Bab 22

73 24 60
                                    

Perlukah aku bercinta, andai hidup berteman air mata...

Sebulan berlalu...

Aqilah sungul sepanjang hari. Dia hanya berkurung di dalam bilik. Seleranya langsung tiada. Terbang hilang gara-gara berita yang disampaikan oleh mama. Mama telah bertindak menerima pinangan seseorang tanpa sedikit pun berbincang dengannya. Mama menggunakan kuasa vetonya dalam menentukan hala tuju hidup anaknya sendiri dan malam ini juga, atas rancangan mama, satu majlis kesyukuran dan pertunangan bakal diadakan.

    Majlis tersebut hanya satu keraian kerana segala keputusan telah diatur dan ditentukan lebih awal oleh mama tanpa sedikit pun dia mencampurinya. Pada awalnya, mama mahu mengadakan majlis nikah untuk Abang Amer. Namun kini, rancangannya sudah bertukar apabila mama nekad mahu membuat satu majlis besar-besaran untuk kami dua beradik bernikah serentak.

    Mama tidak adil! Sampai hati mama memperlakukan dirinya begitu. Sangkanya, mama cukup menyanyanginya walaupun mama tidak pernah menzahirkan kata-kata itu di hadapan matanya. Dia cuba memujuk hatinya sendiri untuk tetap meletakkan rasa hormat pada mama. Tapi... Mama telah menghancurkan segala-galanya. Hari ini, dia mula sedar yang mama memang membenci dirinya. Kerana itulah mama cepat-cepat mahu melepaskannya ke tangan lelaki lain yang dia sendiri tidak kenali.

    Aqilah memandang baju kurung biru firus yang siap tergantung di penjuru bilik. Lengkap dengan selendang panjang warna senada. Tidak sanggup rasanya dia menghadapi semua ini. Tambahan pula, dia sendiri tidak tahu gerangan lelaki yang bakal menjadi tunangnya. Mama sanggup berbuat apa sahaja asalkan segala yang dirancang menjadi kenyataan. Rumah juga dikawal ketat supaya dia tidak dapat melarikan diri pada saat-saat akhir majlis berlangsung.

    "Qilah!" Panggil satu suara lantang tiba-tiba.

    Aqilah terpisat-pisat. "Abang Amer..." Sahut Aqilah hambar dan lemah. Jiwanya tidak tenteram. Cepat-cepat disekanya air mata yang mengalir di pipi.

    "Jauh Qilah termenung? Fikirkan apa?" Sapa Amer Munawer yang sudah duduk menghadap adiknya di meja solek.

    "Tak payahlah abang berpura-pura tak tahu. Qilah kat sini dah jadi separuh gila sebab tindakan mama itu. Memang mama tak sayangkan Qilah! Sejak kecil lagi, sejak Qilah bunuh abang Jim!" Luah Aqilah kecewa. 

    "Qilah... Janganlah cakap macam tu." Amer cuba mententeramkan adiknya yang sedang kacau itu.

    "Sejak kecil lagi Qilah dilayan acuh tak acuh oleh mama. Bila dah besar, mama sengaja terima pinangan entah siapa-siapa untuk jadi suami Qilah, macam Qilah ni tak berhak langsung buat keputusan untuk masa depan Qilah sendiri. Qilah sedih abang Amer, Qilah sedih!" Aqilah melampiaskan perasaan di hati. Dia cepat-cepat menyeka air mata yang sudah mula mengaburi pandangan.

    "Qilah, jangan cakap macam tu dik!" Amer memaut erat bahu Aqilah. Tidak mahu adiknya terlalu terbawa-bawa oleh perasaan sedih.

    "Mama sebenarnya sayangkan Qilah. Mama buat semua ni pun untuk kebaikan Qilah," jelas Amer.

    "Apa yang baiknya, Abang Amer? Qilah tak diberi sebarang pilihan langsung, sedangkan Abang Amer dan Rasya boleh pulak buat pilihan sendiri. Kenapa Qilah tak boleh? Jahat sangat ke Qilah ni? Buruk sangat ke perangai Qilah ni bang?" Suara Aqilah tenggelam timbul dalam tangisan di bahu Amer Munawer.

Suamiku yang terbaikWhere stories live. Discover now