BAB 58 | BAYANGAN

1.5K 149 12
                                    

BUNYI deringan telefon pintarnya kedengaran. Fasha terus mencelikkan mata lalu bangun mengambil telefon pintar yang berada di atas meja. Dia masih mamai dan badannya masih letih kerana baru sahaja pulang dari hospital petang tadi.

Belakang badannya juga masih terasa sakit akibat hentakan peristiwa dua hari lepas. Mahu atau tidak, terpaksalah dia bangun daripada membiarkan telefon pintarnya itu terus menganggu lena.

Nama Zairul terpapar pada skrin. Berkerut dahi Fasha dibuatnya. Buat apa lelaki itu menelefonnya malam-malam begini? Cahaya bulan mengambang yang masuk melalui ruang terbuka sedikit sebanyak membantu Fasha melihat jam pada dinding.

'Pukul 10 malam?'

Telefon pintarnya senyap buat seketika setelah dia mengambil keputusan untuk tidak menjawab panggilan lelaki itu. Tidak semena-mena, telefonnya berdering buat kali kedua. Fasha mendengus geram. Ada perkara mustahak sangatkah sampai perlu telefonnya pada waktu malam begini? Tanpa membuang masa, butang hijau terus ditekan dengan perasaan marah.

"Assalamualaikum, Fasha!" ujar lelaki itu.

"Waalaikumussalam. Kau kenapa telefon aku malam-malam macam ni? Aku letihlah."

"Ya. Saya tahu awak marahkan saya. Tapi, awak kena dengar apa yang saya nak cakap dulu," kata Zairul dalam nada separuh merayu.

"Apa benda yang kau nak cakapkan lagi, Zairul? Apa lagi kenyataan yang kau nak cakap?" tanya Fasha kasar. Kedengaran lelaki itu menghela nafas berat.

"Fasha, please dengar apa yang aku nak cakap. Sekarang ni, papa kau ada di rumah tak?" tanya Zairul resah. Fasha terus mengerutkan dahi. Apa kena mengena dengan papanya dalam hal mereka ketika ini?

"Kenapa pula kau nak tahu?" tanya Fasha ragu-ragu.

"Sekarang ni, lebih baik kau cari papa kau ada ataupun tak. Cari sekarang!" Fasha terus menjauhkan sedikit telefon pintarnya. Sakit telinga!

"Ya. Sabarlah. Aku nak carilah ni," kata Fasha selamba. Bukan dia tidak mahu percaya dengan kata-kata Zairul, tetapi dengan lakonan lelaki itu selama ini buat Fasha rasa tertipu dan kepercayannya kepada Zairul juga berkurangan.

Fasha terus keluar daripada bilik. Matanya menangkap figura Mak Leha yang baru sahaja keluar daripada bilik Puan Sri Elivia. Terus Fasha mengorak langkah ke arah wanita itu.

"Mak Leha."

"Opocot! Opocot! Hantu!" Wanita itu melatah. Fasha sekadar ketawa kecil.

"Ya Allah, kamu ni Fasha! Terkejut Mak Leha," kata wanita itu. Fasha hanya mengukirkan senyuman. Dulang yang ada mangkuk dan cawan yang kosong dalam pegangan Mak Leha itu dipandang.

"Kenapa Mak Leha masih ada di sini? Kenapa tak balik lagi?" tanya Fasha hairan.

Selalunya wanita itu pasti akan siapkan semua kerja sebelum pukul 10 dan terus pulang ke rumah. Tetapi hari ini Mak Leha masih ada di sini walaupun jam sudahpun melangkaui angka seperti hari kebiasaannya.

"Tadi Tan Sri kata dia nak keluar. Dia suruh Mak Leha tidur sini dan jaga Puan Sri selagi dia belum balik."

"Papa keluar? Pergi mana?" tanya Fasha mulai curiga. Kelihatan wanita itu menggaru pipi.

"Entahlah. Dia kata dia ada hal penting mahu diselesaikan." Fasha sekadar mengangguk lalu telefon pintarnya dilekapkan ke telinga kembali.

"Papa aku tak ada. Esok-esok je lah kau nak bercakap dengan dia," ujar Fasha kepada Zairul.

BUKAN KERANA DIA [COMPLETED]Where stories live. Discover now