Episode 11

181 99 0
                                    


Kadang-kadang, perjalanan kehidupan bukan seperti yang kita inginkan. Apa yang terjadi adalah diluar kawalan kita kerana keterbatasan manusia adalah terhad.

🌹🌹🌹

Tahun 1962...

Encik Tan jenuh mengira hasil jualan di kedai runcitnya hari ini. Wang kertas dan syiling disusun rapi di atas meja. Jemarinya sibuk mengira menggunakan alat kira-kira tradisional Cina yang dikenali sebagai 'Sampoa', ketak-ketuk bunyi alat itu digunakannya.

Sambil mengira dia menggangguk-angguk, tanda setuju dengan jumlah kutipan jualannya. Setelah membuat semua penggiraan, dia mencapai sebatang pen dan merekodkan hasil jualannya di dalam buku kira-kira.

Tersenyum gembira Encik Tan dengan hasil jualan pada hari ini. Ya lah, mana taknya, ini sudah hujung bulan, penduduk kampung ramai yang sudah terima gaji dan membeli keperluan di kedainya. Tambahan pula, kedai dia adalah satu-satunya kedai runcit di kampung itu.

Tidak dinafikan ada juga yang berhutang dahulu, bayar esok lusa namun keuntungan hari ini nampaknya berlipat kali ganda, itu yang membuatkan hatinya senang. Sudah 30 tahun dia duduk di kampung itu, boleh dikatakan dia kenal setiap penduduk yang ada disitu.

Sesekali dia mendongakkan kepala melihat ke arah anak gadis kesayangannya yang meningkat remaja, Lina Tan. Saling tak tumpah muka arwah isterinya yang telah meninggal ketika Lina berumur tiga tahun. Anak gadisnya itulah yang membantu dia menguruskan kedai. Satu-satunya anak yang dia harapkan.

Walaupun dia tahu kalau suatu hari nanti anaknya itu akan berkahwin dan meninggalkan dia kerana budaya di dalam masyarakat Cina, anak perempuan yang bernikah akan tinggal di rumah mertua.

Jika mengikut adat, hilang sudah keturunan Tan tetapi itu bukan masalah besar bagi dirinya. Lina Tan adalah darah dagingnya, darah keturunan keluarga Tan masih mengalir di dalam tubuh anak gadis tunggalnya itu.

Usai merekodkan jumlah jualan, dia perlu merekodkan stok barangan di kedainya dan anaknya Lina sedang membantu dalam hal itu. Baru sahaja Encik Tan mahu bertanya kepada anaknya adakah selesai sudah mengira stok yang masih ada apabila tiba-tiba terdengar bunyi dentuman guruh yang agak kuat menyebabkan dirinya tersentak.

"Haiya!" katanya sambil mengurut dada kerana terkejut. Cepat-cepat dia keluar dari kaunter dan menuju ke arah pintu kedainya. Dia menjenguk keluar.

"Haiyo!" katanya lagi apabila melihat langit sudah gelap dan kilat sambung-menyambung tanda ribut petir akan menyusul. Sudah ada bintik-bintik hujan mulai turun.

Atap zink kedainya berbunyi-bunyi kerana tiupan angin kencang. Encik Tan melihat ke jam di tangannya, baru menunjukkan pukul 6.30 petang. Biasa dia akan tutup kedai jam 8.00 malam tetapi kalau melihat cuaca buruk begini dia tidak dapat tunggu, terpaksa juga tutup kedai awal.

"Lina! Lina!" dia memanggil anaknya yang berada di belakang stor kedai.

"Ya papa," jawab Lina.

"Ni hao liao ma? Wo bu nen zhai den liao, yao xia da yu. Xian zhai guan dian, wo men hui jia (Kamu sudah kah? Saya tak dapat tunggu lagi, hari nak hujan lebat ni. Sekarang tutup kedai, kita balik rumah)." Encik Tan memberi arahan kepada anaknya.

Hujan sudah mulai turun dengan lebat sekali. Di bahagian hadapan kedainya sudah basah kerana tempias air hujan yang dibawa oleh angin. Tergesa-gesa Encik Tan pergi menarik rak-rak sayur dan segala barangan jualannya yang diletakkan di luar kedai masuk ke dalam.

CAS [Completed] ✔Where stories live. Discover now