👑~ XXX : 30 ~👑

366 50 14
                                    

Meskipun tiada asbab diplomasi dan juga hal-hal diraja, Tengku Ahmed dan Tengku Hijazi hadir ke istana Angin Putih semata-mata untuk melawat saudara mereka, Tengku Shafhan Iyyad. Sudahlah Shafhan itu baru pulang ke tanah air, pelbagai perkara tercetus disebabkannya pula itu. Jadi, selain daripada Andika dan Tuah, Tengku Ahmed dan Tengku Hijazi memainkan peranan mereka sebagai sahabat dan saudara untuk sentiasa berada di sisi Shafhan.

Tujuannya agar hubungan mereka kembali akrab seperti mereka sewaktu kecil dan menyumbang kepercayaan kepada Shafhan bahawa mereka akan ada jika Shafhan dikala susah. Itulah sahabat, harus ada di jatuh bangun satu sama lain dan memberikan sokongan.

"Saudara sudah fikir masak-masak?" 

"Masak ke tak masak ke, saya kena fikir dan terima juga."

"Ish, apa cakap macam tu." Tegur Tengku Hijazi yang terhibur dengan jawapan Shafhan terhadap soalan Tengku Ahmed. Tengku Ahmed pula sudah berubah muka, barangkali jengkel dengan perangai Shafhan yang muda daripadanya itu.

Shafhan berpeluk tubuh, merenung Tengku Ahmed yang berdiri di tengah-tengah ruang yang diapit oleh tiga buah sofa tunggal. "Sekiranya saya menolak Dayang Ina, saudara mahu ambil dia, begitu? Tidak boleh, saya dah masak buah fikiran saya jadi saya akan ikut pilihan ayahanda dan bonda." Balasnya tegas.

Tengku Ahmed merengus geram lalu mengalihkan pandangan manakala Tengku Hijazi pula sudah menahan tawa. Kedua-dua putera yang mempunyai pertalian darah itu dilihat Tengku Hijazi dengan penuh terhibur. Terutamanya si Shafhan yang sudah mula bersikap terbuka dan keras kepala.

"Amboi saudara Shafhan, kalau di luar sana itu, bukan main malu jika menyebut perihal mereka yang berlainan jantina. Mentang-mentang hanya kita di sini, berani ya kamu." Tengku Hijazi sengaja menegur bagi melihat reaksi putera itu.

Shafhan segera melemparkan bantal yang ada di sofa itu ke arah Tengku Hijazi. Dengan ketangkasan miliknya, Tengku Hijazi senang sahaja menepis lemparan itu sambil tertawa dengan tawanya yang menawan.

"Janganlah tegur." Tutur Shafhan perlahan sambil menenggelamkan dirinya ke dalam sofa dengan lebih lagi. Darah mula menyerbu wajahnya yang serba putih dan bersih.

Kini, Tengku Ahmed turut tertawa setelah sekadar melihat mereka berdua dengan wajah yang masam. Aduhailah Shafhan, ada-ada sahaja ya.

"Tapi saudara Shafhan paling muda, kenapa dia pula yang nikah dulu?" Tanya Tengku Ahmed dengan cebikan. Tengku Hijazi sekadar menjongketkan bahu kerana malas mahu menjawab soalan tersebut kerana dia sendiri tiada jawapan untuk itu.

"Saya belum nikah lagi-"

"Kamu akan nikah. Jangan pertikaikan apa orang yang lebih tua cakap." Potong Tengku Ahmed lekas. Matanya mencerlung ke arah Shafhan dengan penuh geram.

Shafhan segera menutup mulutnya dengan tangan. Walaupun begitu, suaranya masih jelas didengari oleh mereka berdua. "Mengaku pula dia tua."

Buk!

Giliran Shafhan pula yang dilempar bantal oleh Tengku Ahmed. Tetapi kali ini malang kerana Shafhan tidak sempat mengelak atau menepis seperti Tengku Hijazi tadi, maka tersandarlah dia di atas sofa tersebut.

"Patutlah Shafhan kahwin dulu, kamu ini macam budak-budaklah Bakhri." Tengku Hijazi menegur dengan gelengan kepala. Namun begitu, senyuman nipis masih terukir di bibirnya.

Tanpa berlengah lagi, Tengku Ahmed segera melabuhkan punggungnya ke atas lantai di hadapan kedua saudaranya yang duduk di atas sofa. Gayanya sangatlah tidak bersifat keputeraan yang mana boleh mengundang marah jika dilihat oleh guru etika diraja miliknya.

