BAB 10

26 4 0
                                    

"MAI... kita pergi sana balik hari ke?"

Mendapatkan soalan Aryana itu, aku mengangguk. "Dah tukar fikiran. Aku tak jadi nak bom rumah sana. Aku memang nak pergi library. Sebab tu aku suruh kau bawa buku untuk study."

"Okey... lepas tu apa guna kau beria pujuk ibu?"

"Sebab memang itu niat aku semalam. Pagi ni, aku ubah fikiran. Lagipun bila fikir semula, aku risau ibu kena balik dengan perempuan tu. Kau tahu, kan perangai Mummy Sara tu macam mana? Dia tu memang tak boleh orang dapat lebih daripada dia. Kalau boleh ikat laki dia, dah lama dia ikat laki dia tu." Aku geleng kepala. Memikirkan bagaimana perangai Mummy Sara membuatkan aku menarik nafas panjang.

Sudahlah perampas, tak mengenang budi dan berterima kasih pula tu!

"Aku tak fahamlah mak tiri kau tu. Tak reti bersyukur ke? Dia fikir, dia bagus sangat bermegah-megah macam tu? Sudahlah kikis duit laki orang lain!" kali ini Aryana pula menggeleng.

Aku boleh katakan yang perangai aku dan Aryana boleh tahan sama jika mahu dibandingkan dengan Zulaikha. Kerana aku tahu, jika Zulaikha tahu aku bercakap belakang tentang Mummy Sara, pasti aku akan diceramahi olehnya. Dan disebabkan perkara itu, aku lebih selesa dan banyak bercerita tentang Mummy Sara pada Aryana berbanding Zulaikha. Ini bukan bermakna aku berat sebelah, tetapi kerana aku bercerita mengikut topik yang akan aku ceritakan.

Jika aku mahu membuka topik tentang motivasi dan pelajaran, aku akan datang pada Zulaikha. Tetapi jika aku mahu bergosip, aku akan mencari Aryana. Tidak dapat dinafikan yang Zulaikha juga kadang-kala suka bergosip tetapi sahabatku yang seorang itu lebih suka mendiamkan diri dan mendengar. Sungguh aku katakan, aku tidak suka jika aku bercerita tetapi tidak mendapat respon. Aku tahu yang tidak semua perkara perlu diberi tindak balas tetapi... entahlah. Itu aku. Aku memang tidak suka bercerita tanpa respon atau reaksi. Rasa macam bercakap dengan tiang, tahu?

Namun walau apa pun, Zulaikha tetap sahabat aku! Itu pasti!

Berhenti sahaja teksi yang kami naiki untuk ke perpustakaan awam, aku membuat pembayaran untukku dan Aryana. Yalah, aku sudah mengajaknya untuk menemani aku, apa salah salahnya aku belanja dia, kan?

"Nak singgah mana-mana dulu tak? Lapar. Milo pun jadilah." Aryana memegang perutnya dengan muka cemberut.

Aku memutarkan bola mata. "Memang suka, kan? Dah sampai baru nak cari macam-macam."

Aryana tersengih. "Bolehlah..." dia memujuk lagi.

"Eish! Yalah, yalah, jom!"

"Yeay!"

──────⊱◈◈◈⊰───────

"WAHHH... kenyang gila!" Aryana mengusap perutnya dengan muka yang sangat berpuas hati. Manakala aku pula, hanya menggelengkan kepala melihat tingkahnya yang tidak semenggah itu.

"Nak singgah mana lagi?"

"Tak ada!" dengan penuh yakin, Aryana membalas.

"Betul?" aku bertanya, meminta kepastian. Yalah, tak memasal aje aku kena ikut dia ke sana dan ke sini nanti. Jujur, aku tidak kisah. Tetapi Aryana ni jenis yang suka buat kerja di saat-saat akhir. Sebab itu aku geram!

"Yup!" kepala diangguk.

Setelah itu, aku dan Aryana berjalan bersama ke pintu masuk perpustakaan selepas keluar daripada kafe yang sememangnya berada berdekatan dengan bangunan perpustakaan ini. Dan mungkin, memang sudah nasib aku pada hari ini, buat semua kerja separuh jalan. Kerana baru sahaja aku mahu masuk ke dalam bangunan perpustakaan, ada seseorang yang melanggar tubuhku dengan sangat kuat sehingga menyebabkan aku beserta buku-buku yang berada ditangan jatuh menyembah lantai.

[C] THE SECOND CHANCEWhere stories live. Discover now