👑~ III : 3 ~👑

714 73 4
                                    

Berita mengenai kehadiran seseorang telah tersebar di dalam istana dan perkara itu membuatkan Zarina berasa bingung. Apakah cerita yang menjadi sensasi sekarang ini?

"Sahabatku, Rabiha. Boleh hamba bertanya akan sesuatu?" Soal Zarina setelah berjam-jam mengelilingi istana bagi mencari kewujudan sahabatnya itu.

Rabiha yang sedang menyusun bunga itu menoleh ke arah sahabatnya yang hadir dari belakang. "Ya, Zarina? Apakah tujuan tuan hamba datang sejauh dua bangunan ini bagi berjumpa hamba?"

Zarina mendekati Rabiha yang sudah bersedia untuk mendengar. "Mengapakah keadaan di istana ini kecoh belaka? Apakah yang akan berlaku pada hari ini?" Soalnya.

"Hari ini, putera sulung yang mana merupakan pewaris takhta seterusnya akan berangkat pulang. Oleh itu, kami telah diarahkan oleh baginda Tuanku Shahir untuk menghias istana bagi menyambut kepulangan Putera Shafhan."

Mendengarkan jawapan Rabiha itu, Zarina mengangguk faham. Namun, diamnya tidak lama sebelum bertanya semula. "Bagaimanakah rupanya si putera itu?"

"Hamba tidak tahu, duhai sahabat. Tiada seorang pun warga istana yang pernah melihat wajahnya yang kini berusia dewasa. Hanya gambar sewaktu kecil miliknya sahaja yang masih tergantung di dinding-dinding istana." Balas Rabiha dengan lembut sekali.

Mujurlah Zarina mempunyai teman yang serba tahu. Dirinya yang sering ketinggalan ini merupakan satu kelemahan baginya.

Ataupun, adakah dayang-dayang istana ini yang cemburu akan dirinya? Maka, mereka tidak memberitahu kepadanya mengenai hal-hal penting istana.

"Dayang Ina, hamba mendapat cerita bahawa tuan hamba kerap menghilangkan diri sewaktu bekerja? Apakah benar?" Tanya Rabiha dalam nada berbisik.

Zarina memaparkan wajah terkejut. Dirinya curi tulang? Sungguh palsu dan dusta!

Setiap tahun, dialah yang sering mendapat anugerah daripada raja dan permaisuri sebagai dayang atau inang terbaik di istana.

Sudahlah istana cantik dikemasnya setiap hari, bilik beradu keluarga diraja dihiasnya setiap minggu dan kesejahteraan putera dan puteri berdua itu dijaganya dengan baik sekali.

"Hamba menghilangkan diri? Jikalau mereka berfikiran begitu, adakah mereka tidak pernah melihat hamba keluar dan mencari buah-buahan untuk dihidangkan kepada raja dan permaisuri?" Ujar Zarina seperti ingin marah.

Sudahlah separuh kerja di istana dilakukannya, malah dibuli pula dengan Tengku Shahmina kadang kala. Kini, orang berkata sebegitu tentangnya?

"Eh, jangan risau wahai sahabat. Organisasi dayang istana kami tahu bahawa dayang Ina tidak berbuat sedemikian! Semua cerita mengenai tuan hamba ini bermula daripada tuan puteri Shahmina." Tutur Rabiha dengan penuh bersemangat. Gayanya bagai mahu menceriakan Zarina.

"Benar, dayang Ina. Hamba pun tidak faham bagaimanakah berita itu mampu tersebar." Muncul seorang dayang dari balik pintu yang berada berdekatan dengan mereka.

Walaupun terkejut dengan kehadiran insan lain itu, Zarina masih cuba untuk mengekalkan wajah yang tenang seraya mengangguk faham.

Bagi menghilangkan kegusaran dalam diri, dia memberi senyuman lebar sebelum meminta diri. Kakinya dilangkah menuju ke pagar istana bagi membantu mereka yang lain di sana. Kini, dia akan menyambung tugasnya yang tergendala akibat merentasi bangunan bagi mencari Rabiha.

"Za-ri-na!!" Satu suara menjerit sebaik sahaja pintu istana yang terbuka memaparkan susuk Zarina yang melangkah keluar. Terkejut gadis itu apabila suara itu memanggilnya kuat dari arah pagar istana yang dikawal ketat oleh para pengawal.

Terkedek-kedek Zarina berlari ke arah pagar dengan kain yang diangkat sedikit. Dia tersenyum sambil mendekati pemuda itu. Kemudian, dia menoleh ke salah seorang pengawal yang menjaga pagar. "Boleh benarkan bapa hamba masuk buat seketika?"

Hati Patik Sudah Dicuri, Hati Tuanku Bila Lagi?Kde žijí příběhy. Začni objevovat