"Tapi Razia—"

"Pasal Kak Dibah, Razia jangan risau, abang dah maklumkan pada dia sendiri. Dan Kak Dibah pun, dah bagi lampu hijau pada abang. Tak ada alasan lagi untuk Razia menolak, " cantas Harith sebelum sempat Razia menghabiskan ayatnya.

Mata Razia sedikit meluas. Mulutnya ternganga. Terkejut habis. "Macam mana abang boleh—"

"Bila kita nakkan sesuatu, kita mesti usaha kan?" balas Harith sambil dia tersenyum bangga. Mujur ada Malik dan Mirza yang menjadi asbab utama Harith dapat keizinan dari Kak Dibah. Malik dan Mirza lah orang yang bertanggungjawab memberikan nombor telefon Kak Dibah kepada Harith.

"Boleh tu boleh. Tapi lepas gerai tutup la. Razia kena jaga gerai ni dulu. Abang okey ke?" kata Razia serbasalah.

Harith senyum tipis. "Boleh Razia... Abang sanggup tunggu. Sampai bila-bila pun, abang sanggup tunggu. Kalau untuk Razia, jawapannya, ya boleh."

Razia terkedu. Pantas, dia menundukkan wajahnya semula. Wajahnya sudah memerah padam menahan malu. Isy, Harith ni...

"Abang ni memang sejenis lelaki yang bermulut manis ya?" soal Razia polos. Entah kenapa, tiba-tiba soalan itu terpacul keluar dari bibirnya. Mana tidaknya, dari tadi lagi, apa yang keluar dari mulut Harith, pasti akan membuatkan jantung Razia seakan mahu meletup keluar. Tak senang duduk dibuatnya.

Seketika, tawa Harith terhambur disitu. Soalan yang diajukan Razia tadi buatkan Harith geli hati. "Razia kena tahu satu benda, yang abang bukan lelaki yang mulut manis. Dan abang tak akan sesekali jadi macam tu," kata Harith.

Dahi Razia berkerut. "Kenapa?"

"Sebab abang selalu dengar, perempuan takut dengan lelaki yang bermulut manis. Kata mereka, lelaki ni awal-awal aje mulut manis, tapi bila lama-lama dia berubah. Sekadar bagi harapan palsu pada mereka. Dan abang sebagai lelaki, abang tak nafikan benda tu. Sebab itu, abang cuba elakkan..."

Razia terdiam. Kepalanya dianggukkan beberapa kali. Tapi, entah kenapa dalam hatinya masih mengatakan yang Harith ada ciri-ciri lelaki bermulut manis? Atau hanya dia yang salah mentafsir?

"Razia rasa abang mulut manis ke?"

Soalan dari Harith buatkan Razia terkedu. Wajahnya diangkat sambil keningnya sedikit bertaut. "Huh? Tak... Tak ada," dalih Razia gagap.

"Apa yang membuatkan Razia fikir abang ni mulut manis?" Harith seakan mendesak masih dengan soalan yang sama.

Dan soalan itu, buatkan Razia terkedu. Jujur, dia sendiri tidak tahu nak terangkan bagaimana.

"Razia malu bila abang cakap macam tu dengan Razia..." gumam Razia sambil menundukkan kepalanya.

Tanpa sedar, Harith melepaskan ketawa halus.  Kemudian, dia tersenyum manis pada Razia.
"Pandang abang Razia..." pinta Harith lembut.

Razia termangu. Perlahan-lahan dia mendogak seperti yang diarahkan. Namun, seketika, keadaan berubah sunyi buat beberapa saat sebelum Harith mula bersuara.

"Razia malu? Bermakna, abang dah berjaya buat hati Razia berbunga-bunga lah?" soal Harith sambil tersengih lebar. Sesekali, kening lebatnya terjungkit sedikit.

Razia terus mencebik dan merengus geram. "Tengok tu... Sebab itulah Razia cakap abang ni lelaki mulut manis..." bentak Razia geram.

Harith mengekeh ketawa disitu. "Abang gurau aje... Kalau dah tak ada apa-apa, abang kena gerak dulu. Nanti lewat pula. Razia jangan lupa ya janji kita petang ni," pesan Harith sekali lagi. Saja mahu memperingatkan.

Razia mengangguk kecil. Dia ingat. "Abang taknak bungkus apa-apa ke sebelum pergi?" soal Razia sambil jari telunjuknya dihalakan ke arah makanan di hadapannya.

RAZIA [ C ]Dove le storie prendono vita. Scoprilo ora