Bab 14

8.7K 547 31
                                    

SUDAH seminggu Sakinah tidak hadir ke sekolah. Dia hanya berkurung dan duduk termenung sahaja di dalam biliknya. Syamsul dan Dahlia semakin runsing memikirkan keadaan anaknya itu. Peperiksaan UPSR hanya tinggal seminggu sahaja lagi.

“Abang, macam mana ni abang? Sampai bila adik nak terus macam tu. Lia tak sanggup nak tengok keadaan adik berterusan macam tu.” Luah Dahlia dalam nada yang sebak.

Hati ibu mana yang tidak sedih apabila melihat anak yang manja dan sentiasa ceria berubah menjadi seperti ini.

“Sayang, kita sama-sama berdoa ye. Abang pun buntu. Sekarang ni kita berikan ruang buat anak kita tu. Abang yakin adik anak yang baik. Dia tak akan sanggup tengok kita bersedih.”

Syamsul juga sudah mati akal untuk memujuk Sakinah. Setiap kali dia cuba berbual dengan Sakinah, anaknya pasti akan berpura-pura tidur.

“Lia yang salah. Lia cuai. Kenapalah Lia boleh biarkan adik ambil kad pengenalan dia hari tu? Lia betul-betul lupa tentang perkara tu.” Terkilan sungguh rasa di hati Dahlia apabila teringatkan kesilapannya itu.

“Tak perlu salahkan diri Lia. Mungkin dah sampai masa adik tahu. Sudahlah Lia. Jangan bersedih lagi. Abang pun susah hati tengok isteri abang asyik menangis.” Kata Syamsul sambil memaut erat bahu isterinya.

“Lia minta maaf. Abang dah banyak berkorban demi Lia. Abang sanggup berjauhan dengan keluarga abang disebabkan adik. Lia tahu abang tak nak sesiapa tanya tentang asal usul adik. Sebab tu abang ambil masa yang lama untuk balik ke kampung bila adik dah besar. Lia terhutang budi pada arwah mak abang. Arwah mak abang banyak berkorban demi kita semua. Kalau dia ada lagi, mesti dia dah bagi kita nasihat.” Sayu hati Dahlia apabila mengenangkan pengorbanan suaminya dan arwah ibu mertuanya.

Syamsul juga berasa sebak apabila mendengar luahan isterinya. Sejak dia berkahwin dengan Dahlia, dia nekad ingin menjaga isterinya yang juga seorang anak yatim piatu dengan baik. Cuma mereka diberi ujian kehilangan anak kedua mereka sehingga menyebabkan isterinya tidak mampu lagi mengandung.

Keputusan mengambil anak angkat bukan mudah bagi Syamsul. Setelah dia berfikir dengan panjang, Syamsul sanggup mengambil anak angkat demi isterinya. Mujurlah arwah emaknya bersetuju. Malah ahli keluarga yang lain turut tidak mengetahui tentang perkara itu.

Hal mengenai kematian anak keduanya juga dirahsiakan daripada pengetahuan keluarganya yang lain kecuali arwah emaknya. Mereka tidak mahu ahli keluarganya yang lain mempertikaikan status kelahiran Sakinah.

“Jangan cakap macam tu Lia. Apa yang abang lakukan demi kebahagian keluarga kita. Abang berharap sangat keluarga kita akan kembali seperti dulu." Pinta Syamsul.

Dahlia turut mengharapkan perkara yang sama. Dia sangat rindukan telatah manja anak perempuannya itu.

Tanpa mereka berdua sedari, perbualan itu telah didengari oleh Sakinah.

💟💟💟💟💟💟💟💟💟💟💟💟💟

PETANG ini, Sakinah mula keluar dari biliknya. Dia duduk di kerusi hiasan sambil mengambil angin di halaman rumahnya. Masih tergiang-giang lagi kata-kata Fakrul di telingannya tempoh hari sehingga membuatkan dirinya berasa sangat tertekan.

Telefon bimbitnya yang telah hancur sudah selamat di buang ke dalam tong sampah. Terasa bersalah juga kerana telah merosakkan telefon bimbit pemberian Syamsul. Namun, dia puas kerana tidak lagi perlu berhubung dengan Fakrul. Itu juga adalah permintaan Fakrul sendiri.

“Adik...” Syamil tiba-tiba muncul dan duduk di sebelahnya.

Sakinah masih lagi enggan bersuara. Malah, kehadiran Syamil langsung tidak dihiraukan. Syamil mengambil kesempatan ini untuk berbual-bual dengan adiknya. Dia sendiri tidak sanggup lagi dari terus melihat keadaan keluarganya yang semakin suram. Dia rindukan usikan nakal Sakinah.

“Sampai bila adik nak macam ni? Adik tak kesiankan ibu dan abah ke? Ibu hari-hari menangis. Adik kan tahu ibu tak boleh bersedih sangat disebabkan penyakit darah tinggi.” Nasihat Syamil.

Dia mahu adiknya sedar yang mereka juga risaukan keadaan Sakinah. Sakinah menoleh memandang Syamil di sebelahnya.

“Abang Mil tak malu ke ada adik macam adik ni?” Soal Sakinah.

Terkedu Syamil dengan soalan itu. Ternyata, perkara itu masih lagi difikirkan oleh Sakinah.

“Kenapa abang Mil nak malu pula? Abang Mil bangga ada adik macam adik. Sampai bila-bila pun Abang Mil tetap akan anggap adik macam adik kandung Abang Mil sendiri. Kalau tak ada adik, mesti hidup Abang sunyi. Abang Mil harap sangat kita sebagai anak, dapat banggakan ibu dan abah.” Jelas Syamil sambil mengusap lembut rambut Sakinah.

Sakinah tundukkan wajahnya. Dia agak tersentuh dengan jawapan Syamil.

“Adik tahu ibu dan abah sayang sangat dengan adik. Adik cuma malu pada diri sendiri. Adik akan cuba terima apa yang berlaku pada diri adik dengan redha.” Sebak Sakinah meluahkan perasaannya.

“Tak perlu ada perasaan malu sampai adik rasa rendah diri. Yang penting adik jalani kehidupan seperti biasa. Adik patut bersyukur sebab ada ibu, abah dan Abang Mil hadir dalam hidup adik. Ramai lagi budak yang tak bernasib baik macam kita ni. Seminggu lagi adik nak exam. Jangan buat ibu dan abah susah hati lagi ye lepas ni.” Nasihat Syamil lagi.

Sakinah hanya anggukkan kepalanya. Seperti kata Syamil, dia hanya perlu meneruskan kehidupannya seperti biasa. Malah, dia mahu membalas jasa kedua ibu bapanya yang banyak bekorban untuk dirinya sendiri.

Perbualan ibu dan abahnya ketika di dapur tadi sudah cukup menggambarkan dirinya bertuah hadir dalam keluarga ini. Kini, dia mula faham perkara yang pernah arwah Saleha ingin katakan kepadanya sebelum ini.

💟💟💟💟💟💟💟💟💟💟💟💟💟




Rahsia Hati Mrs. Fakrul ( Ready Stok) Cover BaruWhere stories live. Discover now