Episode 26

112 53 28
                                    


Cinta mampu merawat hati yang terluka tetapi cinta juga mampu melukakan hati yang bahagia.

🌹🌹🌹

Jarinya merangkul kemas pinggang ramping wanita itu. Ditariknya merapat ke tubuhnya sehingga wanita itu juga memeluk pinggangnya dengan mesra dan menyandarkan kepala ke bahunya manja.  

Sesaat kemudian wanita itu meleraikan pelukannya dan melepaskan tangan jejaka yang berbadan tegap itu dari pinggangnya. Tanpa amaran lelaki itu terus menarik tangan wanita tersebut supaya merapat kepadanya lagi.

Kali ini mereka bercumbuan mesra dan tangan lelaki itu meliar membelai tubuh wanita itu dengan ghairah tanpa sekelumit malu ditonton puluhan mata manusia yang ada di dalam mall itu. 

Ms Kelly dan Yasmin masih bersembunyi disebalik tiang besar tersebut mengintai gerak-geri pasangan haram yang menyakitkan mata. Kedudukan mereka berdua dari pasangan itu hanya berjarak 5 meter.

Makanya, terang dan jelas apa yang mereka lihat dan mereka yakin serta pasti bahawa mereka tidak salah orang. Mereka kenal sangat siapa lelaki itu tetapi wanita tersebut tiada dalam senarai orang yang mereka kenali.

Mata mereka berdua masih mengekori rapat pasangan haram itu sehinggalah keduanya menghilang masuk ke dalam sebuah restoran mewah.

Hati Yasmin cukup geram melihat kelakuan sumbang dua manusia yang sudah tidak mengenal halal atau haram suatu perhubungan. Perbuatan mereka yang tiada perasaan malu itu menimbulkan rasa jijik dalam dirinya dan cukup meloyakan anak tekaknya.

Yasmin tidak mahu berlama disitu. Perkara yang berlaku telah membunuh keseronokkannya membeli-belah. Perasaan marah membuak-buak di dalam dirinya. Tanpa berlengah dia membawa Ms Kelly pulang ke butik. 

X  X  X  X  X  X  X  X  X  X

Suasana sunyi sepi tanpa ada perbualan atau bicara antara Ms Kelly dan Yasmin. Kedua-duanya berdiam diri dan mulut terkunci rapat. Masing-masing masih cuba untuk mencerna kejadian yang telah berlaku didepan mata mereka sebentar tadi.

Niat untuk makan terkubur serta-merta. Perut sudah tidak terasa lapar lagi dek drama yang tidak sepatutnya dipertontonkan yang telah menutup selera makan mereka berdua. 

Ms Kelly cuba memberikan tumpuan sepenuhnya dengan pemanduan. Menghadap kesesakan jalan raya pada waktu tengahari begini sememangnya memerlukan tingkat kesabaran yang tinggi.

Pada masa yang sama, dia bertarung mengawal emosi dalamannya sendiri yang sedang memuncak panas menunggu masa untuk dimuntahkan. Marah dan sakit hati betul dirinya.

Yasmin pula menyandar di kerusi penumpang disebelah pemandu sambil memandang keluar tingkap. Matanya dipejamkan cuba memadamkan babak sumbang yang dia lihat di mall tadi.

Namun, babak demi babak diperlihatkan berulang-ulang masih segar dimindanya walaupun dia sedaya upaya untuk tidak mempercayainya.

"Apa yang patut kita lakukan beb? Perlukah kita bagitahu dia?" Akhirnya Ms Kelly bersuara memecah keheningan suasana yang suram di dalam kereta itu. 

"Jangan Kell. I tak sanggup melihat dia terluka. Kasihan dia," Yasmin menjawab sambil memandang muka Ms Kelly yang sedang fokus memandu.

"Dia ditipu, Yasmin! Dia ditipu mentah-mentah oleh lelaki tak guna tu!" bentak Ms Kelly.

"Do you think I don't know that? I tak sanggup nak bagitahu dia. You pun tengok betapa cerianya dia pagi tadi dan sekarang you nak lukakan hati dia dengan mengabarkan berita jijik bahawa suaminya curang. Bahawa suaminya bukan berada di Shanghai tetapi berada dipelukkan wanita lain?"

CAS [Completed] ✔Where stories live. Discover now