Episode 24

123 60 39
                                    

Sesungguhnya kejadian perempuan itu adalah asal dari tulang rusuk lelaki. Bukan dari kepalanya untuk dijunjung, bukan pula dari kakinya untuk dipijak. Tapi dari sisinya untuk dijadikan teman hidup, dekat dengan lengannya untuk dilindungi, dan dekat dengan hatinya untuk dicintai serta disayangi.

🌹🌹🌹

Tiada yang lebih indah dari menikmati secangkir kopi panas yang mama bancuh, paling sedap di dunia. Ditambah lagi suasana pagi yang sejuk amat baik untuk terapi minda dan jiwaku yang semenjak dua menjak terganggu dengan bermacam dugaan.

Mataku disegarkan dengan pemandangan indah laman rumah mama yang dihiasi dengan pelbagai jenis bunga. Kelihatan beberapa ekor kupu-kupu kecil berwarna putih beterbangan hinggap mencium bunga-bunga yang mekar dengan cantik.

Zach terbang ke Shanghai lagi atas urusan kerja. Entah untuk berapa hari aku malas bertanya. Semenjak kejadian tempoh hari, hubungan kami suami-isteri kian dingin. Aku cuba mengelak dari mencari masalah lagi dengan dia, takut perkara yang lepas terulang semula. Biarku zip rapat bibirku dan lihat sahaja apa yang berlaku di depan mata.

Bukan aku tidak mengambil berat akan suamiku sendiri. Makan minum dan pakainya masih ku sediakan dan ku jaga dengan baik kerana aku sudah mengungkapkan ikrar perkahwinan untuk mengalas tanggungjawab sebagai seorang isteri. Namun apa yang dia telah lakukan terhadapku, rasanya tiada isteri di dunia ini yang mahu diperlakukan sebegitu.

Sudah dua malam kami anak-beranak bermalam di rumah orang tua ku. Terasa lebih selamat disini. Biarlah begini, aku lebih tenang berada berjauhan daripada Zach.

Aku duduk di anjung sambil membelek buku koleksi draf lakaran rekaan gaun pengantin terbaru dari Ms. Kelly untuk musim kedua. Biasanya Yasmin adalah orang pertama yang akan memeriksa lakaran draf gaun tersebut sebelum ditolak kepadaku sebagai orang kedua yang akan menilai kos tekstil dan material yang digunakan sebelum keputusan muktamad diambil untuk meluluskannya.

Sedang aku begitu khusyuk memeriksa dan meneliti draf lakaran gaun pengantin Ms. Kelly, tiba-tiba aku dikejutkan oleh suara mama yang menegur aku dari arah belakang.

"Kenapa biarkan kopi tu tak diminum, sejuk nanti tak sedap," tegur mama sambil menarik kerusi dan duduk di sebelahku.

"Aduh Ma, terkejut orang tau!" kataku sambil mengurut dada.

Mama ketawa kecil, "Haa, itulah, khusyuk sangat buat kerja sampai tak sedar apa yang berlaku disekeliling. Mama rasa kalau gajah melimpas pun awak tak tahu, sedar-sedar dah duduk disebelah kamu ni ha."

Kata-kata mama tu membuatkan kami berdua sama-sama ketawa. Mama aku ni mempunyai bentuk badan yang sedikit gempal. Sebab itulah dia selalu menyamakan dirinya dengan gajah.

Sudah lama rasanya aku sudah tidak merasa aura gembira sebegitu. Pada masa yang sama terdengar gelak ketawa anak-anak ku yang sedang berlari keliling rumah dikejar atoknya. Ni mesti kes atok mereka menjadi raksasa Godzilla mengejar cucu kesayangan dia.

Mama dan aku saling tersenyum melihat gelagat mereka yang mencuit hati. Sungguh aku cemburu melihat dunia kanak-kanak yang bebas dari segala masalah yang merunsingkan.

Tiba-tiba aku merasakan jari halus mama mengusap lembut hujung rambutku.

"Suzi, ada apa-apa tak yang nak dikongsikan dengan mama?"

Aku menoleh memandang mama. Melihat dia sedekat ini jelas kelihatan garis-garis penuaan di kulit wajahnya tetapi wajah insan yang kusayang ini masih ayu dan cantik walaupun semakin dimamah usia, ratu hatiku selamanya. Aku tersenyum.

"Tiada apa-apa Ma. Tidak ada yang perlu mama risaukan," jawabku dengan nada lembut.

Mama memegang jari kiriku dan menepuk-nepuk lembut, seolah-olah naluri keibuannya dapat membaca derita yang tersembunyi di dasar hatiku.

CAS [Completed] ✔Where stories live. Discover now