Prolog

11.2K 245 8
                                    

Api dapur ditutup lalu nasi goreng yang baru siap dimasak itu digaul rata. Nasi goreng dicedok kedalam mangkuk lalu dibawa ke meja makan. Nurani Marisa menuangkan air kopi yang dibancuhnya tadi kedalam cawan.

"Nura masak apa pagi ni? Sedap betul baunya. Dari atas abang Nadim boleh bau." tegur Nadim Muqri sambil menuruni tangga kayu menuju kemeja makan. Dia sudah kecur air liur apabila melihat nasi goreng yang dimasak oleh adik bongsunya itu. Kerusi ditarik lalu dia melabuhkan punggung disitu sambil matanya memerhati Nurani yang sedang menyenduk nasi goreng ke dalam pinggan.

"Abang Nadim makan lah dulu. Nura nak tengok abah dah bangun ke belum."

"Dah bangun dah. Tadi abang Nadim dah mandikan abah." Tangan ditadah untuk membaca doa makan. Lantas itu, dia menyuapkan nasi goreng kedalam mulutnya. Sedap sungguh masakan Nurani. Sama sedapnya seperti masakan arwah ibu dulu.

"Kalau macam tu tak apa lah. Nura nak panggil Kak Nuha turun makan." Langkah disusun untuk naik ketingkat atas rumah kampung itu.

"Buat apa nak panggil dia? Tahu lah dia cari makan sendiri. Itu pun belum tentu bangun lagi. Entah-entah masih membongkang tidur lagi. Selagi matahari tak terpacak atas kepala, selagi itulah dia membuta." Seloroh Nadim, kasar membuatkan langkah Nurani terhenti.

Sakit hati Nadim mengenangkan Nuha Madina yang pemalas itu. Anak dara lain pagi-pagi sudah membuat kerja rumah. Tapi Nuha... Dia sendiri tidak tahu mahu kata apa. Itu belum kira lagi dengan sikap biadap Nuha. Memang sama naik dengan sikap pemalasnya.

Kata-kata Nadim hanya didengar tapi tidak dibalas. Memang apa yang dikatakan Nadim itu benar. Tapi bagi Nurani, Nuha pasti akan berubah satu hari nanti.

Sesampai dihadapan pintu bilik Nuha, Nurani menghentikan langkahnya. Teragak-agak dia mahu mengetuk pintu bilik kakaknya itu. Risau pula Nuha akan marah kerana tidurnya diganggu. Nurani menarik nafas panjang. Pintu bilik Nuha diketuk perlahan.

"Kak Nuha..." panggil Nurani sambil tangannya mengetuk pintu bilik itu. Tiada jawapan daripada Nuha. Nurani cuba untuk mengetuk lagi.

Nuha yang tadinya nyenyak tidur lantas tersedar kerana bunyi dari pintu biliknya. Dia merengus geram. Paling pantang betul kalau tidurnya dikacau.

"Siapa yang ketuk pintu ni. Tak tahu ke aku nak tidur?" marah Nuha dengan suara serak baru bangun tidurnya itu. Matanya masih tertutup rapat kerana mengantuk. Selimut ditarik menutupi seluruh badannya.

"Ni Nura ni. Kak Nuha dah bangun ke?" soal Nurani membuatkan darah Nuha panas. Apa punya soalan. Takkan lah tidur boleh bercakap pula. Selimut yang tadinya menyelebungi tubuh ditolak kasar menjauhi dirinya.

"Kau dah memekak ketuk pintu bilik aku... Lepastu kau boleh tanya aku dah bangun ke belum? Kalau aku tidur aku boleh bercakap ke?" Tengking Nuha tidak berpuas hati. Sudahlah pagi-pagi lagi Nurani sudah mengganggu tidur, ditambah pula dengan soalan entah apa-apa yang diajukan adik bongsunya itu.

"Maaflah kalau Nura ganggu tidur Kak Nuha. Nura nak ajak Kak Nuha sarapan. Sedap tau kalau makan nasi goreng waktu masih panas. Kalau sejuk tak sedap pula nanti."

"Aku tahulah nak makan bila. Kau sibuk kenapa? Berambus lah sana." Tersentak Nurani apabila dihalau begitu oleh kakaknya. Bukan Nurani sahaja yang mendengar kata yang dikeluarkan Nuha itu, Nadim yang kebetulan lalu pun terdengar juga.

Rintihan Rasa ✔️Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang