👑~ XXXI : 31 ~👑

312 54 10
                                    

Pintu istana terbuka menunjukkan tiga orang dayang sedang bersiap sedia untuk keluar dari perkarangannya. Waktu rehat tiba untuk mereka, Kedai Buku Aksara menjadi tempat tuju yang utama!

Namun begitu, perbuatan mereka terhenti begitu sahaja apabila sebuah kereta kuda muncul di hadapan pintu istana secara tiba-tiba. Ia berwarna ungu dihiasi berlian-berlian putih yang menarik pandangan setiap mereka yang memandangnya. Kuda hitam segak yang meringkik menambahkan lagi perhatian mereka.

Tanpa ditunggu-tunggu, pintu kereta kuda tersebut terus sahaja dibuka dari dalam tanpa ada pembantu yang membukanya. Tiga orang gadis berjubah ungu dan bertudung putih melangkah keluar dengan riang sekali.

"Subhanallah, cantiknya mereka." Tutur Rabiha, separa berbisik. "Itu bukankah tiga puteri dari Sahmura Ungu? Mengapa mereka hadir ke sini?" Soalnya pula pada Fazia dan Zarina yang turut tercengang di situ.

Fazia menjongketkan bahunya tanpa mengalihkan pandangan. "Entah, mungkin untuk bertemu dengan Puteri Shahmina?" Balasnya dengan soalan juga.

Tepukan tangan yang hadir dari tengah mereka mengejutkan mereka dari renungan. Wajah Zarina yang gembira itu dipandang hairan. 

"Oh ya! Puteri Shahmina ada memberitahu hamba bahawa tiga puteri Sahmura Ungu dijemputnya untuk hadir ke sini. Hamba tidak tahu untuk apa tapi Alhamdulillah hamba gembira apabila tuan puteri mula berkata dengan lembut dan tersenyum pada hamba." Tutur Zarina dengan seronok. 

Rabiha dan Fazia memandang satu sama lain. Fazia menjongketkan keningnya pada Rabiha manakala Rabiha pula membalasnya dengan gelengan. Kedua-duanya tidak tahu apa yang terjadi maka mereka kembali berpaling ke hadapan.

Bunyi langkah yang mendekat menyebabkan mereka bertiga segera bergerak ke tepi laluan, sebelah-menyebelah dengan pengawal pintu istana. Sewaktu tiga puteri itu berjalan ke arah mereka, semuanya tertunduk sopan.

"Wah, dayang Ina!" Tegur Puteri Sakinah dengan senyuman. "Tuan hamba mahu ke mana?" Soalnya, ramah.

Zarina yang agak terkejut dengan sapaan tersebut segera mengukir senyuman manis. "Oh, patik bertiga mahu keluar seketika untuk membeli barang keperluan." Jawabnya sopan. 

Terangguk-angguk Puteri Sakinah dengan jawapan Zarina. Wajah dayang itu dilihatnya dengan penuh perhatian kerana kali pertama dan kali terakhir mereka berjumpa adalah sewaktu istana Angin Putih membuka pintunya untuk meraikan kepulangan Shafhan.

"Tuan puteri yang dirahmati Allah sekalian, hadir bertiga sahaja?" Tanya Rabiha pula. Apabila ketiga-tiga puteri itu menoleh, dia segera tertunduk-tunduk segan.

"Benar. Kehadiran beta bertiga adalah atas permintaan Puteri Shahmina." Balas Puteri Safa dengan gembira sekali.

Secara tiba-tiba, Puteri Saadah lantas berdiri di hadapan kakak dan adiknya lalu mengangkat sebuah beg di tangannya. "Dan beta bawa ini untuknya! Nah, ambil juga seorang satu." Tuturnya bersemangat kemudian meletakkan beg tersebut ke bawah. Tiga helai selendang sutera dibawanya keluar dan diberikan kepada Zarina, Rabiha dan Fazia.

"Baiklah, beta masuk ke dalam dahulu ya. Assalamualaikum dayang-dayang yang jelita lagikan menawan. Terima kasih atas segala khidmat yang diberi." Sopan Puteri Safa berbicara lalu menoleh ke arah adik-adiknya. "Saadah, Sakinah, jom bertemu dengan Shahmina." Ajaknya.

Maka dengan itu, ketiga-tiga puteri Sahmura Ungu itu segera melangkah masuk ke dalam diiringi dengan beberapa orang pengawal yang kebetulannya sudah menunggu di dalam. Zarina, Rabiha dan Fazia pula terpinga-pinga di situ sambil memegang selendang yang diberi.

Mereka bertiga segera memandang selendang di tangan masing-masing dan mula menilik dengan bersungguh-sungguh. Zarina dan Rabiha saling berpandangan dengan gembira manakala Fazia pula mengeluh kecil sambil membetul-betulkan rambutnya yang pendek itu.


°°°°°°°°°°


Shahmina melangkah melalui koridor bangunan istana yang mana menempatkan kamarnya sambil bersenandung perlahan. Dia sebenarnya agak segan untuk mengajak puteri bertiga itu hadir ke sini namun, hanya mereka sahaja yang dia tahu akan sudi berkawan.

Dari dahulu lagi dia sering dipandang serong atas kelakuan yang selalu ditayangkan kerana anggapan orang terhadapnya yang gemar melayan lelaki dan suka mengarah-arah. Kini setelah Shafhan mula pulang ke sisi mereka semula, dia mula melihat secara terbuka terhadap semua yang berlaku. Perubahan Zarina dan kejadian bersama Aliya kini membuka matanya.

Hanya Allah sahaja yang tahu isi hati seseorang yakni menjelaskan bahawa seseorang yang jahil itu tidak akan selamanya jahil manakala yang baik itu tidak harus kita sanjung dari segi luarannya sahaja.

Kehilangan kalungnya, kekotoran yang menyimbah bilik mandi kamarnya, semuanya telah dirancang oleh Aliya yang disangkanya baik itu. Tidak hairanlah jika terdapat dua kalung yang sama untuk mengelirukan mereka kerana gadis Lembayung Merah itu sendiri seorang bangsawan.

"Hmm..." Keluh Shahmina perlahan sambil bermain-main dengan hujung selendangnya. Dia masih tidak selesa untuk memakai bertutup litup maka dia hanya meletakkannya di atas kepala dengan gaya yang masih boleh menampakkan sedikit telinga dan bahagian lehernya.

Dia harus meminta maaf pada Zarina. Ya, dia tekad. Tetapi... Bagaimana ya?

"Tengku Shahmina Iqlil!"

Satu suara mengejutkan Shamina daripada lamunannya. Hampir-hampir sahaja dia melatah di situ. Daripada berjalan sambil menunduk, dia segera mengangkat kepala bagi melihat sang gerangan yang memanggil.

"Shahmina, Assalamualaikum!" Tegur Puteri Saadah dari kejauhan. Adiknya yang sedari tadi sungguh gembira menjerit nama Shahmina segera ditahannya daripada berlari supaya tidak tersungkur.

Membulat mata Shahmina tatkala melihat tiga beradik itu. Tidak sangka pula dia yang mereka ini akan masuk ke dalam istana terlebih dahulu dan mencarinya.

"Wa- Waalaikumussalam Saadah." Balas Shahmina sedikit teragak-agak. Tangannya dilambaikan separuh hati.

Tanpa membuang masa, Sakinah lantas memerdekakan dirinya daripada pegangan Saadah lalu berlari ke hadapan dan memeluk Shahmina dengan erat. Shahmina yang tidak bersedia dengan pelukan itu terjerit sedikit akibat terkejut. Namun begitu, pelukan tersebut dibalas juga.

"Haih, dari hari tu lagi sebenarnya si Sakinah ini tidak sabar-sabar mahu ke Angin Putih setelah mendapat surat kamu, Shahmina. Rindu katanya. Maklumlah, kali terakhir kita berjumpa pada majlis itu pun sekejap sahaja." Tutur Safa dengan senyuman sambil menggelengkan kepalanya. Sakinah ditariknya daripada terus memeluk Shahmina.

Shahmina terdiam seketika. Mindanya kembali memainkan kejadian hari itu. Oh, patutlah mereka sekejap sahaja bertemu kerana dia sibuk berbual bersama putera-putera negara lain. Malunya!

"Saya bawa ini!" Kata Saadah apabila dia sedar bahawa wajah Shahmina kian memerah akibat malu. Beg di tangan disua di hadapan shahmina dengan penuh bersemangat.

"Apakah ini?" Tanya Shahmina hairan. Matanya memerhati beg tersebut dengan khusyuk.

Safa tertawa kecil kemudian memegang bahu Saadah. "Kami bawa selendang khas dari Sahmura Ungu. Memandangkan kami bertiga perempuan, ayahanda membenarkan kami mencipta jenama selendang sendiri di sana. Jangan risau, kami bawa ke sini sebagai hadiah!" Jawabnya.

Shahmina ternganga. Selendang dari Sahmura Ungu? Dengan sebanyak ini?

"Ya Allah, junjung kasih buat kalian bertiga." Ucap Shahmina, terharu. "Ayuh kita ke kamar saya. Lagi selamat rasanya untuk berbicara begini. Lagipun, saya pasti bahawa kalian tahu sebab saya pinta kalian ke sini." Sambungnya lagi, sedikit malu-malu.

"Ah, tiada apalah!" Sakinah membalas lalu memegang tangan Shahmina. "Ayuh kita pergi!"

Puteri sulung Angin Putih itu tersenyum manis lalu menganggukkan kepalanya. Mereka berempat berjalan beriringan sambil berbual kecil dan rancak. Sesungguhnya, Shahmina berasa bahagia kerana keinginannya untuk berubah kini meningkat atas layanan yang diberikan oleh tiga puteri tersebut.

Hati Patik Sudah Dicuri, Hati Tuanku Bila Lagi?Where stories live. Discover now