BAB 28

3.4K 152 18
                                    

“Ini ke rumah kita?” soalku sebaik saja sampai di hadapan rumah yang agak besar. Tak adalah besar sangat macam dalam drama melayu yang biasa kita tengok, saiznya biasa-biasa aje.

“Sayang, ni bukan rumah kita tapi inilah rumah mama dengan papa. Mama nak kita tinggal serumah dengan dia,” balas Faiq seperti serba salah.

“Tak apa Esha okey.” Aku hanya mengukirkan senyuman buat Faiq. Perlahan-lahan tangannya naik dan membelai pipiku.

“Dah jom keluar, masuk nanti terus salam mama dengan papa tau.”

Aku mengangguk faham. Selepas saja Faiq berkata tadi dia terus keluar dari perut kereta dan mengeluarkan beg daripada bonet.

Aku menghela nafas panjang. Dalam fikiranku mula mengingati tentang hal semalam di mana Faiq merayu-rayu kepada mamanya. Mama tak suka aku! Entah-entah mama dah ada calon untuk Faiq tapi tiba-tiba Faiq pilih aku sebagai isterinya. Mungkin sebab itu mama membenciku. Ini tak boleh jadi, aku tak boleh lemah. Aku kena kuat.

Aku tersedar dari lamunan tatkala Faiq mengetuk cermin pintu kereta dan dia memberi isyarat suruh keluar. Aku segera mengambil beg tangan lalu keluar daripada perut kereta. Jantung aku berdetak kencang. Aku takut... aku takut kalau aku tak kuat.

“Kenapa sayang nampak takut sangat ni?” soal Faiq seperti hairan melihatku.

Hakikatnya aku memang takut.

“Tak adalah, mana ada. Jomlah mesti mama dan papa dah tertunggu-tunggu dekat dalam kan.” Tertunggu-tunggu ke? Ayat cuma nak sedapkan hati aje. Aku mengatur langkah seiring dengan Faiq.

“Assalamualaikum mama papa.” Ternyata mama dan papa dah tunggu depan pintu tapi kenapa... kenapa wajah mama seolah-olah gembira dengan kehadiran aku? Esha, jangan perasan entah-entah dia gembira sebab ada anak dia si Faiq ni.

“Mama, papa.” Aku segera menyalam tangan mereka berdua sebagai tanda hormat dan mereka menyambut baik. Tiba-tiba tangan mama mengusap kepalaku.

“Barulah mama dapat tengok depan-depan macam ni, cantik jugak orangnya. Pandai betul achik pilih bakal isteri ya.” Aku terkedu seketika. Benarkah apa yang mama katakan tadi? Dia baru saja memuji aku.

“Terima kasih mama,” balasku dan Faiq secara serentak kemudian aku dan dia berpandangan sesama sendiri.

“Dahlah mari masuk, mama kamu tu dia dah excited sangat menantu baru dia nak datang sebab tu dia masak banyak hari ni. Papa tengok ucu dah terliur sangat tengok lauk yang terhidang kat meja tu.” Papa tiba-tiba menyampuk.

“Baguslah tu achik dengan isteri achik ni pun dah lapar sangat ni.” Tangan Faiq melingkar lalu memeluk bahuku. Aku tergamam lalu mempamerkan senyuman paling manis buat mertua. Dekat sini jugaklah nak berpelukan. Aku gusti jugak kang.

“Ucu! Mari sini tolong bawak masuk beg achik dalam bilik dia.” Papa mula melaung memanggil anaknya yang bongsu.

“Eh, papa tak payahlah menyusahkan ucu aje. Esha boleh angkat sendiri. Bie pergilah meja makan dulu, Esha tolong bawakan. Bukannya berat sangat pun kan.”

“Sayang boleh tak jangan nak mengada? Sayang tu perempuan, habis apa gunanya bie sebagai lelaki kalau tak boleh tolong sayang? Kan berat benda ni.” Halah-halah laki aku ni pun dekat sini jugak nak sweet bagai. Mesti berbulu mata mama tengok betapa romantiknya anak dia ni.

“Iyalah angkatlah, tapi Esha nak angkat beg sendiri. Bie angkatlah beg bie sendiri.” Aku mula mengambil alih beg itu daripada Faiq.

“Papa tengoklah Esha ni, degil betul isteri achik ni. Geramnya.” Faiq mengepit hidungku.

“Sakitlah!” Aku menepis lembut tangan Faiq. Makin mengada-ngada pulak si Faiq ni.

