BAB 21

5 0 0
                                    

"Kaki kau kenapa Cempaka?" Nenek bertanya saat memapah Cempaka masuk ke dalam rumah. Kaki Cempaka terhincut-hincut. Jane pula sedang membancuh air kopi untuk dihidangkan.

"Terseliuh sedikit, nek. Tadi, terjatuh ketika menjemur pakaian. Sekarang ini, sudah baik sedikit." Balas Cempaka. Nenek membantu Cempaka untuk duduk bersila di ruangan tengah. Di ruang tamu rumah memang tidak ada kerusi. Hanya kosong dengan tikar anyaman daun kelapa.

"Jemput minum, Cempaka." Pelawa Jane. Dia duduk bersila di sebelah nenek. Cempaka hanya mengangguk. Kemudian, dia mengeluarkan dua bekas kontena dari dalam beg jinjingnya. Disuakan kepada nenek.

"Nasi ayam geprek. Cempaka buat untuk dijual, lebih sedikit Cempaka sedekah."

Kedua-duanya serentak mengucapkan terima kasih.

"Cempaka, bagaimana dengan persekolahan Melur?" Jane memberanikan diri untuk bertanya.

"Alhamdulillah. Guru-guru tidak ada mengadu yang tidak baik tentang Melur." Balas Cempaka. Jane lega entah kenapa.

Cempaka mengambil secangkir kopi lalu dihirup perlahan. Apabila habis, dia letakkan semula ke atas dulang. Jane menuang air kopi ke dalam cangkir yang sudah kosong. Cempaka tidak menolak. Dia capai biskut segiempat lalu dicelup ke dalam kopi hangat.

"Nenek dan Jane baru pulang dari mana?" Soal Cempaka kehairanan.

"Kebun belakang sana. Sudah tinggi rumput-rumput, sayang jika dibiarkan begitu saja." Balas nenek pula.

"Melur sering bercerita tentang kamu, Jane." Mendengar namanya, Jane spontan senyum. Setelah itu, mereka selesa berbual panjang. Bercerita tentang Melur, tempahan baju, kerja laut nenek. Dalam hati, Jane bersyukur kerana Cempaka tidak menganggapnya sebagai musuh. Lega kerana akhirnya gadis itu tidak bermasam muka lagi.

Tidak lama selepas itu, Cempaka meminta izin untuk beredar. Katanya, dia hendak ke kedai makan Mak Leha. Barulah Jane dan nenek tahu bahawa Cempaka sudah mula bekerja di sana. Ada bagusnya juga memandangkan Cempaka memberitahu mereka berdua, dia semakin kurang menerima tempahan baju. Kebanyakan orang lebih suka membeli baju yang sudah siap jadi di pasar raya.

Malam yang penuh dengan bintang dan bulan menjadi peneman Jane dan nenek malam ini. Duduk di halaman rumah sambil melihat penghuni langit memancarkan cahaya. Tidak lupa, awan-awan bergerak perlahan, ditiup bayu dingin. Jane merapatkan cardigan ke tubuh. Sekejap-sekejap, tangan dibawa memegang kulit pipi. Lembut!

"Cantik baju sejuk nenek." Jane memuji baju kait nenek. Warna kelabu dengan corak yang sangat kreatif. Cuma, nampak sedikit amatur dari segi kehalusannya. Jane seperti ada akal. "Mama yang kait, nek?"

Nenek senyum. "Baru beberapa hari belajar mengait, Mama kamu sudah tidak sabar mahu mengait projek besar ini. Diajak Bintang untuk ke kota membeli benang-benang."

Nama baru yang muncul berjaya menarik perhatian Jane. Dia memalingkan wajah untuk menyoal, namun tindakan terhenti. Jane terkedu seketika.

Nenek... menangis. Jane telan liur kelat. Segala persoalan terbantut. Hati rasa hiba sendiri melihat air mata nenek yang menuruni pipi. Dia menghampiri nenek lalu menyeka mutiara yang jatuh itu. Lengan berkulit kedut itu dipeluk erat. Kepala disandarkan pada bahu tua nenek. Bahu yang selama ini kuat memikul beban. Bahu yang selama ini kuat menanggung rindu terhadap orang tersayang.

"Jangan menangis, nek. Jane ada di sini." Pujuk Jane lembut. Nenek ketawa kecil. Jane lega sendiri. Merdu suara tawa nenek menyapa telinga.

Jauh Lebih SempurnaWhere stories live. Discover now