👑~ XLIII : 43 ~👑

377 46 9
                                    

Hari yang ditunggu-tunggu telah pun tiba, keadaan istana sungguh gegar-gempita. Umpama memahami apa yang akan berlaku, suasana negara Angin Putih benar-benar tenang dengan cuaca yang redup dan angin sepoi-sepoi bahasa yang menemani. Para petugas istana kini sibuk berlari ke hulur ke hilir, menyiapkan segala apa yang perlu.

Para pengawal berada di posisi dan bangunan yang telah ditugaskan, pahlawan pula sudah diarahkan untuk berkawal dan meronda, manakala para dayang dan pembantu istana menyibukkan diri dengan segala persiapan dan hiasan di dalam istana. Namun begitu, hanya enam orang petugas istana sahaja yang diberikan pengecualian daripada terlibat sama. Dan salah seorang daripada mereka sedang disolek cantik oleh puteri sulung kerajaan Angin Putih.

"Ina, cantiknya awak!" Puji Fazia sambil menyatukan kedua tangannya. Wajahnya bersinar dengan keterujaan, memandang Zarina dengan penuh takjub.

Zarina kini berpakaian seperti puteri salju, disertai selendang yang dihiasi mata-mata manik. Lambang angin putih memainkan peranan besar pada pakaiannya pada hari itu. Veil jernih terletak kemas di atas kepalanya.

"Ya Allah, saya yang bertunang dahulu, dia yang akan kahwin dahulu. Saya tak sangka, kawan saya sudah mahu bernikah!" Rabiha berkata gembira, menggenggam tangan Zarina kuat-kuat. Sedari tadi dia berada di sisi sahabatnya itu, merenung segala perbuatan Shahmina bagi menghiasi wajah Zarina. Tidak dia sangka sama sekali, sahabatnya yang menolak cinta semua insan yang meminatinya hanya dengan alasan kerana dia telah jatuh cinta dengan seseorang yang sifatnya fiksyen sahaja akan bernikah. Namun Allah itu Maha Kaya, munculnya seorang pemuda yang memenuhi segala keinginan Zarina.

"Tidak mengapa." Sambut Andika, tidak jauh dari mereka. Rabiha segera menoleh ke arah sang pemilik suara. "Nanti kita pula." Sambungnya lagi, mengekalkan pandangan mata dengan tunangnya itu sebelum memberikan kenyitan manja. 

Rabiha sekadar menggulingkan bebola matanya, menyembunyikan wajahnya yang kian memerah. Andika pula terkekek-kekek ketawa sendiri sehinggalah dia diam akibat disiku oleh Tuah yang berada di sisi.

Di sudut dinding yang berdekatan dengan pintu, kelihatan Aryan dan Nafiz sedang menonton segala apa yang berlaku di dalam kamar itu dengan penuh terhibur. Mereka berdua tersenyum simpul dengan keriuhan yang berlaku. Shahmina tidak kurang juga dengan mulutnya yang berkata macam-macam tanpa berlapik.

Pandangan Aryan jatuh pada Zarina yang dari tadinya tidak membuka bicara. Wajah wanita itu terlihat tenang dan manis dengan senyuman. Pandangan matanya jauh, seperti sedang memikirkan perkara yang serius. Dalam diam, hati Aryan seperti dipenuhi rama-rama, membuatkannya lemas dan mengalami sakit yang bakal mengeluarkan air mata. Hatinya pedih apabila memikirkan bahawa dia akan melepaskan sahabatnya itu ke tangan lelaki yang lain.

Adakah dia tidak layak sama sekali? Mengapa bukan dengan dirinya Zarina dinikahkan?

Atau adakah selama ini dia berasa takut ditolak sehingga tidak mahu mencuba nasib sama sekali? Kini, dia harus menanggung perih dan menerima realiti bahawa Zarina, rakan sepermainannya dari kecil, bakal disatukan dengan putera yang bakal mentadbir tanah airnya iaitu Putera Tengku Shafhan Iyyad. Pemuda terbaik dan budiman yang pernah Aryan temu dalam hidupnya. Dia yakin, Zarina berada di bawah jagaan insan yang baik.

Cinta Shafhan kepada Zarina adalah kerana Allah. Adakah cintanya tidak jatuh pada kategori yang sama?

"Aryan." Suara Nafiz menggamit Aryan semula ke alam realiti. Pahlawan itu menoleh ke arah sahabatnya, tetapi pembantu istana itu langsung tidak memandangnya. Matanya masih merenung hadapan, melihat suasana meriah di hadapan mereka itu dengan wajah sayu. "Lepaskan." Sambung Nafiz lagi.

Sebak, itu apa yang dirasakan oleh Aryan tatkala mendengar suara Nafiz yang lembut dan memujuk itu. Dia tahu apa yang cuba Nafiz sampaikan. Dia tidak berhak untuk tidak redha ke atas apa yang akan berlaku, namun hanya Allah sahaja yang tahu isi hatinya pada ketika itu.

Hati Patik Sudah Dicuri, Hati Tuanku Bila Lagi?Where stories live. Discover now