"Hmm, yalah-yalah saya mengalah. Lagi pun sekarang ini kita perlu lihat sama ada Dayang Ina akan menerima atau tidak. Selepas itu, penerimaan hubungan ini dengan negara yang lain. Pada pendapat saya, Lembayung Merah masih boleh dibawa berbincang tetapi Sutera Kuning itu..." Tengku Ahmed mati kata. Kepalanya yang tidak gatal digarunya sekejap.

Disebut sahaja nama dua negara itu, keluhan dapat didengari memenuhi kamar tersebut.

"Harus dibawa berbincang jua. Islam tidak melarang perkahwinan perbezaan darjat dan Sutera Kuning lagilah tidak layak untuk mempertikaikan perkara itu. Jika benarlah adanya perang hanya disebabkan 'dua penyatuan jiwa yang sememangnya manusia yang hadirnya dari Allah' tetapi 'berbeza darjat', memang akan kami tentang habis-habisan. Tidak muhasabah langsung." Tegas Tengku Hijazi menyatakan pendapatnya pula. Dia memandang keras ke arah dua saudara muda di hadapannya itu.

Shafhan dan Tengku Ahmed mengangguk faham. Benar apa yang diperkatakan oleh Tengku Hijazi, mereka tidak harus takut selagi perkara itu tidak dilarang dalam Islam malah caturan itu dicipta atas sebab untuk menjaga kedaulatan keluarga diraja. Benar, keturunan itu sebaiknya dikekalkan agar ada yang meneruskannya namun siapalah kita untuk mengawal hati yang dipegang sang pemilik hati?

"Sukar jika mahu berbicara dengan orang yang tidak sepelajaran dan lain pegangan dengan kita tetapi kita harus cuba." Bicara Tengku Ahmed bagi meyakinkan kata-kata saudaranya itu. Shafhan sekadar mengiyakan dengan anggukan sekali lagi.

Tok! Tok!

Bunyi ketukan pada pintu mengejutkan mereka bertiga. Masing-masing segera berdiri dan membetulkan pakaian diraja mereka agar terlihat kemas dan segak. 

Shafhan bergerak ke arah pintu dan bertanya. "Siapa ya?"

"Tuan Andika dan Tuan Tuah, tuanku." Jawab pengawal yang menjaga pintu tersebut.

Kerutan di dahi lantas menghiasi dahinya. Jarang sekali Tuah dan Andika sengaja mengganggu waktunya bersama saudaranya yang lain jika tiada hal yang mustahak. Ataupun, ada perkara yang harus dibincangkan bersama mereka bertiga.

"Oh, berikan mereka masuk." Shafhan berkata dengan lembut lalu kembali ke arah sofa.

Pintu kamar terbuka, Tuah dan Andika melangkah masuk dengan penuh berhati-hati. Masing-masing sedang memegang kertas yang tidak tahu isinya dengan penuh erat. Melangkah dan melangkah, akhirnya mereka berdiri di sisi sofa tunggal yang diduduki Shafhan.

"Ampun beribu-ribu ampun tuanku yang dirahmati Allah sekalian atas sebab mengganggu, ada sebab patik berdua hadir ke sini. Patik sarankan agar Tuan Putera Ahmed Bakhri dan Tuan Putera Hijazi Rasydan agar turut berada dalam perbincangan ini." Tuah bersuara serius.

Tengku Hijazi tersenyum nipis. "Boleh, tiada masalah. Lebih baik jika Tuan Tuah dan Tuan Andika mengambil dua kerusi di sana dan duduk bersama beta bertiga selain daripada berdiri." Cadangnya.

Tuah dan Andika mengangguk lekas dan melakukan seperti yang diarahkan. Kini, tiga putera di atas sofa tunggal masing-masing manakala Tuah dan Andika pula duduk di atas dua buah kerusi rotan, berhadapan dengan ketiga-tiga orang putera tersebut.

"Berkenaan apa perihal kali ini?" Soal Shafhan tanpa senyuman.

Keluhan kecil Andika lepaskan sebelum memandang Shafhan dan kedua saudaranya dengan pandangan serius. Pegangan Tuah pada kertasnya pula semakin erat.

"Berkenaan Cik Muda Aleya dari negara Lembayung Merah."

Hati Patik Sudah Dicuri, Hati Tuanku Bila Lagi?Where stories live. Discover now