👑~ XIII : 13 ~👑

474 72 10
                                    

Daun yang banyak berterbangan di Angin Putih menunjukkan bahawa negara itu bakal dilanda ribut sebentar sahaja lagi. Semua penduduk sudah berlari ke dalam kediaman masing-masing termasuklah pekerja istana yang sempat berlari masuk ke dalam istana.

Angin kuat itu sudah biasa buat mereka. Disebabkan itulah mereka sudah tahu apa yang harus dilakukan untuk menyelamatkan diri.

Kini, para pengawal berkumpul di tingkat atas manakala para dayang dan pembantu istana pula berkumpul di dewan terbuka yang berada di tingkat bawah. Ada yang berdiri, duduk dan ada juga yang sempat berbaring di atas lantai tanpa segan silu.

Apabila semua yang berada di situ semuanya sama taraf, apa yang mahu dirisaukan, bukan?

"Hamba rasa, angin hari ini tidak kuat sangat. Keadaan langit yang masih cerah itu meyakinkan hamba." Tutur Makcik Zakiyah yang mengintai ke luar jendela. Semua yang mendengar hanya mengangguk faham.

"Tapi kain yang baru sahaja kita sidai..." Keluh Rabiha dengan genangan air mata. Dia sudah memikirkan pelbagai kemungkinan.

Zarina dan Fazia yang berada di sisi mengusap belakang Rabiha dengan lembut. Masing-masing faham akan perasaan itu.

"Tidak mengapa, jika kain-kain itu berterbangan, ayuhlah kita kejarnya bersama-sama ya." Pujuk Zarina berbaur jenaka. Rabiha yang hendak tergelak segera menampar lengan Zarina dengan perlahan.

"Tuan hamba sajalah yang mengejar. Hamba tidak mahu. Jika jatuh, siapa yang mahu sambut?" Tanya Rabiha dengan cebikan.

Gaya gedik Fazia paparkan di hadapan kedua-dua sahabatnya itu. "Manalah tahu, jikalau ada tuan putera yang muncul untuk menyambut." Jawabnya, tersengih.

Terhibur para dayang lain yang turut mencuri dengar. Mereka bukan apa, tiga orang dayang muda itu sentiasa mencuit perhatian mereka. Kerana hanya mereka, yang suka mengambil risiko dan sentiasa kelihatan bersama.

Tetapi mengapa, seperti kurang seorang ya?

"Salam tuan hamba sekalian!" Sapa Nafiz yang baru sahaja mampir ke arah mereka.

Ketiga-tiga gadis itu berpaling. Kini, lengkaplah ahli mereka itu.

"Waalaikumussalam. Ada apa Nafiz?" Tanya Fazia, sedikit menyampah. Jelas sekali bahawa dia kurang senang dengan kehadiran pemuda itu.

Nafiz menjongketkan bahunya. "Eh, tiada apa. Hamba saja mahu menyertai tuan hamba semua. Mengapa? Tidak boleh?" Soalnya, menyindir.

"Boleh sahaja. Ayuhlah kita berbual tentang perkara yang sedikit berfaedah." Rabiha mengajak ramah. Mendengarkan itu, Nafiz tersenyum senang manakala Fazia merengus geram.

Apabila deruan angin mula kedengaran, dewan mula riuh dengan perbualan warga istana. Hanya waktu seperti ini sajalah mereka dapat berkumpul dan mengelat daripada melakukan kerja.

Dalam diam, bayangan hitam misteri terlihat menyusup ke dalam perkarangan istana. Namun, kesibukan dan kerisauan mereka terhadap cuaca itu tidak menyedarkan mereka terhadap apa yang terjadi di luar.

Aliya tersenyum sinis dari kejauhan. Kerana dia, sedar akan kehadiran bayangan hitam itu.


°°°°°°°°°°


Awan kian berarak menghiasi langit cerah. Angin yang pada mulanya kuat meniup kini sepoi-sepoi sahaja menghembus tubuh.

Beberapa orang petugas istana dapat dilihat sedang berkumpul di bahagian sidaian kain.

"Kenapa... Hamba pun turut terlibat sekali?" Soal Nafiz, pasrah. Sungguh, dia berasa menyesal pula kerana mengekori sahabat-sahabatnya itu.

