Bab 11

8.9K 532 42
                                    

Fail biru diatas meja tulisnya masih lagi berada bersamanya. Sudah dua hari dia membawa fail itu ke rumah. Sehingga ke hari ini, dia masih takut untuk bertanyakan kepada kedua ibu bapanya. Hatinya semakin tidak tenteram saat melihat nama bapanya bukan Syamsul.

Sekali lagi fail peribadinya itu dibuka. Dia mahu memastikan dirinya tidak salah melihat isi maklumat itu. Tertanya-tanya juga kenapa nama abahnya tidak sama dengan nama dia yang sebenar. Fail itu ditutup kembali kerana fikiran makin kusut jika terus meneliti isi kandungan itu.

Tanpa membuang masa, Sakinah keluar dari biliknya kerana ingin bertemu dengan ibunya. Sampai sahaja di dapur, ibunya sedang sibuk menyiapkan makan petang buat mereka sekeluarga.

“Ibu...” Panggil Sakinah dengan nada yang perlahan.

Dahlia menoleh memandang Sakinah.

“Ye adik. Adik lapar ke?” Tanya Dahlia sambil terus menggoreng sesuatu di atas dapur masak.

“Tak lapar pun ibu. Ibu, err… cikgu adik suruh bawa salinan kad pengenalan esok. Nanti boleh beritahu pada abah tak? Sebab hari tu abah yang nak pegang kad pengenalan adik.”

Sejak kes dia dimarah tempoh hari, Sakinah sudah jarang berbual dengan Syamsul. Dahlia yang mendengar pesanan anaknya menoleh sekali lagi ke arah Sakinah.

“Adik marah abah lagi ke?” Soal Dahlia.

Risau juga kalau anaknya ini masih berkecil hati dengan Syamsul. Suaminya ada juga mengadu kepadanya yang Sakinah seperti mengelak daripada berbual dengannya. Masa sarapan dan makan malam pun, Sakinah hanya berdiam diri sahaja.

“Tak adalah ibu. Mana ada adik marah.” Nafi Sakinah.

Dahlia menarik nafas lega.

“Esok ke cikgu nak salinan tu?” Sekali lagi Dahlia bertanya. Tangannya masih lincah memasukkan adunan tepung ke dalam kuali.

“Sepatutnya semalam, tapi adik terlupa.” Ujar Sakinah separuh berbohong.

“Adik ambil sendiri kad pengenalan adik dalam laci meja solek ibu. Abah ada simpan kat situ. Lagipun, bila masa lagi adik nak ke kedai photostat. Kalau dah malam, payah pula nanti. Abah pun balik lambat lagi…” Arah Dahlia tanpa langsung rasa curiga.

“Okey ibu. Adik pergi ambil ye.” Lekas Sakinah naik ke tingkat atas menuju ke bilik tidur ibu bapanya.

Masuk sahaja di dalam bilik itu, dia menghampiri meja solek Dahlia. Perlahan-lahan laci meja solek ibunya dibuka. Ada bekas kecil dan sampul berwarna coklat di dalam laci itu. Kedua-dua barang itu dikeluarkan dari laci itu.

Bekas kecil itu dibuka dan ternyata benar kad pengenalannya tersimpan di situ. Lama matanya melihat nama yang tertera di kad pengenalan itu. Kali ini tubir matanya semakin bergenang. Sedikit masa sahaja air matanya akan jatuh ke pipi.

“Siapa aku dalam rumah ni?”

Sakinah semakin tertarik untuk melihat isi kandungan sampul coklat itu. Jelas nama Rumah Anak Yatim Permai tertulis di atas sampul itu. Terketar-ketar tangannya membuka sampul itu.

Sebaik sahaja dia membuka sampul itu dan mengeluarkan isi kandungannya, luluh hatinya apabila melihat surat beranak miliknya tertulis namanya yang sama seperti di kad pengenalannya. Malah gambar ketika dia masih bayi turut dikepilkan bersama.

Krekk…

Sakinah terus menoleh ke arah pintu bilik. Melihat insan yang berdiri di depan pintu bilik itu membuatkan air mata Sakinah semakin deras mengalir.

“Jangan sampai abah hantar ke tempat asal adik semula."

Kini, barulah dia faham dengan maksud Syamsul dahulu. Tempat asalnya adalah berada di sini. Rumah Anak Yatim Permai.

Rahsia Hati Mrs. Fakrul ( Ready Stok) Cover BaruWhere stories live. Discover now