Bab 19

9.1K 512 41
                                    

SEJAK pagi tadi, perasaan Fakrul menjadi tidak tentu arah. Lebih-lebih lagi setelah mendapat tahu keluarga Sakinah akan sampai ke sini pada petang ini. Sudah lama Fakrul tidak berhubung dengan Sakinah. Terasa janggal pula dia jika mereka bertemu nanti.

Melihat Fakrul dan Kak Piah sudah berbaik semula membuatkan Fakrul mampu menarik nafas lega. Bukan main lagi Fakrul melihat abangnya yang sentiasa ingin berkepit dengan kakak iparnya itu. Sakit pula matanya yang melihatnya.

“Rul, jom keluar. Pak Achik dah sampai tu.”

Terkejut Fakrul apabila Saiful memberitahu tentang kehadiran mereka. Perasannya semakin gemuruh. Dia sendiri pelik dengan perubahan dirinya.

Fakrul dan Farhan hanya mengikut langkah Saiful keluar dari rumah mereka. Ketika itu Syamsul dan Dahlia sedang berbual mesra dengan ibu bapanya. Fakrul segera ke bahagian bonet kereta untuk membantu mengeluarkan beg pakaian mereka.

Baru sahaja dia ingin ke bahagian bonet kereta, Fakrul bertembung dengan Sakinah yang baru sahaja membuka pintu kereta di bahagian kerusi belakang. Mata mereka saling memandang di antara satu sama lain.

Fakrul agak terpaku dengan imej baru Sakinah yang kini sudah pun menutup aurat. Dengan hanya memakai selendang sahaja, Sakinah kelihatan lebih matang dan cantik berbanding umurnya yang sebenar.

Sakinah cepat-cepat memandang ke arah lain. Dia tidak mahu dari terus memandang Fakrul. Walaupun perasaan rindu itu ada, tetapi dia segera menyedarkan dirinya tentang statusnya di sisi Fakrul.

Sakinah segera masuk ke dalam rumah tanpa menegur Fakrul. Fakrul pula agak terkedu dengan layanan dingin daripada Sakinah. Terasa juga hatinya menerima layanan begitu. Pasti Sakinah masih berkecil hati dengan tindakan kasarnya pada tempoh hari.

Jika dia di tempat Sakinah, pasti dia akan terluka juga. Fakrul nekad akan memohon maaf daripada Sakinah. Tak sanggup dia dari terus di layan seperti orang asing.

Beg pakaian di bawa masuk ke dalam rumah setelah dia bersalam dengan Syamsul dan Syamil. Sempat juga dia berbual-bual dengan Syamil. Ketika dia masuk ke dalam rumah, sekali lagi Fakrul ternampak Sakinah sedang berbual dengan Fariha dan Kak Piah.

“Cantiknya Kak Piah tengok Kinah pakai tudung sekarang. Kenapa cantik sangat ni?” Puji Piah sambil mencubit pipi gebu Sakinah.

Sakinah hanya tersenyum sambil menunduk malu.

“Kau ni Piah, tengoklah Mak Achik tu. Kan ibu Kinah cantik, sah-sahlah Kinah ni ikut ibu dia.” Sampuk Fariha.

Mati senyuman Sakinah saat mendengar kenyataan itu. Dia cuba berlagak tenang kerana teringatkan pesanan Syamsul.

“Bila Kinah mula pakai tudung ni?” Soal Piah.

“Baru je lagi Kak Piah. Lepas habis exam hari tu.”

“Alhamdulillah. Kak Piah suka tengok perubahan Kinah macam ni.” Puji Piah lagi.

“Malam ni Kinah tidur dengan Kak Riha ye. Boleh Kak Riha ada teman malam ni.” Ajak Fariha sambil memaut erat bahu Sakinah. 

Sakinah hanya anggukkan kepalanya. Gembira kerana menerima layanan mesra dari Fariha dan Piah.

“Nak juga. Aku tidur kat bilik kau lah ye malam ni. Lagi ramai, lagi bagus. Betul tak Kinah?” Sampuk Piah.

Sakinah hanya tersenyum nipis sahaja mendengar perbualan di antara mereka berdua. Terhibur juga rasa di hatinya melihat kemesraan di antara mereka.

“Tak payah nak mengada Piah oii! Kau nak jadi macam malam pertama kau tu ke? Tak pasal-pasal bilik aku kena serbu dengan abang aku tu. Sekarang lagilah asyik nak melekat je. Menyampah aku tengok. Ada hati nak tidur asing-asing.” Perli Fariha.

Piah hanya mencemikkan mukanya sahaja tanda tidak puas hati.

“Jom Kinah, Kak Riha bawa Kinah masuk bilik Kak Riha dulu ye. Kita simpan barang-barang ni. Lepas tu bolehlah Kinah berehat.” Ajak Fariha dengan membawa barang-barang milik Sakinah dan memegang tangannya menuju ke biliknya.

Sakinah hanya mengikut sahaja arahan daripada Fariha. Piah juga turut mengikut mereka ke bilik Fariha.

Dari jauh Fakrul ralit melihat perbualan antara Sakinah dengan kakak-kakaknya. Sungguh dia rindu melihat senyuman itu tetapi kenapa terasa ada sesuatu yang tidak kena dengan raut wajah Sakinah. Wajahnya seperti sedang dalam masalah yang rumit.

“Tengok apa tu?” Tegur Syamil dengan tiba-tiba.

Terhenjut bahu Fakrul. Malu juga jika ada yang perasan dengan perbuatannya tadi.

“Kau ni Mil, main sergah je. Tak ada apalah. Tak penat ke? Kalau penat rehat je lah dalam bilik aku tu dulu.” Pelawa Fakrul.

“Takpelah. Aku nak lepak sini kejap. Lagipun dalam kereta tadi aku dah puas tidur."  Tolak Syamil dengan baik.

“Macam mana exam kau baru-baru ni? Rasa boleh dapat tak straight A?” Usik Syamil.

Tergelak Fakrul dengan pertanyaan Syamil.

“InshaAllah, aku berdoa je. Kau pun doakan untuk aku sekali. Ermm... adik kau pula macam mana?” Fakrul ingin cuba mengorek maklumat daripada Syamil pula.

“Alhamdulillah, result dia okey tapi tak adalah cemerlang macam kau. Asal dia lulus semua matapelajaran pun aku dah bersyukur. Walaupun dia dapat satu je gred A, aku boleh nampak dia rasa happy sangat. Bukan senang dia nak gred A dalam subjek lain kecuali pendidikan seni selama ni.” Terang Syamil dengan bangga.

Fakrul turut berasa bangga. Namun dia mula berasa hairan apabila mendengar ayah saudaranya itu pernah mengadu sesuatu kepada papanya.

“Alhamdulillah, itu pun dah lebih baik Mil tapi kenapa pula mama aku cakap yang Pak Achik macam kecewa je dengan result Kinah?” Soal Fakrul ingin tahu.

Terus berubah riak wajah Syamil ketika itu. Dia mula berasa tidak sedap hati dengan perkara yang disampaikan oleh Fakrul. Ini ke punca Sakinah tiba-tiba memberontak beberapa hari yang lalu?

“Abah aku ada mengadu pada Pak Long ke?” Syamil hanya memerlukan kepastian sahaja daripada Fakrul.

“Ermm... mama aku yang cakap.” Fakrul mula berasa pelik melihat reaksi kurang senang daripada Syamil.

Terdengar keluhan kasar dari mulut Syamil. Nafasnya ditarik dalam-dalam. Mujurlah kedua ibu bapanya sudah ke ruang tamu yang lain.

“Aku kesiankan adik aku tu Rul. Adik aku tu bukannya sama macam kita. Abah aku kecewa sebab dia terlalu berharap Kinah tu dapat result terbaik macam aku dulu. Dah macam-macam usaha ibu dan abah aku buat untuk Kinah supaya dapat atasi masalah pembelajaran dia. Mungkin abah aku rasa usaha yang dia lakukan tu macam sia-sia je.” Cerita Syamil.

Fakrul agak terkedu dengan kenyataan daripada Syamil. Sejauh itu ke masalah yang dihadapi oleh Sakinah.

“Jadi, sebab tu ke Kinah berubah? Aku tengok, dia pun asyik diam je dari tadi.”

Syamil tidak tahu untuk menjelaskan bagaimana masalah yang dihadapi oleh adiknya itu. Lagipun dia juga tidak mahu mendedahkan rahsia keluarganya kepada sesiapa pun demi melindungi maruah adiknya.

“Kau ni pun, adik aku tu kan dah makin besar. Mestilah sekarang dia dah mula berfikiran matang. Dengan aku pun dia dah jarang nak mengusik.” Terpaksa Syamil berbohong kepada Fakrul.

Tersengih-sengih Fakrul mendengarnya.

“Aku masuk bilik dululah ye nak rehat. Beg ni biar aku bawa.” Kata Syamil dan segera berlalu pergi.

Dia risau jika dirinya terlepas cakap mengenai masalah adiknya kepada Fakrul. lebih baik dia mengelak sebelum perkara itu terjadi.

Fakrul masih belum yakin dengan jawapan Syamil mengenai perubahan Sakinah. Tak akanlah Sakinah boleh berubah dingin dan pendiam dalam masa yang cepat. Fakrul nekad untuk bercakap empat mata dengan Sakinah nanti. Lagipun dia mahu meminta maaf daripada Sakinah.

😍💟💟💟💟💟💟💟💟💟💟😍😍💟

Rahsia Hati Mrs. Fakrul ( Ready Stok) Cover BaruWhere stories live. Discover now