Bahagian 13: Patung Beruang

645 34 4
                                    

         Banyak perkara yang terlintas di fikirannya. Langkahnya laju melintasi sebuah bilik. Ia lantas menoleh ke arah sesuatu. Pintu bilik yang terkuak besar memudahkan baginya melihat ruangan dalam.

"Tuan, anak patung Zahra ada dalam bilik tu, nangis-nangis dia nak balik." Perkataan Marsya beberapa hari lalu muncul di ingatannya.

Dengan pantas ia melangkah masuk. Katil bertema permaisuri berwarna ungu lembut menjadi tujuannya.

"Macam mana benda ini boleh ada kat sini? Jangan-jangan.." Zaffar musykil dengan apa yang dilihatnya. Bukannya boleh dipercayai sangat akan wanita yang pernah mengabaikan tanggungjawabnya suatu masa dahulu.

Jejaka tersebut mula melangkah melepasi pintu. Matanya meliar mencari akan kelibat seseorang. Setelah ia berada di salah satu ruangan bilik yang terletak di tingkat paling bawah. Kelihatan sosok tubuh kini sedang memakai tudung dalam keadaan terburu-buru.

Pantas ia menarik lengan kecil di hadapannya, "Abang baru balik ya?"

Zaffar hanya menghiraukan sahaja soalan tersebut. Ia mendorong isterinya menaiki anak tangga. Marsya menunjukkan reaksi hairan melihat kelakuan terhadapnya.

"Abang nak bawa Laila pergi mana ini?" Marsya cemberut. Terpaksa mengikuti suaminya yang menarik paksa. Zaffar menggengam kuat lengan Marsya. Tubuh kecil itu mula ditolak kuat ke dinding berdekatan setelah pintu di belakangnya dihempas kuat.

"Kau masuk bilik tu kan?" Suara lantang Zaffar menimbulkan rasa getar dihati Marsya. Namun wajahnya tetap menunjukkan reaksi bersahaja.

"Abang cakap pasal apa ni? Laila tak faham." Dahinya berkerut menjawab soalan suaminya.

"Kau tak payah nak pura-pura tak tahulah.. macam mana anak patung Zahra ada kat dalam bilik dia?" Kedua tangan Zaffar menolak bahu Marsya menyentuh dinding.

Marsya hanya menunjukkan reaksi tenang. Matanya tepat merenung dalam akan wajah yang gerun melihatnya. Dengan perlahan ia menyentuh lengan kekar suaminya sebelum ia menarik tangan tersebut dari terus berada di bahunya.

"Laila tak tahu pun..Mungkin Mama yang letak situ?" Balasnya spontan.

Tawa Zaffar pecah memenuhi ruang yang tidak mempunyai cahaya lampu, hanya berbekalkan cahaya dari tingkap yang berada bertentangan mereka berdua. Jelas dengan nada paksaan.

"Aku tak akan percaya apa yang kau cakap, perempuan tak sedar diri." Ditonjol dahi yang putih mulus. Kepala kecil itu terhentak ke dinding.

"Kau masuk bilik itu kan?" Suaminya malah menyoal tanpa henti. Kini apa yang penting baginya adalah jawapan yang jelas.

Terkebil-kebil mata Marsya dibuatnya, pelbagai bentuk alasan terpacul di minda.

"Betul, memang Laila tak tau pun macam mana patung itu boleh ada dalam ni.. tadi masa saya kemas bilik ni memang dah ada." Tutur Marsya sambil menelan air liurnya cemas. Namun masih menatap mata Zaffar tanpa berkelip dengan wajah tidak bersalah.

Zaffar melepaskan genggamannya lalu memberi isyarat dengan jari telunjuknya, "Siap kau, aku perhatikan semua gerak-geri kau dalam rumah ini." Lalu ia meninggalkan wanita yang masih dalam keadaan cemas dengan gertakannya itu bersendirian.

Marsya meraup wajah mulusnya itu sambil keluhan kesal kedengaran dari mulutnya, "Ya Allah, berdosanya aku menipu dengan suami aku.. tapi aku terpaksa juga."

"Dan ada betulnya jugak, memang masa kemas dah ada pun kat atas katil ini." Bisiknya dihati sambil memandang ke arah katil yang bersaiz single dan dipenuhi dengan anak patung itu.

