“Adik!”

Syamsul yang baru sahaja balik dari bekerja, terkejut melihat Sakinah berada di dalam bilik tidurnya. Perasaan Syamsul semakin gementar saat melihat Sakinah memegang gambar dan isi kandungan di dalam sampul itu

“Siapa adik ni abah?” Sakinah sudah mula mengalirkan air mata.

“Adik, abah boleh jelaskan.” Syamsul cuba mendekati anaknya itu. Sungguh dia tidak bentah melihat anaknya menangis disebabkan rahsia yang sudah terbongkar.

“Kenapa ni abang? Eh, adik! Kenapa menangis ni?” Dahlia yang baru masuk ke bilik terkejut melihat anaknya menangis.

Sakinah memandang wajah Syamsul dan Dahlia.

“Adik bukan anak abah dan ibu ke?” Kali ni Sakinah memberanikan diri untuk bertanya. Dia tidak mahu lagi terus berteka-teki.

Dahlia hampir rebah setelah mendengar pertanyaan dari anaknya itu. Mujurlah suaminya sempat memaut erat bahunya.

“A... adik...” Terketar-ketar suara Dahlia memanggil Sakinah.

“Adik, abah boleh jelaskan. Kita berbincang dengan cara yang baik ye sayang.” Pujuk Syamsul agar Sakinah dan Dahlia berada dalam keadaan tenang buat masa ini.

Dahlia memberanikan diri dengan mendekati anaknya. Tangan Sakinah dicapai dan  dibawanya duduk bersamanya di sisi katil. Air mata Dahlia turut gugur kerana dia perlu kuat untuk menceritakan perkara yang sebenar.

Syamsul duduk berlutut di hadapan anaknya. Malah, dia juga memegang tangan Sakinah.

“12 tahun dulu, ibu pernah lahirkan seorang puteri, tapi hayatnya tak  panjang. Anak ibu meninggal sehari selepas dilahirkan. Ibu dah tak mampu lagi mengandung selepas itu. Ibu mengalami pendarahan yang teruk selepas melahirkan anak ibu. Doktor terpaksa buang rahim ibu demi menyelamatkan nyawa ibu.”
Teresak-esak Dahlia bercerita tentang kisahnya. Syamsul memegang erat tangan isterinya tanda memberi sokongan.

“Ibu hampir meroyan disebabkan kehilangan anak ibu. Abah adik terlalu sayangkan ibu masa tu. Abah takut kalau ibu buat sesuatu yang buruk pada diri sendiri.  Jadi abah sanggup ke rumah anak yatim untuk mengambil bayi yang boleh dijadikan anak angkat bagi menggantikan tempat anak ibu yang meninggal. Nasib kami baik. Adik dilahirkan seminggu selepas anak ibu meninggal. Jadi kami ambil keputusan untuk mengambil adik menjadi anak angkat kami. Kebetulan pula pihak rumah anak yatim itu kenal dengan abah adik. Oleh sebab itu, permohonan kami diluluskan dengan segera. Dan sejak dari hari itulah, adik tinggal dan menjadi anak ibu dan abah.” Sambung Dahlia lagi.

“Ma... mana ibu kandung adik?” Teresak-esak Sakinah bertanya.

Walaupun agak perit kenyataan yang baru diketahuinya, dia masih mahu tahu siapa dirinya yang sebenar.

Dahlia memandang ke arah suaminya. Dia berharap agar biar suaminya sahaja bercerita tentang perkara itu.

“Kami tak dapat maklumat mengenai ibu bapa adik sebab adik ditemui dibuang di hadapan pagar rumah anak yatim selepas dilahirkan. Disebabkan tiada waris yang menuntut adik, abah dan ibu buat keputusan untuk ambil adik seperti anak kami sendiri semasa umur adik tiga minggu.” Jelas Syamsul.

Kali ini tangisan Sakinah semakin menjadi-jadi. Dia bukan bodoh jika dirinya telah ditemui di hadapan pagar rumah anak yatim. Jelas dia mungkin anak luar nikah yang tidak diketahui asal usulnya.

“Ibu yang susukan adik. Ibu yang jaga adik dari adik masih bayi sampai sekarang. Jadi adik jangan fikir ibu dan abah membezakan adik dan Abang Mil. Adik dah macam nyawa ibu.”

Dahlia memeluk erat tubuh anaknya. Dia tahu anaknya tidak dapat menerima kenyataan yang dirinya dianggap seperti anak terbuang.

Sakinah tidak dapat menerima kejutan demi kejutan tentang dirinya lagi. Lantas dia segera meleraikan pelukan ibunya dan berlari keluar dari bilik itu. Sebaik pintu bilik dibuka, Sakinah terserempak dengan Syamil.

Syamil sudah mendengar semua perbualan mereka sebentar tadi. Walaupun Sakinah hanya adik susuannya, Syamil tetap akan menganggap Sakinah seperti adik kandungnya sendiri.

Sakinah terus berlari ke biliknya tanpa menghiraukan pandangan sayu dari abangnya itu. Dia benar-benar ingin bersendirian ketika ini.

Teresak-esak Sakinah menangis di dalam biliknya. Selepas dia mengetahui kebenarannya, hatinya sungguh sakit. Dia langsung tidak boleh menerima hakikat yang sebenar tentang dirinya.

“Patutlah aku ni bodoh, lembab! Rupa-rupanya aku ni bukam anak mereka. Bukan dari keturunan mereka. Asal-usul sendiri pun aku tak tahu. Kenapa? Kenapa aku yang kena hadap semua ni?”

Tangisan sayu Sakinah menjadi teman setianya pada hari itu. Dan tiada siapa yang menyangka, mulai detik itu telah mengubah hidup Nur Sakinah Abdullah.

💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕



Rahsia Hati Mrs. Fakrul ( Ready Stok) Cover BaruTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang