Episode 18

154 74 9
                                    


Cinta sejati mampu mengasihi dan memaafkan serta mampu mengubah kejahatan ke arah kebaikan.

🌹🌹🌹

Anak buah Mr. Hwuang yang bernama Kong dengan segera menoreh penutup kotak pertama yang telah digam rapi itu dengan menggunakan pisau belatinya. Sebaik sahaja dibuka, Mr. Hwuang memperlihatkan isi kandungan yang di dalam kotak itu kepada Zach dan Farouq.

Pelbagai produk haiwan eksotik yang terlarang dan bernilai tinggi yang telah diproses dan dibungkus serta dilabel dengan kod masing-masing ditunjukkan kepada mereka berdua.

Beberapa bahagian anggota haiwan yang telah dikeringkan dikenalpasti. Antaranya ialah, hempedu, kuku dan taring beruang matahari, kuku dan taring harimau belang dan kumbang serta berkeping-keping sisik tenggiling.

Ada lagi beberapa bungkusan plastik yang mengandungi bahan seperti serbuk putih yang menurut Mr. Hwuang, itu adalah dari bahagian anggota kemaluan harimau belang asli, bertujuan untuk meningkatkan tenaga batin si pengamalnya.

Kong membuka kotak yang satu lagi. Di dalam terdapat pelbagai saiz sirip ikan yu yang telah dikeringkan dan herbal Ginseng yang berkualiti dan bermutu tinggi. Semua barangan yang ditunjukkan oleh Mr. Hwuang membuatkan Zach tersenyum kerana dia tahu nilai barangan tersebut adalah lumayan dan mendapat permintaan tinggi pengamalnya.

Oleh sebab kesukaran untuk mendapatkan bekalan kerana memerlukan lesen yang sah dan terkawal maka ramai pengamal produk barangan eksotik ini yang sanggup membeli dengan harga mencecah puluhan ribu dollar di pasaran gelap.

Perasaan tamak menguasai dirinya. Baginya ini adalah peluang keemasan yang tidak akan mungkin datang untuk kedua kali sekiranya dia menolak.

Zach memandang Farouq. Jelas kelihatan rakan sekerjanya itu gementar. Keringat menitik di keningnya sungguh pun suhu di dalam bilik ini sejuk dilengkapi penghawa dingin. Namun Zach faham, saat ini Farouq takut melibatkan diri dalam perniagaan yang berisiko ini tetapi berbeza dengan Zach, dia nekad untuk mencabar dirinya bermain dengan perniagaan kotor.

Dia sudah muak duduk di posisi bawahan, sebagai pekerja biasa yang hanya makan gaji bulanan. Dia yakin dengan dirinya sendiri untuk menceburi bidang ini dengan berhati-hati. Dengan hasil ini nanti baharulah dia dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan orang atasan.

Mr. Hwuang berbicara kepada Jason dalam dialek tempatan yang kemudiaannya diterjemahkan oleh Jason dalam Bahasa Melayu.

"Mr. Hwuang berbesar hati untuk mengadakan rundingan perniagaan ini dengan kamu," Jason memandang Zach sebelum menyambung bicara.

"Ini semua adalah produk yang mendapat permintaan tinggi di negara kamu. Perniagaan ini memberi hasil pulangan yang menguntungkan. Sekiranya kamu setuju, Mr. Hwuang ingin meteraikan perjanjian pemasaran semua produk ini dengan kamu sekarang juga," ujar Jason.

Lama Zach terdiam kerana dia masih mengambil kira risiko yang dihadapi dan dia juga perlu mengambil langkah berhati-hati untuk mengelakkan sebarang masalah yang akan timbul di kemudian hari. Farouq hanya menjadi pendengar dan tidak bercakap walau sepatah kata pun.

Jason seperti mengerti keresahan dan pergumulan yang dipikirkan oleh Zach lalu berkata, "Bukan senang melihat Mr. Hwuang mempercayai seseorang yang baru dikenalinya dan menerima pelawaannya untuk bergabung dalam perniagaan. Ramai 'Taikun & Taiko' lain yang di luar sana ingin merebut peluang untuk bekerjasama dengan dia dalam perniagaan tetapi hanya segelintir sahaja yang mendapat kepercayaannya. Kamu adalah salah satu diantara orang yang bertuah."

Akhirnya Zach mengangkat muka dan memandang Jason, "Apakah jaminannya sekiranya aku bersetuju melibatkan diri dalam perniagaan ini?" tanya Zach.

Jason segera berbisik kepada Mr. Hwuang dan 'Taiko' itu mengangguk-angguk.

CAS [Completed] ✔Where stories live. Discover now