👑~ IV : 4 ~👑

590 76 10
                                    

Kedai Buku Aksara Angin Putih. Papan besar kedai itu terpampang cantik di hadapan sebuah bangunan yang sederhana besarnya. Sebagai satu-satunya kedai yang menjual buku di negara Angin Putih, semua pekerja di situ sudah mengenal pelanggan yang sering hadir untuk membeli.

Terutamanya Zarina, yang kehadirannya sentiasa ditunggu-tunggu oleh semua orang di situ.

Susuk seseorang bersama dua orang lagi yang hadir mengiring menarik perhatian semua yang berada berdekatan dengan kedai buku tersebut. Kesemua pekerja kedai buku tersebut segera menjengukkan kepala ke luar bagi melihat siapakah yang menjadi bisikan orang di situ.

"Siapakah itu?" Soal mereka yang lalu-lalang.

"Dayang Ina?" 

Zarina hadir bersama Rabiha dan Fazia di sisinya. Mereka bertiga sempat menghadiahkan senyuman kepada pekerja yang menjaga jalan masuk sebelum melangkah ke dalam.

Para pekerja yang berada di dalam sudah mengangguk faham tatkala ketiga-tiga warga istana itu melihat mereka. Sudah menjadi satu kepastian bagi mereka bahawa ketiga-tiga insan itu tidak mahu diganggu kecuali apabila ingin menanyakan sesuatu.

"Akhirnya!" Ucap Zarina sebelum menarik nafas panjang lalu menghembuskannya perlahan. "Sudah sekian lama hamba menunggu, kini tibalah masanya untuk hamba memburu buku." Sambungnya lagi dengan penuh bersemangat.

Kedai buku yang agak kosong itu ditelusuri mereka satu-persatu mengikut rak yang disusun. Sehinggalah ke rak yang sepatutnya, Zarina tersenyum gembira tatkala terlihat buku yang diingininya.

"Inilah dia, buku terakhir bagi siri ini. Apakah pengakhirannya? Gembira atau duka? Hamba harap, watak ini setia bersama hamba sehingga akhir." Gumam Zarina sendiri sambil mengangkat buku tersebut ke udara.

Rabiha tersenyum nipis sebelum tertawa melihatkan gelagat sahabatnya itu. "Ina, Ina. Sudah-sudahlah itu bermimpi, kerana semuanya hanyalah khayalan ilusi. Carilah cinta sebenar." Pesannya, lembut sekali.

Pegangan Zarina pada bukunya itu dikuatkan. "Jika mencari cinta manusia hanya akan membawa kepada kesedihan, lebih baik hamba cari cinta Ilahi yang sudah jelas membawa kegembiraan." Balasnya perlahan.

Keluhan kecil Rabiha lepaskan lalu menoleh ke arah Fazia yang sekadar menonton perbuatan mereka. Selepas itu, dia berpaling semula ke arah Zarina yang tidak memandangnya. "Hamba berdoa, agar cinta manusia yang membawa keberkatan bakal hadir untuk tuan hamba." 

"Terima kasih!" Zarina berkata gembira. "Ambillah apa-apa buku yang tuan hamba berdua inginkan. Hamba belanja." 

"Benar?" Fazia akhirnya bersuara. 

Zarina mengangguk laju tanda mengiyakan.

Sejurus itu, kedua-dua sahabatnya itu berlari-lari di dalam kedai buku tersbeut bagi mencari buku yang diingini.

°°°°°°°°°°

"Terima kasih Ina!" Ucap Rabiha dan Fazia serentak. Plastik yang dipenuhi buku dihayunkan penuh gembira.

"Sama-sama!" Balas Zarina, riang juga. Hatinya lapang apabila dapat bersedekah dengan cara yang mudah iaitu pada orang terdekat terlebih dahulu. Dia sedar bahawa dirinya bukan orang yang senang maka, alternatif lain bakal diambilnya.

Sedang ketiga-tiga dayang itu menyanyi gembira, deruan angin laju dan jeritan kuat yang hadir dari belakang mengejutkan mereka. Segera mereka berlari ke tepi bagi memberikan laluan kepada sekumpulan pahlawan berkuda yang pantas menuju ke istana.

"Pahlawan Aryan?" Tegur Zarina tatkala terlihat kelibat sahabatnya itu. Aryan yang perasan akan kehadiran wanita itu lekas mendekati mereka.

"Kenapa ini?" Soal Rabiha, hairan.

Aryan memberhentikan kudanya sebelum mengelap keringat peluh yang memenuhi dahi. "Tuanku Shahir sudah memanggil untuk hadir menghadap. Sangka hamba, mengenai Tuan Putera Shafhan yang bakal berangkat pulang dalam beberapa hari sahaja lagi."

