BAB 19

3 0 0
                                    


Pondok nampak dari kejauhan. Langkah kaki semakin longlai. Langit masih megah dengan barisan tentera. Jane angkat kepala yang sejak tadi asyik tunduk memandang lantai pasir itu. Tangan kanan digenggam erat oleh Melur. Sedikit sebanyak, rasa bimbang berkurangan. Seolah-olah sentuhan Melur itu adalah magis yang berjaya menenangkan hatinya.

Dua orang lelaki masing-masing duduk bersandar pada kerusi rotan di hadapan pondok. Jane tarik nafas panjang. Jantung berdegup kencang lain macam. Takut!

Ketika Jane dan Melur sudah dekat, dua kepala angkat menyambut.

Saifuddin angkat dari duduk. Berdiri tegak di hadapan Jane. Jane angkat kepala. Tajam mata lelaki itu dengan rahang diketap kuat.

"Kalau kau tidak mampu menjaga Milo, kenapa menawarkan diri untuk menjaganya?!" Tengkingan itu mengejutkan Jane. Bahunya terangkat. Tersentak hebat membuatkan dia terundur sedikit ke belakang.

"Saif." Juna menarik Saifuddin menjauhi Jane. Tubir mata sudah mula hangat. Saifuddin sudah tahu. Tetapi, bagaimana? Atau jangan-jangan Melur benar? Milo pasti berkeliaran di sekitar pondok Juna. Walapun hati sudah dilanda ribut, kenyataan bahawa Milo sudah ditemui sedikit sebanyak membuatkan hati Jane lega.

Jane telan liur kelat. "Saya minta maaf. Salah saya kerana cuai. Milo selalunya duduk diam-diam di rumah. Pagi tadi, dia tiba-tiba lesap entah ke mana." Terang Jane dengan suara terketar-ketar. Saifuddin makin tajam matanya. Mula mendekati Jane. Juna cepat-cepat menghalang Saifuddin lalu berdiri di hadapan Jane. Melindungi tubuh kecil Jane daripada Saifuddin yang sudah seperti bom itu. Menanti masa untuk meletup.

"Kau ke tepi, Juna." Keras suara itu.

"Bukan salah dia, Saif." Perlahan Juna membalas. Masih tegak tidak berganjak di hadapan Jane yang sudah menikus itu. Melur pula sudah memeluk lengan Juna. Dia juga takut melihat keadaan Saifuddin yang sudah seperti raksasa hendak menerkam mangsa itu.

Mata Saifuddin merah. Dia benar-benar marah. Dia memang tidak pernah sungguh-sungguh menjaga kucing itu. Tetapi, setidaknya dia mengawasi kucing itu dengan meletakkannya dalam sangkar.

"Itu satu-satunya pemberian daripada dia. Kau tahu itu, Juna." Lemah.

Jane mengintip sedikit. Betapa terkejutnya dia saat melihat setitis air jernih mengalir di pipi Saifuddin. Lelaki itu menangis. Mata yang tertutup itu terbuka.

"Saif, kau bertenang dulu." Saifuddin menatap tajam Jane yang sudah kembali bersembunyi di belakang Juna. Lama-lama, dadanya naik turun dengan kencang. Helaan nafas berat kedengaran.

"Saifuddin..." Jane memberanikan diri untuk keluar. Berdiri di sebelah Juna. "Saya benar-benar minta maaf." Ikhlas.

Tawa sinis Saifuddin meletus. Rengus kasarnya memenuhi ruang udara. "Milo sudah mati." Saifuddin menunjuk ke arah satu objek yang terdampar atas pasir di hadapan kerusi rotan. Mata Jane membulat. "Mati lemas." Saifuddin mendekat namun dihalang oleh Juna. "Dan engkau penyebabnya."

Jane terkedu mendengarkan itu. Objek putih itu adalah tidak lain dan tidak bukan tubuh makhluk yang dicari-cari sedari tadi. Terdampar lemah tidak bergerak. Bulu gebu bertukar menjadi seperti kain basah. Tangan Jane sudah menggeletar. Apa dia tidak salah dengar? Apa matanya tidak silap melihat?

"Saif, dia tidak sengaja. Kau tahu bukan Milo itu memang jarang keluar rumah. Perkara itu di luar kawalan Jane." Juna menyentuh bahu sahabatnya itu.

"Kau diam, Juna. Ini antara aku..." Jari telunjuk ditudingkan tepat ke arah Jane. "dan dia."

"Saif, bukan engkau yang pernah bilang kepada aku, marah itu magnet syaitan?"

Jauh Lebih SempurnaWhere stories live. Discover now