BAB 57 | BUKAN TERBAIK

1.5K 155 9
                                    

"Dunia ini pentas lakonan, kita adalah wataknya. Maka, Allah suntik konflik. Agar drama lebih bermakna."

- Inche Lebah -




•¤•







CAHAYA mentari yang menerobos masuk melalui jendela membuatkan Fasha terjaga daripada lena yang panjang. Perlahan-lahan mata dicelik dan dikerdipkan agar matanya terbiasa dengan cahaya.

Dia bangun daripada pembaringan lalu matanya melirik memandang tangan yang berselirat dengan wayar. Tahulah dia berada di dalam wad hospital sekarang. Pintu yang ditarik oleh seseorang membuatkan Fasha terus berpaling. Senyuman diukirkan.

"Assalamualaikum, Mak Leha. Sihat?" Wanita itu sedikit tersentak.

"Waalaikumussalam. Fasha? Alhamdulillah. Dah dua hari kamu tak bangun-bangun. Bila kamu terjaga?" tegur wanita itu sambil kakinya mengorak langkah mendekati Fasha.

"Baru tadi. Ya Allah, Mak Leha! Mama macam mana? Ada cedera?" Fasha terus teringat peristiwa dua hari yang lepas. Luruh hatinya apabila terpaksa menghadapi situasi yang memakutkan itu.

"Puan Sri okey je, Fasha. Tan Sri tolong jagakan. Nasib baik sewaktu Mak Leha telefon tu, Tan Sri berada di masjid berdekatan sini. Kebetulan ada ustaz yang memang arif tentang ilmu makhluk halus ni ada di situ juga. Dan Alhamdulillah Puan Sri selamat."

"Papa pergi masjid? Buat apa?" tanya Fasha hairan.

Setahunya, Tan Sri Hairul tidak pernah pergi ke masjid kerana gaya hidup mereka selama ini hanya mengikut budaya Orang Barat dan bukannya berlandaskan agama Islam. Tidak pernah sekalipun papanya itu mengajak mereka ke surau atau masjid untuk menunaikan solat.

Namun, walau seteruk manapun lelaki itu dalam hal ehwal agama, Fasha sedikitpun tidak marah apatah lagi berdendam. Dia tetap sayangkan kedua ibu bapanya itu biarpun mereka berdua adalah sejahil-jahil manusia pada mata orang lain.

"Buat apa lagi. Mestilah solat Zuhur." Jawapan Mak Leha membuatkan Fasha terkejut. Namun, masih terselit riak gembira dan teruja pada wajahnya.

"Solat? Papa solat? Sejak bila?" tanya Fasha yang sudahpun melebar senyumannya itu.

"Alhamdulillah. Sejak akhir-akhir ni, Tan Sri selalu rajin pergi ke masjid bersama driver Tan Sri. Tapi tulah, Puan Sri pula yang tak nak terima. Katanya, masih belum terbuka hati. Tapi, Puan Sri tak ada lah menghalang Tan Sri solat."

Fasha meraup wajah bersama senyuman gembira yang penuh dengan kesyukuran. Satu berita yang sangat baik bagi dirinya. Mak Leha turut tersenyum apabila melihat riak wajah gadis di hadapannya itu bahagia tidak terkata. Tidak sia-sia doa yang dititipkan buat mereka sekeluarga selama ini agar dapat kembali ke pangkal jalan.

"Alhamdulillah. Fasha bersyukur sangat-sangat. Insya Allah Fasha yakin yang mamapun akan berubah suatu hari nanti," ujar Fasha bahagia.

Mak Leha mengangguk lalu bibirnya turut mengukirkan senyuman bahagia. Sejambak bunga tulip yang berada di atas meja diambil dan dihulurkan buat gadis itu. Fasha mengerutkan dahi dan disambut juga jambangan bunga tulip putih itu.

"Mak Leha bagi dekat Fasha ke ni?" tanya Fasha hairan. Dia langsung tidak perasan jambangan bunga itu berada di atas meja sisi katilnya sejak dari tadi.

Mak Leha hanya mengangkat bahu, dia sendiripun tidak tahu. Dibuka sahaja pintu, sudah ada jambangan bunga tangan ini di muka pintu rumah.

"Entahlah. Mak Leha sendiripun tidak tahu. Dalam bunga tu ada kad, hanya ada tulis nama kamu. Jadi, Mak Leha bawalah datang ke sini. Alang-alang nak melawat kamu sekali."

BUKAN KERANA DIA [COMPLETED]Where stories live. Discover now