BAB 2

46 6 0
                                    

"SEBUNGKUS untuk Zulaikha, sebungkus lagi untuk umi Zulaikha." Sebungkus plastik besar yang berisi dua bungkus mi diberi pada aku oleh ibu. Dengan senang hati, aku menyambutnya. Sempat ibu mengirim salamnya buat Zulaikha dan umi. Aku pula, hanya menerima pesanan ibu bersama anggukkan.

"Jom," ajak aku, pada Aryana.

Kami berdua mula berjalan kaki untuk ke Taska Seri Murni. Memandangkan jarak antara taska milik umi Zahara dan kedai ibu tidak jauh, maka tiada masalah untuk aku dan Aryana berjalan kaki untuk ke sana. Ditambah pula yang sebenarnya, kami bertiga duduk di kawasan perumahan yang sama. Dipendekkan cerita, kami bertiga merupakan jiran jarak jauh.

Semasa dalam perjalanan ke sana, kami berdua hanya mendiamkan diri kerana tiada topik yang ingin dibicarakan. Maka perjalanan kami berlalu dengan suasana yang sunyi lagikan sepi serta ditemani angin yang sekali-sekala, datang menyapa menyebabkan rambut aku bertebangan mengikut arah angin.

Apabila terasa bagai ada mata yang memandang, aku menoleh. Pandangan daripada Aryana membuatkan kening aku terangkat tinggi seolah-olah aku sedang meminta penjelasan daripadanya, mengapa dia memandang aku?

"Aku... nak tanya sikit tapi kau jangan terasa, eh?" pinta Aryana, ragu-ragu.

Sejujurnya, aku tidak tahu, bentuk soalan yang bagaimana Aryana mahu ajukan pada aku. Apa yang aku tahu, aku nampak, Aryana seakan ragu-ragu dengan perbuatannya itu.

Dah kenapa?

"Kau... tak nak pakai tudung?"

Habis sahaja soalan Aryana, satu helaan nafas panjang aku hasilkan. Dalam kalangan kami bertiga, hanya aku sahaja yang tidak mengenakan tudung. Aryana dan Zulaikha sudah lama mengenakan hijab saat pertama kali aku mengenali mereka. Cuma bezanya Aryana dan Zulaikha adalah, Aryana seorang yang suka memakai tudung yang singkat. Namun setelah mengenali Zulaikha, aku nampak perubahan pada Aryana. Tudungnya semakin dilabuhkan. Bahkan, dia juga acapkali memakai stokin dan juga sarung tangan saat keluar rumah walaupun kadang-kadang, Aryana terbabas dengan tidak memakainya, namun aku boleh nampak yang sahabat aku yang seorang ini sedang berubah.

"Tak nampak pelik ke kalau aku pakai tudung?" aku bertanya, hairan. Ragu-ragu sebenarnya.

"Eh, kenapa pula?" Aryana berkerut dahi.

"Yalah, orang dah biasa tengok aku tak bertudung. Tiba-tiba, aku pakai. Kan pelik tu."

Habis sahaja ayat aku, kedengaran Aryana mengeluh. Sebelah tangannya juga naik memicit kepalanya. Barangkali tidak dapat menerima pemikiran aku yang agak... cetek?

Mungkin.

"Mai... pakai tudung bukan sebab manusia, tahu?"

"Ya, tahu."

"Jadi? Kenapa kau nak fikir tentang pandangan manusia?"

Mendengarkan soalan itu, aku hanya mampu mendiamkan diri kerana apa yang dikatakan oleh Aryana memang betul. Kenapa aku mahu memikirkan pandangan manusia sedangkan hakikat yang sebenar, manusia itu sifatnya suka menghukum dan mengkritik. Mereka juga bahkan, tidak sempurna.

Hmmm...

"Tapi tak apa. Baby steps." Bahu aku ditepuk oleh Aryana bagai memberi semangat buat aku yang sedang bermuram durja tika ini.

Yalah, aku bukan tidak teringin. Cuma mungkin aku terlampau memikirkan tentang pandangan manusia terhadap aku sedangkan aku tidak sepatutnya memikirkan pandangan mereka.

"Alamak!"

Langkah kaki aku dan Aryana terhenti. Kami sama-sama menoleh ke arah belakang. Seorang lelaki yang sedang bersusah-payah mengutip kotak-kotak yang jatuh ke atas jalan tar, aku perhati tanpa berniat untuk membantu. Entah mengapa, melihatkan lelaki itu, aku berasa menyampah. Bersama lelaki itu. Terdapat cermin mata besar yang bersangkut pada kedua telinganya.

[C] THE SECOND CHANCEWhere stories live. Discover now