sebelah Mamak. Wajah itu tampak kurang suka dengan kehadirannya yang tiba-tiba. Dia kenal wajah itu.

Cempaka.

Perlahan-lahan, Jane melabuhkan duduk di sebelah Mamak. Menjadikan Mamak batu pemisah antara dia dan Cempaka. Balang berisi itu diletakkan di atas meja.

"Mamak sihat?" Jane kucup belakang tangan Mamak. Seperti biasa yang dilakukan apabila berkunjung ke rumah ini bersama nenek. Cempaka tidak menghiraukannya.

"Mamak demam, nak. Cuaca tidak menentu," jawab Mamak.

Sejak dua menjak ini, cuaca memang kurang akrab dengan langit. Sekejap hujan, sekejap panas membahang.

"Balang ini Pak Dol suruh Jane kasi sama Mamak."

"Bukan Pak Dol, tetapi abang Juna." Gadis sebelah akhirnya bersuara. Mendatar. Isi mangkuk berjaya dihabiskan Mamak. Tangkas tangannya mengemas apa yang ada di atas meja.

"Mamak, Cempaka urut tangan Mamak, ya?" Mamak mengangguk.

"Jane, ini Cempaka." Mamak tunjuk Cempaka kepada Jane. "Cempaka, ini Jane." Giliran Jane pula diperkenalkan.

Jane hulur tangan untuk bersalam. Tenang hati apabila gadis itu mahu menyambut huluran tangannya. Meskipun Cempaka seolah-olah kurang senang dengannya, Jane masih lega. Dia tidak mahu membuat musuh di sini.

"Lama Jane tidak datang kemari. Ada apa, nak?" Soalan Mamak buatkan Jane terpegun seketika. Lama? Jane tahan senyum.

"Baru dua hari, Mamak." Jawapan Jane buatkan Mamak tertawa kecil.

"Jane basuh mangkuk ini, ya?" Jane sudah mahu mengangkat mangkuk kosong tersebut sebelum Cempaka menghalangnya. "Tidak perlu. Biar aku saja yang membasuhnya."

Jane agak terkejut dengan balasan gadis itu. Apatah lagi apabila gadis itu masih bermasam muka. Cempaka itu... benar-benar tidak menyukainya, kah?

Jane hanya menurut janggal. Dia pandang Mamak. Riak itu jelas menunjukkan dia turut terkejut.

"Jane sebenarnya ada hal. Mamak, Jane pergi dulu, ya?" Lembut suaranya. Dia tidak mahu Mamak berkecil hati kerana dia seperti terburu-buru mahu pulang. Bukan apa, dia tidak suka jika kehadirannya membuatkan orang lain tidak selesa.

Dia tidak mahu menjadi perosak suasana.

"Buru-buru sekali, Jane. Jane sudah jemu menjenguk Mamak." Jauh bunyinya.

Aduhai.

"Mamak..." Tangan Mamak diurut lembut. "Jane mahu tolong nenek memasak. Nanti, Jane hantar lauknya ke rumah Mamak, ya?" Dia cuba memujuk. Pujukan yang mungkin bakal memakan dirinya sendiri kelak.

Mamak kembali senyum.

"Jane sendiri yang hantar, ya? Kasihan loh sama nenek."

Jane termasuk jerat sendiri. Jika lauk itu siap petang ini, dan petang itu juga dia menghantarnya kemari, peratusan untuk terserempak dengan Juna sangat tinggi!

"Insha Allah."

Jane dapat dengar dengusan dari gadis sebelah. Pantas matanya melirik wajah gadis itu.

"Cempaka, Melur ke sekolah hari ini?" Dia cuba beramah mesra.

"Sekolah."

Semakin buatkan Jane kecut perut. Aduhai, kenapa perlu dingin begini?

Jauh Lebih SempurnaWhere stories live. Discover now