26 | Day 2: Babah

598 40 4
                                    

"Haidar sayang babah"- Haidar
***

"Jemput makan Daiyan."

Daiyan menyudahkan goresan hijau terakhir pada lukisan pohon besar yang tercetak di halaman buku mewarna.

Pelawaan Hifza menghentikan aktiviti antara ia dan Haidar. Beberapa jam yang lepas dua beranak itu leka berkuak lentang di ruang tamu. Bermula dari menonton filem kartun, bermain lego dan diakhiri dengan sesi mewarnai dunia hitam putih sang Dinosour yang kesepian. 

"Haidar nak makan?" tanya Daiyan.

Pensel warna disimpan kembali ke tempat asal.

"Tak," balas Haidar. Ia mahu menghabiskan tugasannya dan mahu menunjukkan hasil seni ini kepada Humaira yang akan pulang tak lama lagi.

"Uncle pergi makan dulu okay."

Daiyan mengelus pelan kepala Haidar sembari menghadiahkan satu senyuman ikhlas walaupun Haidar tidak melihat. Haidar yang tekun menyempurnakan Dinosaur walaupun sesekali goresan pensel warna terkeluar dari garisan sempadan tampak menggemaskan.

Daiyan segera bangkit lalu menghampiri Hifza yang sedia menanti di ruang makan. Bau cucur udang dan kuah kacang menusuk deria bau.

"Lama lagi ke Daiyan dekat Malaysia?" Hifza membuka ruang bicara. Hendak mengisi keheningan antara mereka.

Huluran piring yang sedia terisi potongan cucur udang dan kuah kacang Daiyan terima. Sebelum memulakan suapan pertama, ia segera membalas pertanyaan Hifza.

"Minggu depan saya dah balik. Saya ni kerja makan gaji tak boleh cuti lama-lama umi, nanti bos marah."

Hifza diam sejenak. Merenung bait-bait Daiyan yang terawal. Tak sangka Daiyan mahu pulang secepat ini. Patutlah Daiyan sanggup luangkan masa dengan Haidar, rupanya Daiyan akan pergi tinggalkan anak kecil itu sekali lagi.

"Bila Daiyan nak datang sini balik?"

Daiyan hentikan suapan. Kerisauan sang ibu itu menjentik hati Daiyan.

"Dua bulan lagi saya datang lagi. Umi jangan risau, saya akan selalu jenguk Haidar."

Daiyan melirik Haidar yang berada tidak jauh dari mereka. Ikutkan perasaan, dia mahu membawa Haidar ke Indonesia bertemu dengan Sakinah dan Ibrahim. Hakikatnya, keadaan menghalang, Daiyan tak mahu mencipta jarak hubungan yang sedia jauh.

"Tapi kalau Humaira terima lamaran saya, silap-silap saya terus cancel balik Indonesia dan menetap dekat sini terus," seloroh Daiyan.

Daiyan masih lagi berusaha memujuk Humaira dengan cara ia sendiri. Berbaki lagi 5 hari dari perjanjian antaranya dan Abbas. Entah apa pengakhirannya, Daiyan tak mahu menilik.

"Daiyan dah cakap pasal ni dengan Humaira? Niat baik jangan ditangguh." Sempat diselitkan satu pesanan.

Hifza sedia maklum berkenaan tentangan yang Abbas berikan kepada Daiyan. Bagi Hifza apa yang suaminya lakukan itu tak masuk dek akal, memujuk hati yang sedia retak saban tahun tidak dapat dibaiki dalam masa seminggu.

Namun, Hifza sedikit yakin yang Daiyan dan Humaira akan kembali melangkah bersama. Perasaan kasih itu masih lagi terselit dicelah-celah kepingan yang hancur, hanya perlu diberi sedikit dorongan untuk memekar

"Belum umi. Insya Allah saya akan cakap secepat yang mungkin tapi kalau Humaira menolak, saya pulang terus je lah," ujar Daiyan.

Kuah kacang yang berbaki sedikit itu dimainkan dengan hujung garpu sembari menelan kata-kata pahit yang terluah.

[C] DAIYAN HUMAIRATempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang