Bab 1

16.3K 672 26
                                    

SUASANA perkahwinan Farhan dan Piah disambut dengan meriah walaupun hanya sederhana. Fakrul melihat dari jauh pasangan pengantin itu sedang berbual-bual mesra dengan tetamu-tetamu yang hadir.

Tersenyum Fakrul saat mendapat tahu berita tentang perkahwinan abang sulungnya bersama dengan kakak sepupunya itu. Dia tidak menyangka abangnya akhirnya membuat keputusan untuk menamatkan zaman bujangnya bersama sepupu mereka sendiri.

Sejak dari kecil lagi Fakrul sangat menyayangi Kak Piah seperti kakaknya sendiri. Melihat kak Piah yang tabah sebagai seorang anak yatim piatu, membuatkan hati Fakrul berasa senang bergaul dengan Kak Piah berbanding dengan sepupunya yang lain.

“Abang Arul...”

Fakrul segera menoleh di sebelahnya saat mendengar suara yang halus memanggilnya.Berkerut dahi Fakrul melihat sepupunya yang paling muda itu berdiri di hadapannya.

Janggal juga Fakrul ketika ini. Jarang dia dapat berjumpa dan berbual dengan sepupunya ini.

“Err… kenapa ye?” Tanya Fakrul. Kekok pula Fakrul dibuatnya ketika ini.

Sakinah tersenyum manis. Lebih-lebih lagi dengan memakai baju kurung moden bersama cekak rambut berbunga di rambutnya menyerlahkan lagi sisi comel Sakinah.

“Kinah nak tengok gambar dalam kamera Abang Arul tu boleh tak?”

Terkelip-kelip mata Sakinah saat ini. Perbuatan Sakinah itu sangat comel di mata Fakrul sehingga dia tidak sedar matanya terlalu lama memandang wajah itu.

“Ooo… boleh. Tengoklah.”

Fakrul menunjukkan gambar di kameranya yang masih berada di lehernya itu. Tersenyun gembira Sakinah apabila diberi keizinan oleh abang sepupunya itu.

Tangan Sakinah lincah menekan butang kamera Fakrul. Kagum Sakinah kerana setiap gambar yang dirakam oleh Fakrul sangat cantik. Tanpa Sakinah sedar, kedudukan dirinya sangat rapat dengan Fakrul.

Saat ini juga Fakrul tidak lepas memandang wajah comel itu. Fakrul agak tertarik melihat bulu mata Sakinah yang agak panjang itu.

“Cantiknya! Pandai Abang Arul ambik gambar ni. Abang Arul boleh jadi photographer yang profesional tau. Tak payah susah-susah nak jadi doktor.”

Ceria sungguh Sakinah bercerita. Fakrul agak terkedu mendengar kata-kata Sakinah.

“Mana tahu abang Arul nak jadi doktor ni?” Tanya Fakrul sambil anak matanya memandang ke arah lain. Segan juga dia kerana asyik melihat anak dara orang.

“Eleh, semua orang kan dah tahu. Abah yang cakap. Dia suruh Kinah belajar rajin-rajin jadi  macam anak-anak Pak Long. Kinah nak jadi macam Abang Arul bila besar nanti. Tapi...”

Wajah ceria Sakinah terus berubah muram. Kelihatan Sakinah serba salah untuk menghabiskan ayatnya.

Fakrul semakin berminat untuk terus berbual dengan Sakinah. Jarang sekali dia dapat berbual dengan sepupunya itu berbanding dengan Syamil iaitu abang Sakinah.

“Tapi kenapa?” Soal Fakrul ingin tahu.

Sakinah toleh memandang Fakrul sambil tersenyum kelat.

“Kinah tak pandai macam Abang Paan dengan sepupu-sepupu kita yang lain. Dengan Abang Mil pun Kinah selalu je kalah. Mungkin  Kinah ni lembap agaknya.” Rungut Sakinah.

Terkejut Fakrul dengan penerangan Sakinah.

“Tak baik cakap macam tu Kinah. Setiap manusia dilahirkan di dunia ni berakal. Cuma kita sendiri yang perlu bijak menggunakan akal fikiran kita. Kinah kalau nak jadi pandai, rajin berusaha. Kena bijak merancang masa belajar tu, tapi jangan sampai tertekan.” Nasihat Fakrul.

Tersenyum lebar Sakinah saat diberi kata-kata nasihat daripada Fakrul. Dirinya mula mempunyai kenyakinan diri.

Di sekolah, Sakinah selalu ketinggalan pelajaran berbanding rakan-rakannya yang lain. Bukan dia tidak rajin membaca, tetapi dia susah untuk mengingati perkara yang penting. Timbul juga perasaan malu dalam dirinya apabila abang dan semua sepupunya bijak.

“Terima kasih Abang Arul. InshaAllah, Kinah ingat pesanan abang Arul tu.”

Sakinah kemudian memandang ke arah pasangan pengantin yang sedang duduk di atas pelamin. Sama cantik dan sepadan kedua-dua sepupu mereka itu.

“Cantikkan Kak Piah tu. Suka sangat tengok Abang Paan dengan Kak Piah dapat bersama. Bila besar nanti, Kinah nak kahwin dengan Abang Arul lah. Boleh?” Keningnya sengaja dinaikkan untuk mengenakan Fakrul.

Bulat mata Fakrul ketika itu. Tidak pernah terlintas dihatinya untuk mengikut jejak langkah abangnya itu. Cukuplah hanya Farhan sahaja yang berkahwin dengan sepupu sendiri.

Tanpa dapat ditahan, Sakinah tergelak lucu. Lebih-lebih lagi setelah melihat raut wajah pucat Fakrul.

“Kenapa gelak pula?” Pelik betul Fakrul dengan Sakinah ni. Tiba-tiba sahaja tergelak.

“Muka Abang Arul tu lah. Kelakar sangat bila Kinah cakap nak kahwin dengan Abang Arul. Kinah gurau jelah.” Jelas Sakinah dalam sisa ketawanya.

Fakrul mula berasa malu. Tak sangka pula dirinya boleh diusik oleh budak yang baru berusia 11 tahun.

“Arul, adik. Apa yang dibualnya ni dari tadi? Adik dah makan ke?” Tanya Syamsul yang tiba-tiba muncul di hadapan mereka.

Sejak dari tadi lagi Syamsul sudah dapat melihat anaknya sedang berbual mesra dengan Fakrul. Dia tidak hairan jika Sakinah mampu berbual mesra dengan sesiapa pun walaupun baru sekali berjumpa. Anaknya itu memang seorang yang ceria sejak dari kecil.

Fakrul dan Sakinah saling berpandangan.

“Kami bual kosong je ni Pak Achik. Kinah nak tengok gambar pada kamera Arul tadi.” Jawab Fakrul dengan sopan.

Syamsul angguk tanda faham. Sakinah kemudian terus memeluk lengan abahnya dengan mesra.

“Abah, Abang Arul pandai sangat tangkap gambar. Semuanya cantik-cantik.” Puji Sakinah.

“Ye. Abah tahu. Itu kan memang hobi abang sepupu adik.” Balas Syamsul sambil mengusap lembut rambut panjang Sakinah.

Tiba-tiba Sakinah berdiri di hadapan Fakrul sambil membetulkan cekak rambutnya.

“Abang Arul, boleh tak ambil gambar Kinah satu.” Pinta Sakinah dengan mimik wajah yang comel.

Tergeleng Syamsul melihat sikap selamba anaknya.

“Err… boleh.”

Fakrul kemudian mengambil kameranya untuk merakam wajah Sakinah. Sakinah berdiri sambil membuat aksi comel di hadapan kameranya.

Tersenyum Sakinah setelah gambarnya diambil.

“Sudahlah tu adik. Jangan kacau kerja Abang Arul tu. Patutnya gambar Kak Piah yang diambil, bukannya adik.” Perli Syamsul.

Tersengih-sengih Sakinah diperli Syamsul. Fakrul pula sekadar tergelak kecil.

“Kinah nak pergi dekat ibulah.” Kata Sakinah.

Sebelum Sakinah berlalu pergi, dia sempat meninggalkan pesanan kepada Fakrul.

“Abang Arul, terima kasih ambil gambar Kinah. Nanti kalau dah siap cuci, bagi kat Kinah ye...” Sakinah mengenyitkan matanya kepada Fakrul.

Tercengang Fakrul dengan aksi Sakinah itu.

“Jangan dilayan sangatlah si Kinah tu Arul. Pak Achik ni pun tak tahan dengan perangai manja dia tu. Makin besar, makin menjadi-jadi manjanya.” Bebel Syamsul.

Fakrul sekadar tersenyum nipis. Segan juga dia diusik tadi. Terasa lucu pula Fakrul memikirkan dirinya yang berumur 16 tahun, tiba-tiba berasa malu dengan Sakinah.

Mungkin disebabkan mereka jarang berjumpa dan berbual menyebabkan Fakrul agak janggal dengannya. Namun, tidak dinafikan perasaannya sedikit terusik dengan sisi manja Sakinah.

💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕

Sy up bab 1 dulu sebelum pre order dibuka ye. Bila?
Kena tunggu tarikh dari big boss😍😍💕

Rahsia Hati Mrs. Fakrul ( Ready Stok) Cover BaruWhere stories live. Discover now