Episode 10

199 112 6
                                    


Cinta usah dipaksa, hanya mengundang derita tetapi biarkan cinta hadir dengan rela, baharulah bahagia menjelma.

🌹🌹🌹


Aku bersiap hendak turun ke butik. Cuti sakit pun dah habis dan tiba masanya untuk bekerja semula. Aku menyarungkan baju gaun berwarna kuning muda dengan polkadot putih gaya 'vintage', bersolek sederhana sahaja tidak terlalu tebal dan aku pakai 'blusher' pipi untuk memberikan rona warna sedikit kemerahan untuk menaikkan seri di wajahku yang masih kelihatan sedikit pucat.

Aku capai penggulung rambut dan aku gulungkan rambut di bahagian bawah sahaja. Rambutku yang panjangnya melepasi paras bahu memang sesuai digayakan begini. Ku semburkan sedikit minyak wangi 'Lancome Miracle Blossom' di leher dan bahagian pergelangan tangan. Bau wanginya memberikan aura kesegaran dan menaikkan semangatku semula.

Ku toleh ke katil tempat tidurku, Zach masih berdengkur tidur. Semalam dia pulang mabuk lagi. Kali ini aku hanya berdiam, tidak mahu menegur seperti malam sebelumnya. Aku takut dia berkasar dengan aku lagi. Hati ini memang sakit, sudah lama sakit.

Usia perkahwinan kami sudah mencapai satu dekad namun aku belum merasa bahagia seperti yang sepatutnya. Segala pahit aku hanya telan. Satu-satunya sahabat tempat aku selalu meluah adalah Yasmin.

Jika dahulu aku ada Adelin, sekarang Yasminlah yang banyak membantu aku bangkit dari masalah peribadi. Yasminlah yang memberi dorongan kepadaku selama ini untuk aku masih mampu bertahan dengan Zach selain anak-anak ku.

Di dalam perjalanan ke butik, memandu sambil dihiburkan oleh JoHaRa Pagi Era, mendengar celoteh deejay Johan, Haniff dan Ray membuatkan aku ketawa kecil. Sekali-sekala terbahak-bahak juga aku dengan lawak mereka yang lucu.

"Baiklah, sekarang kita dengar dulu lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi Indonesia - Angga Chandra yang baru-baru ini meletop dengan lagunya yang bertajuk: Sampai Tutup Usia."

Tepat aku berhenti di lampu isyarat yang bertukar merah saat lagu ini dimainkan. Alunan musiknya yang sentimental, mendayu-dayu dan lirik lagu tersebut yang sungguh menyentuh hati dan perasaan membuatkan aku terkenang kembali saat aku dijodohkan dengan lelaki yang bernama Zachery Sean.


X X X X X X X X X X X X X

"Mama, kenapa mama buat Suzi macam ni?" aku terduduk di lantai sambil menangis teresak-esak.

"Mama nak yang terbaik buat anak mama, buat keluarga kita."

"Tolong Ma, jangan buat begini. Jangan paksa Suzi kahwin dengan anak aunty Lina tu. Suzi tak kenal dia, tak cintakan dia!" aku merayu dengan mama. Air muka mama tidak menunjukkan sebarang simpati ataupun terkesan dengan tangisanku.

Aku mengalihkan pandanganku ke arah papa yang sedang duduk di sofa bahagian sudut sambil melayan telefon bimbit di tangannya tanpa menghiraukan diriku. Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

"Papa, please, tolong Suzi Pa," aku merayu bagai anak kecil yang meminta pertolongan dan perlindungan dari bapanya.

Akhirnya papa mendongak dan melihat ke arah aku yang terduduk di lantai berhadapan dengannya.

"Jikalau hal mengenai pelajaran ataupun kerjaya papa boleh bagi nasihat tetapi ini mengenai perkahwinan, papa serah kepada mama kamu sahaja, papa tidak mahu masuk campur."

Kejam! Sungguh kejam papa berkata begitu. Ku genggam kedua-dua tanganku sehingga boleh terasa kuku jari mencucuk telapak tanganku, menahan kemarahan. Pada saat ini aku keseorangan. Tiada sesiapa yang dapat menolong aku.

CAS [Completed] ✔Where stories live. Discover now