"Mengapa? Tidak boleh?" Fazia pula memulangkan paku buah keras terhadap apa yang Nafiz katakan sewaktu mereka berkumpul di dalam istana.

Nafiz menjulingkan matanya ke atas tanda menyampah. Tangannya ligat mengambil beberapa helai kain cadar yang tersekat di atas semak yang mengelilingi kawasan tersebut.

Sedang mereka semua sibuk bergerak, sehelai kain yang baru sahaja disidai terbang jauh ditiup angin.

"Ah!" Jerit Aliya sambil melompat kerana dia cuba untuk mencapai kain tersebut. Nasib tidak menyebelahinya, tangannya tidak sampai untuk mencapai.

"Dayang Ina!" Panggilnya memandangkan kain tersebut baru sahaja terbang melepasi Zarina. Segera Zarina meletakkan longgokan yang dipegangnya lalu mengejar kain tersebut.

Rabiha menegur pantas. "Elok-elok!"

"Ya, hamba tahu!" Balas Zarina kemudia berlari pantas, memasuki kawasan yang dipenuhi pohon-pohon yang rendang. Jika tidak tahu jalan keluar, sesatlah di dalam lautan pohon itu.

Helaian kain Zarina yang ditinggalkan, Aliya kemas dengan laju. Senyumannya cuba untuk disembunyikan di sebalik helaian kain yang menggunung di hadapan mukanya.

"Dayang Aliya! Hamba perlukan tuan hamba di dalam istana." Panggil Andika yang muncul secara tiba-tiba.

Dengan senang hatinya, Aliya bersetuju dan pantas berjalan ke dalam. Rabiha, Nafiz dan Fazia hanya memandang satu sama lain lalu menoleh semula ke arah Aliya yang gembiranya lain daripada biasa.


°°°°°°°°°°


Sepanjang lariannya di dalam 'hutan' itu, Zarina sering kali hampir terjelepok akibat lantai hutan yang dipenuhi dengan akar pohon yang berselirat. Kain putih yang tersekat di bahagian atas sebuah pohon membuatkannya mengeluh perlahan.

"Aku juga yang kena pergi ambil." Rungutnya perlahan. Berderap-derap bunyi ranting yang dipijaknya.

Dari jauh, dia melajukan larian kemudian melompat tinggi bagi mencapai kain yang tersangkut itu. Meskipun pakaian seragam istananya berkain, dia mampu melakukannya dengan penuh jayanya.

"Tak sia-sia jadi budak kampung." Bangganya seraya melipat kain tersebut. Dia tersenyum sendiri.

Tanpa membuang masa, Zarina segera mengira keadaan hutan tersebut bagi mencari jalan pulang. Tangannya bergerak-gerak seperti sedang melakukan perbentangan umum.

"Aha! Situ." Ucapnya kemudian mengangkat kaki untuk melangkah.

Namun, belum sempat dia meninggalkan tempat itu, satu guni kecil telah menyerkup kepalanya sehingga membuatkannya jatuh ke belakang akibat terkejut. Tubuh kecilnya itu disambut oleh seseorang sebelum menyembah lantai hutan.

"Jumpa pun." Satu suara asing berkata sebelum menarik tangan Zarina agar mengikutinya.

Zarina? Dia pasti tidak akan membiarkannya sahaja. Dia mula menjerit dan melawan semula. Walaupun begitu, dirinya bagaikan diheret pergi manakala jeritannya itu tidak diendahkan oleh sesiapa.

Bunyi pintu dibuka mengejutkan Zarina. Selepas itu, dia dapat merasakan dirinya dicampak ke dalam sebuah tempat yang sedikit sempit.

"Tuanku, patik sudah bawakan 'dayang' yang diminta."


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Maafkan hamba kerana lambat menulis cerita ini duhai pembaca yang disayangi sekalian! Hamba sibuk sekali sejak kebelakangan ini. Semoga tuan hamba semua dikurniakan kesihatan yang berpanjangan!\

ODL ni lebih payah daripada apa yang hamba sangkakan. Sakit kepala jadinya huhuhu. Disebabkan covid ini, jaga diri tau! Kalau tidak, babab nanti.

Hati Patik Sudah Dicuri, Hati Tuanku Bila Lagi?Kde žijí příběhy. Začni objevovat