"Sebab aku yang letak situ dulu sebelum kemas." Ia melangkah pergi sambil tersenyum lucu. Akan tetapi masih penuh dengan rasa bersalah.

~~~~~~~~~~

Langit oren kebiruan itu ditatapnya tenang, angin sepoi-sepoi sejuk terasa di tengkuk menimbulkan suatu perasaan tenteram dari segala apa yang terjadi siang tadi.

Bunyi burung berkicauan hadir di gelanggang telinganya. Waktu senja mula berakhir. Dikala mana ada sesetengah yang sedang sibuk bersiap untuk menunaikan rukun Islam yang kedua. Dibesarkan tanpa agama, ditambah pula dengan kemewahan yang berlimpah membuatkan membuatkan ia lalai dari mengingati Tuhan yang mencipta semesta alam.

Diusap tengkuknya yang agak sejuk, terlintas di fikirannya sewaktu ibunya masih hidup. Kehadiran wanita bernama Laila Marsya merubah segala keindahan yang mula dikecapi. Tangannya mencipta sebuah penumbuk, bersedia untuk menebus kematian ibunya.

Kedengaran bunyi ketukan di pintu mula mematikan lamunan. Apabila ditoleh, didapati kepala wanita yang bergelar ibu tirinya itu terpacul di antara pintu dan kerangkanya.

"Ariff, dah masuk Maghrib.. solat ya." Pesan wanita tersebut sebelum susuk itu hilang dari penglihatannya.

Ia hanya berpaling dengan apa yang didengari, "Kalau aku tak nak?'' Ia bersungut dengan nada memerli.

Pintu itu dikuak buat kali kedua, "Jangan lupa ambil wudhu'." Pesan Marsya terhadap Ariffin yang beriak sahaja.

Ia faham sangat akan sifat anak tirinya itu, selama ia bekerja bermajikan Almarhum Aini, tidak pernah sekali pun ia melihat penghuni rumah melakukan perintah Tuhan yang wajib. Ia melangkahkan kakinya pergi setelah menutup pintu bilik dibelakangnya, misinya bukan sampai di situ sahaja.

Kakinya melangkah menuju tingkat teratas. Lalu ia membuka pintu milik Zaffar, "Abang, jom solat Maghrib sama-sama." Pelawanya kepada jejaka yang sedang sibuk dengan kerja komputer.

Suaminya kini menoleh, "Kau apa hal nak suruh-suruh aku buat apa yang aku tak nak?" Ia membongak.

"Abang, ini perkara wajib.. Saya mengingatkan supaya saya terlepas dari disoal pada Hari Kiamat nanti." Tutur Marsya lembut.

Zaffar lantas bangun dari tempat duduknya. Serta pantas tangannya memegang dagu runcing Marsya dengan kuat. Sehingga mendorong kepalanya ke hadapan mendekati wajahnya yang menatapnya tajam.

"Pandai eh kau menjawab sekarang." Zaffar bersuara sinis.

"Kau nak jadi isteri derhaka?" Sambung Zaffar tidak puas hati.

Marsya memandang tepat ke anak mata Zaffar, "Saya bukan derhaka Bang, saya tak tinggikan suara pun dengan Abang." Tutur Marsya lembut dengan mulut muncungnya penuh konfiden.

"Saya tegur benda yang salah, tak nak nanti kita satu keluarga tanggung dosa ni." Sambungnya dengan pandangan mata yang langsung tidak beralih dari memandang suaminya. Walaupun mulutnya dicengkam oleh Zaffar, tetapi ia tidak pun menghalang Marsya dari terus bersuara.

Jawapan yang diberikan tersebut malah membuatkan perasaan amarah Zaffar semakin membuak-buak, "Kau kena ingat.. jangan sampai aku batalkan perjanjian kita." Dikuatkan cengkamannya di dagu. Meninggalkan bekas merah yang jelas pada kulit putih mulus, cukup tidak memberikan apa-apa kesan pada Marsya.

Marsya memandang suaminya yang tidak dapat membendung kemarahannya, "Saya pun tak akan masuk campur kalau abang nak kunci bilik." Ujarnya lembut sambil memaksa sebuah senyuman dalam keadaan sebegitu.

Zaffar berdesah kuat, "Kau dah pandai nak ugut aku?" Kedua keningnya diangkat.

"Kenapa tak bunuh aku je terus macam apa yang kau dah buat pada tuan kau sebelum ini?" Soalan yang penuh dengan nada sindiran.

Marsya masih tidak lekang dengan senyumannya, walaupun setelah dilakukan sedemikian kasar oleh lelaki yang tidak berperikemanusiaan, "Kalau Abang tak nak ikut perkara yang betul ni, saya tak nak tolong abang dapatkan kunci tu."

Dagu wanita tersebut ditolak kuat menyebabkan Marsya terhempas jatuh ke lantai marmar. Tanpa sebarang reaksi muncul di wajah murni yang memandang lantai.

"Saya tetap kena bertegas, ini tanggungjawab kita sebagai umat Islam.. nak tak nak, Abang kena juga buat.. macam itulah pentingnya Solat." Tubuhnya secara perlahan mula bangkit dari posisinya.

Zaffar mengetap rahangnya geram setelah mendengar jawapan Marsya yang polos itu. Pantas ia menarik lengan Marsya dan menatapnya tajam. Kini renungan Marsya penuh yakin serta penuh pasti. Menanti jawapan yang diberikan Zaffar.

Wanita Berbakat ✓ {Editing}Where stories live. Discover now