👑~ XXXIV : 34 ~👑

346 53 2
                                    

"Hamba risau jika itu hanya satu paranoia, Pahlawan Aryan." Pahlawan Rizman bersuara setelah Aryan menceritakan apa yang berlaku. Dia tidak yakin dengan pendapat Aryan bahawa terdapatnya penceroboh kerana apa yang berlaku hanya disiasat melalui tabiat kuda miliknya.

"Namun, hamba akan cuba ketatkan rondaan kerana pencerobohan pernah berlaku di kawasan yang berdekatan dengan istana sendiri. Pahlawan Aryan, bertenang. InsyaAllah tiada apa-apa dan perkara yang sama tidak akan berlaku lagi." Ujar Pahlawan Rizman bagi menenangkan Aryan setelah dia melihat riak wajah Aryan yang mula berubah apabila ceritanya seperti dipertikaikan.

Dia bukan apa, perkara ini pernah berlaku sebelum ini dan Aryan menjadi mangsanya. Pastilah trauma dan paranoia mula menguasai diri akibat kerisauan yang melampau. Apatah lagi melibatkan Zarina, sahabat baiknya pula itu. Apa-apa pun, Pahlawan Rizman cuba untuk bersangka baik dengan segalanya.

"Baiklah, terima kasih Pahlawan Rizman." Tutur Aryan sambil membuat tabik hormat. "Hamba pergi dahulu." Dia meminta diri apabila tiada apa lagi yang ingin dia laporkan kepada ketua pahlawan itu. Meskipun dia benar-benar kecewa dengan reaksi yang diterima, dia tetap bergerak keluar dengan penuh yakin seperti seorang pahlawan yang berwibawa.

Pintu pejabat itu dibuka oleh dua orang pengawal yang mengawal. Pejabat khas milik organisasi pahlawan Angin Putih itu ditinggalkannya dengan kekecewaan yang mula bertandang di hati. Kini, tujuannya ingin ke berek pahlawan untuk menenangkan fikiran.

Tetapi risaunya itu tidak lama apabila dia terlihat tiga orang manusia yang berkelubung secara tiba-tiba muncul dari bahagian selekoh koridor yang dilaluinya. Terkejut bukan kepalang, Aryan lantas melatah kuat.

"Pahlawan Aryan bertenang, ini hamba!" Segera Zarina membuka hudnya dan melambaikan tangannya laju. Risau dia apabila melihat Aryan yang bagaikan ingin pengsan di situ.

"Astaghfirullahalazim! Agak-agaklah mahu berpakaian sebegini di istana. Bukankah penyarungan hud hanya dibolehkan di luar sahaja?!" Tegur Aryan menahan geram. Dia mengusap dadanya berkali-kali sambil beristighfar panjang.

Tawa geli hati Fazia lepaskan tatkala melihat reaksi Aryan yang hilang macho-nya akibat terkejut. "Tadi hamba bertiga berada di pekan dan mengekori tuan hamba sehingga ke dalam istana. Maka, terlupalah hamba bertiga ini untuk menyimpan hud di dalam kamar masing-masing terlebih dahulu. Maaf ya." Balasnya lalu menyambung tawa.

Aryan hanya mampu menggelengkan kepalanya agar kemarahan yang ingin membara tersimpan di dalam hati. Orang tertekan, dapat kejutan pula.

"Mengapa dengan Jelita tadi itu, Pahlawan Aryan?" Soal Rabiha sambil berpeluk tubuh. Hud di kepala masih belum diturunkan bagi menunjukkan gimik serius.

Aryan yang melihat itu meremang bulu romanya. Rabiha ini benar-benar serius atau sengaja mahu menakutkannya? Sudahlah kaca mata bulatnya itu dapat dilihat di sebalik hud apabila cahaya lampu istana terpantul di situ. 

"Ha- Hamba... Tidak pasti sebenarnya." Jawab Aryan, sedikit gugup. "Tetapi apa yang hamba tahu, Jelita mengesan sesuatu yang hamba tidak tahu. Pahlawan Rizman memberitahu bahawa berkemungkinan besar yang hamba ini bersikap paranoia namun hamba berasa tidak sedap hati." Sambungnya lagi, semakin lama semakin perlahan.

Riak Zarina yang mulanya manis kini sudah berubah kepada tidak puas hati. Dia ingin berkata sesuatu tetapi mengambil keputusan untuk mendiamkan diri apabila wajah sedih Aryan dilihat. Hatinya bagaikan sudah retak seribu.

"Tidak mengapalah Pahlawan Aryan, kita berdoa sahaja kepada Allah yang Maha Esa. InsyaAllah, jika ada apa-apa, akan Dia tunjukkan kepada hamba semua." Ujar Zarina yang cuba untuk menceriakan keadaan. "Oh ya, sebelum hamba ke kedai buku tadi, hamba ada membeli buah-buahan untuk dibuat teh. Mahu cuba?" Ajaknya pula.

Hati Patik Sudah Dicuri, Hati Tuanku Bila Lagi?Where stories live. Discover now