16 | Amy

568 32 0
                                    

"Kenapa perlu tunggu aku sedangkan dia dah bersuami? Tak cukup bahagia ke dia dengan Amsyar sampai nak aku lagi?"- Daiyan
***

Setiba mereka di Kuala Lumpur, Daiyan dan Niyaz singgah di pusat membeli-belah. Di sana, mereka berpisah, Niyaz ke kedai buku manakala Daiyan menjelajah kedai-kedai yang terletak di tingkat bawah sementara menanti abang kedua Niyaz datang menjemput mereka untuk pulang ke rumahnya. Seminggu yang mendatang Niyaz dan Daiyan akan menumpang di rumah sewa abang kedua Niyaz.

Satu persatu butik pakaian berjenama dimasuki, tiada yang benar-benar menarik perhatiannya. Baju yang tergantung diambil, dirasai jenis kainnya, mempertimbangkan pilihannya sebelum meletakkan semula. Perbuatannya itu berulang dari satu kedai ke satu kedai lain, hingga di sebuah kedai yang terakhir, seseorang datang mendekati Daiyan.

"Boleh saya bantu." Daiyan berhenti memeriksa T-shirt yang tergantung di ruang promosi di sebelah kiri kedai. Keningnya terangkat ketika dia memandang seorang pembantu kedai yang tiba-tiba muncul di hadapannya.

"Baju yang encik pegang ini ada promosi 50% dan tinggal satu ini je tau," maklum pembantu kedai itu ramah.

"Ouh iya?" Daiyan bertanya dengan nada yang kurang berminat. Dia kemudian meletakkan kembali baju itu ke tempat asalnya.

"Iya encik, kami sekarang ada promosi. Kalau encik..."

Daiyan rimas, pembantu kedai itu menganggunya.

"Terima kasih, saya cuma nak tengok je." Dengan segera Daiyan keluar dari kedai tersebut.

Semangat untuk membeli baju telah hilang. Asalnya Daiyan tertarik dengan baju yang dia pegang sebentar tadi. Kualiti kainnya sepadan dengan harganya, walaupun harganya masih agak mahal. Ini bukan masalah bagi Daiyan, jika baju itu dapat memberikan keselesaan yang dia inginkan.

Tetapi dengan gangguan yang tidak diingini, niat membeli terhalang. Kedai terakhir itu buatkan Daiyan tak selesa. Dia lebih suka berbelanja tanpa ada yang mengikutinya, rasa kurang selesa jika diperhatikan oleh penjual. Rasa pemilihannya akan dipandang rendah.

Setelah meninggalkan kedai tersebut, Daiyan mencari escalator untuk turun ke tingkat bawah tanah, menuju tempat khas untuk orang yang gemar akan makanan. Perutnya sudah bergendang kencang, perlu diisi dengan sesuatu. Mungkin makanan ringan, sementara menanti Niyaz yang seakan hilang dalam dunia fiksyen. Sudah hampir sejam mereka berpisah dan Niyaz hilang tanpa jejak, langsung tidak menghubunginya.

Bau Auntie Anne's sebaik dia menjejakkan kaki di tingkat bawah membuatkan Daiyan kencur liur. Dengan pantas, Daiyan bergerak ke kiosk Auntie Anne's. Beberapa orang sedang beratur, menanti giliran untuk memesan. Daiyan cepat-cepat beratur di belakang sebuah keluarga, kalau lambat panjang pula kena beratur. Dah la Auntie Anne's favourite orang ramai.

"Daddy, kakak nak makan Choco Eclaire boleh?" Seorang gadis kecil dalam keluarga itu menarik perhatian Daiyan dari belakang.

"Tak boleh lah, tu adik punya. Akak beli yang lain la," sampuk sang adik dalam dukungan si ayah.

"Tapi kakak..." belum sempat si kakak menyelesaikan kata-kata, si ayah tegas menjawab.

"Kakak kan dah besar, cuba mengalah dengan adik,"

Daiyan berpura-pura sibuk dengan gadjetnya, sebenarnya dia jatuh simpati terhadap gadis kecil itu. Dari ekor mata, dia melihat si gadis kecil keluar dari barisan.

Kenapa mereka perlu melukakan sedangkan boleh memberi perhatian yang sama rata. Selalu Daiyan lihat, yang lebih tua perlu mengalah pada yang lebih muda. Konsep ini berulang-ulang dari zaman dahulu hingga sekarang. Tahukan mereka, disebabkan benda yang dianggap remeh atau bertolak ansur boleh menyebabkan muncul satu titik hitam pada hati mereka yang dipinggirkan? Dan menumbuhkan rasa benci kepada saudara kandung sendiri.

[C] DAIYAN HUMAIRAWhere stories live. Discover now