BAB 55 | PUJUKAN TUHAN

1.3K 154 6
                                    

LELAKI tua yang asyik meliarkan pandangan seperti mencari seseorang itu lantas ditegur oleh Fasha bersama senyuman. Mawar pula hanya berdiri di belakang Fasha.

"Assalamualaikum, pak cik? Pak cik sihat?" tanya Fasha.

Lelaki tua itu berpaling dan mengukirkan senyuman mesra. Menerima baik kehadiran dua gadis itu walaupun dia langsung tidak mengenali hati budi mereka. Bersangka baik tetap menjadi pegangan hati.

"Waalaikumussalam. Anak ini siapa namanya?"

"Nama saya Fasha. Ini pula sepupu saya, Mawar." Mata Fasha melirik memandang Mawar. Ditepuk sedikit sisi badan gadis itu sebagai isyarat supaya sepupunya itu menyapa dan menghormati lelaki tua itu. Mawar hanya tersenyum kelat.

"Hai, pak cik. Nama saya Mawar."

"Oo pak cik tengok, kamu berdua memang cantik. Sama seperti arwah anak pak cik," kata pak cik itu bersama senyuman.

Walaupun begitu, tiada siapapun yang tahu kandungan hati lelaki tua yang hidup dalam kesusahan dan kesunyian itu. Disimpan setiap detik kesedihan hidupnya agar orang lain tidak berburuk sangka. Kononnya, mahu meraih simpati dan perhatian. Fasha faham sangat isi hati yang membelenggu hati lelaki tua itu.

"Apa nama pak cik?" tanya Fasha lembut.

"Nama pak cik, Azhar."

"Kenapa pak cik duduk di sini? Kenapa tak duduk di rumah je?"

Kawasan deretan kedai itu dipandang, sesak dengan pelbagai jenis ragam manusia yang lalu-lalang di situ tetapi sedikitpun tidak peduli dengan keberadaan lelaki tua itu di sini. Fasha jatuh simpati. Beginikah keadaan dunia yang fana ketika ini?

"Sebenarnya, pak cik tengah tunggu seseorang. Dia pasti akan selalu bawakan makanan dan minuman untuk pak cik."

"Laa... Pak cik kan ada kaki dan tangan. Kenapa tak bekerja je? Kenapa nak meraih simpati orang lain?" sampuk Mawar sinis. Fasha terus memandang tajam.

"Mawar! Hormatlah sikit! Kalau kau cakap macam tu lagi, aku tinggalkan kau kat sini! Balik jalan kaki!" bisik Fasha keras. Mawar terus membuat muka tidak puas hati. Bibirnya dicebik.

"Maaf, pak cik. Sepupu saya memang macam ni. Pak cik jangan ambil hati ya," pujuk Fasha bersama perasaan serba salah yang menjerut tangkai hati. Pak cik Azhar hanya terseyum, faham dengan sifat jiwa remaja kini yang semakin kuat memberontak dan marah. Sedikitpun dia langsung tidak mengambil hati.

"Pak cik sebenarnya dah tua. Tak larat nak berjalan dan bekerja dah. Pak cik pernah juga bekerja sewaktu muda. Kerja pak cik sentiasa cemerlang dan dipuji majikan. Tetapi disebabkan sifat iri dan cemburu kawan rapat pak cik, dia sanggup fitnah pak cik sehingga pak cik dibuang. Kehidupan pak cik seperti sudah jatuh ditimpa tangga apabila pak cik sekali lagi diuji. Arwah isteri dan anak pak cik pergi buat selama-lamanya."

Hati Fasha dan Mawar tersentuh mendengar luahan hati lelaki tua yang sudahpun dimamah usia itu. Mawar menghampiri lelaki tua itu lalu diapun menundukkan sedikit tubuh.

"Maafkan saya atas sikap biadap saya tadi, pak cik. Saya betul-betul minta maaf. Kuat betul hati pak cik kerana sanggup bersabar dengan ujian yang berat ini. Kalau saya, saya tak kan mampu hidup tanpa kemewahan dan hidup dalam kemiskinan," kata Mawar. Serba salah.

Sekali lagi lelaki tua itu hanya mengukirkan senyuman. Langit biru yang terbentang luas itu dipandang bersama perasaan yang sangat mendalam. Begitu hebat sekali lelaki tua ini. Masih mampu tersenyum biarpun dirinya tahu kehidupan ini amat kejam lagi menyeksakan.

BUKAN KERANA DIA [COMPLETED]Tahanan ng mga kuwento. Tumuklas ngayon