06 | Dikhianati

809 47 1
                                    

"Semoga kita jumpa di akhirat nanti, sama ada kau yang menarik aku dari Neraka sana atau aku yang datang membantu kau."- Daiyan
***

"Kau nak ke mana Daiyan?"

Amsyar yang leka menonton Buletin Pagi sedikit terganggu, dia beralih kepada Daiyan yang sedang menuruni tangga sambil mengusung luggage dalam keadaan tergopoh-gapah.

Tanpa menghiraukan Amsyar, Daiyan meneruskan langkah ke muka pintu. Pintu yang sengaja Amsyar biarkan tidak berkunci itu seolah menyokong tindakan Daiyan untuk pergi dari situ.

Amsyar bangkit meninggalkan pembaca berita yang masih lagi memberikan liputan semasa, dia mengekori Daiyan yang kini sudah berada di luar rumah.

Kelakuan Daiyan mengundang tanda tanya. Nak ke mana pula?

Daiyan dilihat sedang mengambil kasutnya yang masih lagi lembab di tepi rak, Amsyar yang sedang memerhati gerak geri lelaki itu dari muka pintu tidak diperdulikan.

"Kalau nak balik pun, balik la lepas makan tengah hari," kata Amsyar setelah Daiyan selesai menyarungkan kasut secara ala kadar.

Tindakan Daiyan yang terburu-buru ingin pulang, sedikit sebanyak membuatkan Amsyar terasa hati. Sudah lah mereka berpisah lama, baru berjumpa Daiyan pula seakan ingin melarikan diri.

"Terima kasih bagi aku tumpang rumah kau. Ni duit nasi lemak tadi." Dua keping wang kertas berwarna merah Daiyan keluarkan dari dompet dan dihulurnya wang itu kepada Amsyar. Sungguhpun Amsyar telah menyakitkan hatinya, budi lelaki itu harus dihargai.

Amsyar tidak berniat untuk mengambil wang tersebut, dia malah melipat lengannya dan dirapatkan ke dada. Seakan dapat meneka punca Daiyan sebegini.  "Kau marah aku ke?"

Daiyan menarik nafas kasar dan menghembus perlahan, dia berpaling ke tepi. Soalan serkap jarang Amsyar umpama besi panas yang dicelup ke dalam air. Amsyar umpama memetik suis kemarahannya, dia yang berusaha untuk kekal tenang kembali dikuasai amarah.

"Sanggup kau tikam belakang aku Amsyar?"

Alis mata Amsyar terangkat, wajahnya yang datar itu sedikit berkerut. "Sejak bila aku tikam belakang kau?"

"Heh," Bibir Daiyan terangkat ke sudut kiri, gelaknya sinis.

Daiyan melangkah beberapa tapak ke hadapan mendekati Amsyar.

"Kau tahu kan, aku mencintai Humaira bagaikan separuh nyawa aku?"

Langkah Daiyan terhenti tikala mereka saling bersemuka, ketinggian mereka menyamai hingga Daiyan boleh melihat terus ke dalam anak mata Amsyar tanpa perlu mendongak mahupun menunduk.

"Salah satu alasan aku menghilangkan diri juga disebabkan Humaira."

"Disaat aku mahu mencari jawapan di atas kesengsaraan yang aku tanggung selama ni, tanpa aku sangka ada yang bersenang-lenang dalam kesakitan aku." Duit dalam gengaman terjatuh ke lantai, Daiyan manarik baju Amsyar kasar hinggakan Amsyar terdorong ke hadapan.

"Kalau kau cintakan Humaira, mana kau saat Humaiara perlukan kau? Kenapa kau larikan diri di saat Humaira perlukan seseorang untuk memberikan semangat kepadanya? Dimana tanggungjawab kau Mohd Daiyan!" Amsyar mencabar, sengaja mencurah air dalam minyak panas.

Menghilang selama empat tahun dan kembali bersama soalan begini, apa yang Daiyan jangka apabila dia sendiri memilih untuk menghilang. Kalau ikutkan perasaan mahu sahaja dia membelasah Daiyan sekarang, menyedarkan Daiyan yang masih terperangkap dalam gelung masa empat tahun yang lalu. Kenapa mengaku mencintai jika dia yang pergi tanpa berjuang?

Daiyan membisu, hanya riak datar yang dipamerkan. 

"Kenapa baru sekarang Daiyan? Kenapa selepas empat tahun baru kau nak kembali dan mengamuk macam ni?" Amsyar mencengkam tangan Daiyan dan memaksa Daiyan melepaskan bajunya.

[C] DAIYAN HUMAIRAWhere stories live. Discover now