Episode 40

111 17 77
                                    

Tanda keagungan cinta ibarat Taj Mahal yang berdiri teguh tak roboh beralih zaman, kekal utuh sebagai simbolik cinta abadi.

🌹🌹🌹

Andai kata masa dapat diundur, pasti aku akan coretkan semula kisah cinta ini. Kubentangkan kain sutera putih dan berpenakan nukilan hati akan kutulis saat pertemuan pertama itu. Biar aku yang susun aturkan jalan ceritanya.

Ibarat seorang atlet sukan yang bersiap sedia di garisan permulaan kemudian berlari sehingga ke garisan penamat bagi mengejar gelaran juara.

Begitu juga sang pencinta yang mengejar cintanya hingga dimiliki kemudian dijahit dengan benang kasih dan disimpul mati.

Kerana hati menginginkan apa yang ia inginkan namun siapakah aku untuk melawan takdir? Aku hanyalah sebutir zarah kecil, ciptaan yang tidak melebihi Sang Penciptanya.

X  X  X  X  X  X  X  X  X  X

Inilah harinya. Hari istimewa yang telah ku tunggu seumur hidup. Menuntun niat melalui detik manis idaman sang pencinta, memimpin hajat menjala hari bahagia. Bak kata pepatah, pucuk dicita ulam mendatang. 

Daku memakai busana gaun pengantin berwarna putih susu. Bahagian atas merupakan korset bersulam permata Kristal 'Swarovski' dan butiran mutiara di dada. 

Leher direka dengan potongan 'Queen Anne Neckline' yang dilapis sedikit fabrik renda dan bahagian bawah gaun labuh menutupi hujung kaki. 

Gaun diberi sentuhan dramatis dengan potongan kembang sederhana gabungan kain 'chiffon' dan 'net tulle' sebagai lapisan diatas kain sutera 'organza'.

Rambut pula disanggulkan gaya 'Braided Loose Curls Low Updo' dengan sedikit layer rambut di sisi wajah serta ditatarias dengan bunga ros putih hidup. 

Ms Kelly memperkemaskan solekan diwajahku dengan penuh cermat dan teliti. Dia sememangnya dilabel sebagai peribadi yang perfectionist.

Kerana itu dia agak cerewet apabila bercakap mengenai bab berdandan atau solekan. Apatah lagi jikalau rakan kongsi merangkap sahabat baiknya sendiri yang menjadi ratu sehari.

Sentuhan tangannya yang lembut bagaikan diberi kuasa magis mengubah penampilan ku dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Ms Kelly sebak dan menangis terharu. Entah sudah keberapa kali dia mengelap airmata gembira yang jatuh di pipi. 

Sahabatku ini sememangnya seorang jejaka yang dirias dengan jiwa lembut dan amat mudah tersentuh dengan perkara yang mengusik hati. 

"I'm happy for you beb.. I'm happy for you," luah Ms Kelly sambil mengelap airmata dengan tisu muka.

"Eh, tolong tepi sikit Kell. I nak atur ni," Yasmin minta laluan dan sedikit kalut memasang tiara dengan veil perkahwinan di atas kepalaku.

Tangan Yasmin kelihatan agak menggeletar, "Hai, you yang nak kahwin, I pula yang menggelabah," rungutnya. Aku hanya tersenyum tanpa memberikan komen apa-apa.

"Mari sini. Biar I yang pasangkan." Tiba-tiba, Ms Kelly mencelah.

Yasmin pantas menepis tangan Ms Kelly, "Hish! Jangan kacaulah, gigit kang!" Tanpa amaran, Yasmin acah-acah ingin menggigit tangan Ms Kelly lalu membuatkan jejaka itu menjerit kecil, "Ah!"

Gelagat girang menggeletek hati mengundang ketawa dan riuh gurau senda kami bertiga memenuhi ruangan bilik persalinan itu.

Aku bersyukur kerana mereka ada bersama disampingku pada hari bahagia ini. Sahabat yang sentiasa memberikan sokongan dan dorongan serta menjadi tulang belakangku selama ini.

CAS [Completed] ✔Where stories live. Discover now