“Papa dengan mama pergilah dulu nanti achik dengan Esha turun makan sekali,” balas Faiq lalu dia mengatur langkah membawa beg bagasi miliknya naik ke tingkat atas.

“Papa pun pergi dulu ya, lapar sangat ni.” Papa pun pergi meninggalkan mama dan aku di sini.

Setelah kelibat dua beranak itu hilang dari pandangan, tiba-tiba mama merentap kasar tanganku.

“Hei perempuan, kau dengar sini ya. Tujuan aku suruh anak aku tinggal di sini bukan sebab aku suka kau sebagai kau menantu aku, lagipun bukan kau sorang menantu aku. Aku ada menantu lain lagi bagus pada kau faham tak. Lagi satu bila kau duduk dalam rumah ni, kau fikir kau boleh jadi permaisuri? Cermin muka dulu, aku suruh kau duduk sini supaya memudahkan lagi kerja aku dekat rumah ni. Kau pun bukannya pandai sangat kan setakat SPM apa aje ada.

Eloklah muka kau sesuai kat dapur je kan. Sebelum aku terlupa jangan tergedik sangat dengan anak aku macam kau sorang je kahwin dalam dunia ni, sakit mata aku tengok. Ke engkau memang tergedik dengan anak aku sebab tu anak aku beria-ia nak kahwin dengan kau? Maklumlah perempuan macam kau setakat SPM kalau kerja gaji berapa aje dapat, lainlah anak aku berduit kan. Eh, lupa pulak panggil aku 'puan' bila bukan depan Faiq, jangan panggil 'mama' boleh tak? Naik loya tekak ni.” Bagaikan sebuah tembakkan tepat menusuk ke dada malah tembus ke jantung. Aku dah agak itu hanyalah sebuah lakonan. Hebat betul lakonan Puan Maria, aku betul-betul tabik.

“Jangan risau puan, saya memang tau yang puan memang tak suka saya.”

“Baguslah kalau kau sedar diri. Simpan dalam kepala otak kau tu supaya ingat yang memang aku tak sukakan kau! Kau ingat, aku suka kau jadi menantu aku? Tak kenan langsung aku dengan kau ni. Dahlah pergi berambus naik atas, nanti anak aku cakap apa pulak kan.” Puan Maria sudah melangkah pergi sambil menjeling tajam kepada aku.

Jika diturutkan rasa hati aku pun marah juga dengan tingkah laku mama tapi apa yang aku boleh buat. Aku hanya mampu bersabar dan aku hanya mampu berdoa semoga dia dapat menerima aku jadi menantunya. Tujuan aku berkahwin bukan untuk bermusuhan tapi untuk mencari kebahagiaan. Ikatan aku antara Faiq sepatutnya mengeratkan hubungan silaturrahim bukan mewujudkan permusuhan lebih-lebih lagi antara mertua dengan menantu.

Bila fikir semula sedih itu ada tapi aku bukan selemah itu aku kena kuat jangan menangis kerana seorang yang tak menghargai aku, aku tak boleh mengalah. Aku kena tawan hati dia supaya mama suka pada aku. Ya Allah, Kau bukalah pintunya supaya dapat menerima aku dalam keluarga ini. Aamiin.

❁❁❁❁❁

Menantu perempuan boleh bersalaman dengan bapa mertuanya, dan tidak batal
wuduknya. Ini kerana bapa mertua telah menjadi mahram muabbad (mahram
selama-lamanya) atas sebab perkahwinan anaknya. Oleh itu, sekiranya
berlaku perceraian sekalipun, bekas menantu perempuan tersebut TIDAK BOLEH
bernikah dengan bapa mertuanya, bahkan ia boleh bersalaman dengan bekas
bapa mertua tersebut. Oleh itu, aurat menantu perempuan dengan bapa mertua
adalah sama seperti auratnya dengan mahramnya iaitu bapanya sendiri atau
adik-beradik lelaki yang lain.
Bagaimanapun, saudara lelaki suami atau adik ipar merupakan bukan mahram
bagi si isteri. Oleh itu, auratnya di hadapan mereka adalah sama dengan
auratnya terhadap lelaki ajnabi lain iaitu seluruh tubuh kecuali muka dan
tapak tangan.

❁❁❁❁❁

❁❁❁❁❁

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
𝙍𝙞𝙣𝙩𝙞𝙝𝙖𝙣 𝙈𝙚𝙡𝙤𝙙𝙞 𝙍𝙞𝙣𝙙𝙪Where stories live. Discover now