Bicara Ringkas 4

824 2 0
                                    

Buah Fikir Dalam Interaksi Terhadap Kenyataan Al-Qolyūbiyy Dan Al-Bujayrimiyy Yang Menyatakan Bahawa Boleh Melihat Tubuh Badan Pada Bayangan Air Dan Imej Cermin Walaupun Bersyahwat

Abū al-*Abbās Šihābuddīn Aḥmad bin Salamah al-Qolyūbiyy berkata :

وَخَرَجَ بِهِ رُؤْيَةُ الصُّورَةِ فِي الْمَاءِ أَوْ فِي الْمِرْآةِ فَلَا يَحْرُمُ وَلَوْ مَعَ شَهْوَةٍ

"Terkecuali daripadanya (pengharaman lihatan badan) ialah lihatan bayangan pada air atau pada cermin. Tidaklah ia haram walaupun bersyahwat". [Ḥāšiyatā Qolyūbiy wa *Umayrah *Alā Šarḥ al-Muḥallā *Alā Minḥāj at-Ṭōlibīn, jilid 3, m/s 209, keluaran Dār al-Fikr].

Saya sedar yang beberapa ahli ilmu kontemporari menolak dan cuba membuktikan kesalahan pendapat ini, iaitu tidak ada masalah padanya walaupun beserta syahwat sama ada dari mereka yang šāfiᶜian ataupun selainnya.

Cuma, saya ada persoalan yang ingin dilontarkan. Yang mengeluarkan kenyataan ini bukan daripada calang-calang orang. Mereka yang šāfiᶜian pasti akan mengiktiraf keilmuannya yang luas, pemahaman yang tajam dan kedudukannya yang tinggi.

Jika tidak, tentu sahaja kitab ini atau khususnya penulis ini tidak layak untuk diwakilkan sebagai ahli fiqh šāfiᶜian. Sangat aneh orang sebegini mengeluarkan pendapat sebegini tanpa mengambil kira pelbagai faktor sama ada ia menyalahi atau tidak.

Andaikata kita menganggap dia tersalah atau terlajak kata, ini mungkin sahaja sesuatu yang dia tidak sengaja terlalai dan terlepas pandang. Ya. Itu relevan jika dia bersendirian daripada sekalian ashab šāfiᶜian. Akan tetapi, Sulaymān bin Muḥammad bin *Umar al-Bujayrimiyy juga berkata yang sama :

وَخَرَجَ بِهِ رُؤْيَةُ الصُّورَةِ فِي نَحْوِ الْمِرْآةِ وَمِنْهُ الْمَاءُ فَلَا يَحْرُمُ وَلَوْ مَعَ شَهْوَةٍ

"Terkecuali daripadanya (pengharaman lihatan badan) ialah lihatan pada bayangan di cermin dan air termasuk daripadanya (pengecualian). Tidaklah ia haram walaupun bersyahwat". [Tuḥfah al-Ḥabīb *Alā Šarḥ al-H̱otīb, jilid 4, m/s 372, keluaran Dār al-Fikr].

Sudah tentu, mereka yang šāfiᶜian akan mengakui keunggulan al-Bujayrimiyy dalam keilmuannya dan tingginya penguasaan dalam mazhab itu. Ini menyebabkan sesiapa sahaja akan terpaksa berfikir semula.

Jika al-Qolyūbiyy terlepas pandang atau alpa dengan hal ini, mengapa ini juga yang dinyatakan sama oleh al-Bujayrimiyy? Adakah mungkin dua orang yang berbeza tempat, suasana, latar belakang dan perjalanan hidupnya yang persamaannya adalah kedua-duanya mempunyai pemahaman yang luas dan mendalam akan menuju ke arah yang sama tanpa ada apa-apa sebab yang munasabah? Adakah masuk akal untuk mengatakan kedua-duanya alpa atau sengaja bersepakat untuk alpa?

Sangat sukar untuk menetapkan sedemikian. Jika hanya salah seorang sahaja, barangkali kita dapat berkata sedemikian. Akan tetapi, ini dua orang dari ahli ilmu yang berkaliber!

Apapun, saya memahami bahawa pendapat ini tidak layak diketengahkan sebagai pendapat mazhab šāfiᶜian memandangkan ia menyalahi ahli ilmu yang dimuktamadkan pendapatnya. Ia tidak boleh dibentangkan sebagai pendapat yang dikehadapankan apabila melakukan perbandingan mazhab fiqh.

Pun begitu, adakah ini bermaksud ia adalah salah secara mutlak? Sangat berbeza pendapat yang tidak dijadikan sebagai untuk mewakili mazhab dengan pendapat yang salah melalui neraca al-Quran. Bezakan!

Penulisan saya «Adakah Syahwat Itu Sendiri Berdosa?» sememangnya membela kenyataan mereka ini. Pun begitu, kalau pun seseorang itu adalah yang berpendirian bahawa perselisihan pendapat itu adalah rahmat dan boleh mengikut mana-mana pandangan ahli ilmu yang muktabar, mengapa tiba-tiba hal ini tidak boleh pula? Tiba-tiba perselisihan dalam hal ini menjadi azab pula!

Malah, mereka menuduh bahawa orang yang mengambil pendapat ini adalah orang yang mengikut hawa nafsu. Adakah mereka berdua mengeluarkan pendapat ini mengikut hawa nafsu sehingga orang yang mengikutinya adalah pengikut hawa nafsu? Orang seperti ini pasti tidak akan sebegitu.

Namun, mungkin disebabkan ini bukan sesuatu yang sesuai dengan citarasanya, maka dia sanggup melanggar prinsipnya demi memenangkan apa yang dia mahukan meskipun dengan cara yang kotor dan licik. Akhirnya, tiba-tiba ia menjadi perselisihan yang tidak muktabar untuk beberapa alasan. Antaranya ialah ia pendapat lemah dalam mazhab.

Walhal, pendapat lemah dalam mazhab bukan semestinya pendapat yang lemah dalam Islam. Malah, sebahagian ahli ilmu membenarkan pengambilan pendapat yang lemah mazhab untuk pengamalan peribadi. Perlukah kita menganggap pendapat yang lemah adalah pendapat yang salah dalam Islam secara semberono?

Atau mereka beranggapan bahawa pendapat ini tidak bersesuaian dengan amalan Islam. Jadi, adakah mereka berdua sengaja secara bodoh memberi pendapat yang menyebabkan seseorang itu menyimpang daripada ajaran Islam sehingga orang yang mengikutnya mengamalkan sesuatu yang tidak mengikut garis panduan syariat?

Jika mereka berkata mengamalkan pendapat ini akan menyebabkan orang terjebak dalam kancah fitnah, saya akan bertanya soalan yang sama sebelum ini. Adakah mereka mengeluarkan pendapat ini dalam keadaan tidak mengambil kira natijahnya?

Hanya satu sahaja cara mereka, iaitu mengambil al-Quran dan sunnah sebagai hakim atau gadaikan prinsip mereka itu dengan membuat kenyataan yang bercanggah dengannya.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/621269011428147200/bicara-ringkas-seksual-4-buah-fikir-dalam

com/post/621269011428147200/bicara-ringkas-seksual-4-buah-fikir-dalam

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Al-H̱iṭōb Al-Wajīz : Isu SeksualWhere stories live. Discover now