"Ah, baiklah." Balas Zarina lalu menoleh ke arah sekumpulan pahlawan yang telah meninggalkan Aryan di belakang. "Silakan pulang, hamba bertiga juga akan tiba di istana sekejap lagi."

Anggukan faham Aryan berikan lalu menepuk leher kudanya perlahan. Sejurus itu, pahlawan yang disanjung tinggi itu pun berlalu pergi meninggalkan ketiga-tiga wanita itu di situ.

Zarina tersenyum nipis ke arah sahabat-sahabatnya. "Ayuh kita pulang."

°°°°°°°°°°

Ketiga-tiga dayang istana itu memasuki istana seraya menyembunyikan buku-buku yang dibeli mereka di dalam bawaan masing-masing. Sudah sedia maklum bahawa Zarina pasti akan meletakkan bukunya di dalam bakul kegemarannya itu.

"Tiada pula budak berdua itu, ya?" Gumam Zarina sendirian sambil tercari-cari kelibat dua beradik yang sering menunggunya di pintu istana.

"Dayang Ina!" Seorang gadis meluru laju ke arahnya. "Tuan putera dan tuan puteri sudah ke kamar untuk beradu seketika." Beritahunya bagaikan tahu-tahu sahaja apa yang difikirkan Zarina meski dia hadir dari jauh.

Zarina tersenyum kecil. "Terima kasih. Oh, bagaimana dengan persiapan kamar beradu putera pertama di sayap kanan istana itu, ya?" Soalnya, prihatin. Tanggungjawab dan amanah yang telah diberi tidak akan sesekali dilepas tangan begitu sahaja.

"Sedikit lagi sahaja segalanya bakal siap. Tuan putera bakal tiba di istana dalam beberapa hari lagi." Balas gadis itu, sopan sekali. Kemudian, dia meminta diri untuk meneruskan kerja.

Sepi memenuhi suasana sebelum Fazia menarik nafas bising. "Maafkan hamba!" Pohonnya laju. "Hamba ada urusan bersama Tuanku Permaisuri Imarah. Pergi dahulu!" Sambungnya lagi kemudian berlari pantas melepasi lorong-lorong istana yang hanya warga istana sahaja tahu jalannya.

 "Dilarang berlari di dalam istana!" Satu jeritan dapat didengari dari sebuah lorong yang tidak jauh dari Zarina dan Rabiha yang terpinga-pinga di situ.

Kedua-duanya segera bergerak ke tempat lain untuk mencari tempat selamat. Habislah jika ketua organisasi dayang istana sudah bertempik kuat. Nampaknya, Dayang Leha benar-benar marah.

Lebih baik menyelamatkan diri sebelum mengena tempias sekali.

°°°°°°°°°°

Sebuah taman kecil yang menjadi tempat warga istana meluangkan masa menjadi tempat kegemaran Zarina untuk membaca novelnya. Setibanya di situ, sebuah kerusi batu menjadi sasarannya. Balutan pada buku itu dibukanya dengan rakus.

"Alhamdulillah, rezeki hari ini." Tuturnya kemudian mengucup novel itu perlahan. Hari ini, dia dapat berehat kerana terdapat dayang lain yang mengambil alih tugasnya buat seketika.

Muka surat mula diselak satu-persatu dan setiap darinya dibaca dengan teliti. Sekejap tersenyum, sekejap berkerut dahi dan sekejap mencebik kecil.

Kicauan burung yang tenang sentiasa menemaninya apabila dia hadir di situ. Bahkan bayu laut berdekatan bagaikan memahami, hanya sepoi-sepoi sahaja alunannya.

Sehinggalah tiba masanya, si dayang menyelak 10 muka surat terakhir. Tanpa dia sedari, air mata yang sudah lama kering di mata kini tumpah bagaikan air terjun. Teresak-esak dia di situ sendirian.

Setelah berjaya menghabiskan novel kegemarannya itu dalam satu hari sahaja, dia membatu sambil merenung ke langit. Pandangannya kosong, seperti tiada lagi makna hidup di dunia ini lagi.

"Semoga dirahmati, cinta hatiku... Perjuanganmu akan aku ingati sepanjang hidup. Biarpun keseorangan, pemergianmu tidak akan menjadi sia-sia."

Zarina memejamkan mata dan membiarkan setiap butiran jernih mengalir di pipinya. Mujur tempat ini dipilihnya kerana tiada sesiapa yang akan hadir ke sini jika tiada hal yang perlu.

Biarlah dia melayan perasaan di sini. Sedih kerana dunia, hanya yang Maha Esa sahaja memahami akan perasaan itu.







Hati Patik Sudah Dicuri, Hati Tuanku Bila Lagi?Where stories live. Discover now