22 | Hujan dan Daiyan

617 30 1
                                    

"Humaira kita kahwin semula ya?"-Daiyan.
***

Malam semakin kelam. Awan terus menerus memuntahkan air di sekitar kawasan Lembah Klang. Bermula secara renyai dan berubah selebat-lebatnya.

Sesekali Daiyan mengusir air yang menempel di muka walaupun usahanya bagai sia-sia kerana tak sampai sesaat mukanya akan lencun semula. Dia masih tegar berlutut di hadapan pagar rumah Abbas walaupun air tanpa henti menujah tubuhnya yang tidak terlindung.

Hujan seakan menzahirkan kesulitan yang menhimpit dirinya. Kesedihan, penyesalan, dan harapan bersatu menjadi satu elemen gelap yang meresap ke dalam jiwa, meremukkan lagi raga yang sedia hancur.
Namun begitu, dia kekal merendahkan egonya demi mendapatkan keampunan ayah mertua. Jika Abbas boleh berkeras hati, dia juga boleh. Biar terkena panah petir sekalipun, tekadnya tak akan berubah.

Mereka kata bahwa lawan bagi api adalah air kerana air dapat memadamkan api dan mendiamkan pihak lawan tetapi Daiyan tidak mahu menjadi air dalam situasi ini. Ada perkara yang perlu diperjuangkan dan kata mengalah itu telah diletakkan ke tepi. Dia ingin berjuang dan menjadi tanah, kerana tanah adalah sebuah simbol keteguhan. Api kemarahan Abbas sekalipun menjadi marak kerana sikap keras kepalanya, mungkin akan reda jika Abbas melihat tekadnya yang kekal dan tidak berubah.

Bagi Daiyan, usaha mencerminkan kesungguhan dalam mendapatkan sesuatu yang dihajati. Buktinya 11 jam dia berlutut di situ dan hanya berganjak untuk menunaikan kewajipan seorang muslim.

Selimut pemberian Humaira itu kekal memeluk tubuhnya biarpun makin lencun dan memberat. Selimut itu umpama pembakar semangat tambahan kepada Daiyan untuk terus berjuang demi Humaira dan Haidar.

"Saya sayangkan awak, Daiyan. Hingga ke saat ini hati saya masih lagi terpaut pada awak... Buktinya cincin di jari saya ini..."

Daiyan tak bertepuk sebelah tangan. Bukan dia sahaja yang menginginkan si mantan semula, Humaira juga sama, ingin menyambung semula kisah cinta mereka yang terlerai. Selama ini tanpa pengetahuannya, Humaira sudah berjuang keras untuknya dan Haidar dan sekarang tiba masanya untuk dia pula memperjuangkan hak mereka yang telah diragut. Mereka layak bahagia dan Daiyan akan memastikan itu.

"Tunggu aku Humaira, kita akan sambung kisah cinta semula," ujar Daiyan sebelum terdohak ke simen. Kedua kakinya semakin terasa pegal, perlahan-lahan Daiyan kehilangan rasa pada kedua-dua anggota badan terpentingnya. Tak cukup dengan itu, tubuhnya mula memberi tindak balas negatif.

Suhu badan kian menurun, Daiyan menggigil dan pandangannya mula bertindih-tindih dan memudar. Tenaganya sudah sampai di titik terakhir. Sekuat mana pun dia berusaha, dia juga manusia. Dia bukan seorang askar atau anggota pertahanan negara yang mampu teguh di bawah hujan lamanya. Dia hanya seorang insan yang tidak dilatih lasak, jadi tidak hairan jika dia tumbang kerana hujan.

Dalam kekaburan Daiyan terlihat seseorang berdiri disampingnya, merenungnya yang sedang sekerat. Terkebil-kebil Daiyan cuba mengecam siapakah gerangan tersebut.

Hujan yang berjatuhan seakan terhenti. Tubuhnya dilindungi.

"Bangun."

Daiyan mendongak, linglung. Dia tidak dapat membezakan antara realiti dan fantasi. Entah sedang bermimpi atau benar, dia ternampak Abbas memegang sekaki payung dan sedang melindungi dirinya dari kebasahan. Biarpun dia sudah lunyai kerana disimbah air hujan sekian lamanya.

"Bangun. Masuk dalam." Suara itu menjengah lagi. Makin tegas dan dalam.

Daiyan menghiraukan, malah dia meraih Abbas. "Ayah?" Tangannya merayap di betis Abbas, menggunakan deria sentuhan untuk memastikannya sebelum satu garis halus muncul di bibir. Daiyan tidak bermimpi, dia yakin.

[C] DAIYAN HUMAIRAWhere stories live. Discover now