Prolog

156K 5.9K 996
                                    

Selepas pelayan restoran meletakkan sepinggan spaghetti carbonara yang dipesan sebentar tadi, terus aku capai garpu di sisi. Dicedok sedikit lalu aku pusing garfu sehingga spaghetti itu terlilit kemas sebelum disuakan ke mulut. Pandangan mataku mula bertaut dengan perempuan dihadapanku ini, napkin yang berada di atas riba aku ambil untuk mengelap mulut yang comot.

Suasana restoran aku perhatikan, satu saja yang aku dapat gambarkan. Sangat romantis, dari pencahayaannya yang malap, dari persekitarannya yang tenang dan dari bunyi yang datangnya daripada piano, sangat sesuai untuk pasangan kekasih atau suami isteri. Aku datang ke sini bukan bersama dengan orang yang istimewa tetapi dengan seteru utamaku, musuh dalam diam.

Aku pandang Ilya Humaira, isteri kepada bekas kekasihku dengan bersahaja. Dia sedang memotong steak sebelum disuakan ke mulut, bibirnya mengukirkan satu senyuman tatkala terpandangkan aku. Dari matanya aku dapat lihat sinar kebahagiaan terpancar di situ.

Senyuman yang dia berikan aku balas kembali. Mungkin nampaknya seperti palsu tapi itu saja yang mampu aku berikan, pandangan mataku mungkin sama seperti Ilya tapi itu hanya lakonan. Terselit duka dan kecewa disebaliknya dan ada dendam yang bersalut.

"Kenapa Kak Sya ajak Ilya datang sini?" Ilya bertanya ketika aku minum jus epal. Beza dua tahun pun berkakak bagai dengan aku.

"Patutnya datang dengan boyfriend."

Ilya gadis polos yang datangnya dari kampung dan kini sudah empat bulan menjadi isteri kepada bekas kekasih aku, Airil. Aturan keluarga membuatkan mereka bersatu dan aku ditinggalkan terkontang-kanting sendirian. Hubungan yang terjalin selama sepuluh tahun hancur begitu saja kerana dia.

"Memang aku nak datang dengan boyfriend tapi kau dah rampas dia. Macam mana ni Ilya?" Aku tanyakan soalan itu dengan senyuman yang herot di bibir.

"Hah?"

"Polos sangat kau ni."

Aku lihat dengan jelas air mukanya berubah, mungkin kerana aku mengatakan dia telah merampas kekasihku dan mungkin juga kerana perubahan aku bahasakan diri ketika bercakap dengannya. Aku cari kekuatan untuk rapat dengannya selama dua bulan namun aku sudah tidak mampu lagi. Ini adalah kemuncaknya.

"Airil mesti cakap yang aku ni cuma kawan dia kan?" Aku bertanya, memang itu yang Airil katakan ketika kali kedua aku bertemu Ilya.

"Ni kawan abang masa sekolah dulu."

Itu yang Airil katakan ketika dia kenalkan aku kepada Ilya. Aku akan ingat kata-kata itu selamanya. Kawan? Kawan ke kalau hari-hari cakap 'saya sayang awak', 'saya cintakan awak'? Sepuluh tahun dia ulang kalimah keramat itu sehingga aku angau tapi bila mama dia aturkan perkahwinan dengan Ilya terus cakap aku kawan dia. Kawan masa sekolah dulu.

"We are actually more than that." Aku berkata lagi untuk ceritakan hubungan sebenar aku dengan Airil.

"So? Kenapa kau cakap kat aku?"

Kata-katanya itu menjentik sedikit hatiku. Rupanya aku silap menilai, dia tak sepolos yang aku fikirkan. Hilang terus panggilan 'kakak'. Aku dikaburi dengan sikapnya yang lemah-lembut sehinggakan semut tak mati dipijak.

"He used to love me."

"So? He used to but not anymore, I'm the only one he loves."

Setiap bait bicaranya semakin mencabarku, riak wajah aku cuba kawal sehabis baik. Ilya sedang merenung tajam ke arah anak mataku. Jenis yang bukan mudah untuk disingkarkan.

"Kau ajak aku ke sini sebab nak cakap tu je? Aku dah tahu. Tengok cara kau pandang suami aku pun dah tahu. Tak boleh terima hakikat yang dia dah jadi suami aku? Terdesak sangat ke sampai nakkan hak orang?"

Sindirannya itu membuatkan bibirku tersenyum sinis. Tak sangka Ilya jenis yang macam ni. Dia lawan balik apa yang aku cakap.

"Kami bercinta masa sekolah lagi, kau yang perampas sekarang ni."

Kalau orang lihat dari kisah Ilya, akulah si antagonis dalam kisah dia dan Airil. Perampas yang inginkan kembali kekasih yang sudah punya keluarga sendiri. Orang ketiga yang akan menjadi racun antara si suami dan si isteri. Perosak rumah tangga yang sanggup lakukan apa saja untuk runtuhkan mahligai mereka.

Pernahkah orang tertanya-tanya kenapa si perampas inginkan kembali kekasih lamanya? Jawapan aku cuma satu kerana aku dulu yang bercinta dengannya. Aku yang setia selama sepuluh tahun tapi ditinggalkan begitu saja. Cinta yang aku berikan dihancurkan dalam sekelip mata sedangkan aku sentiasa perbaiki hubungan kami yang tak pernah retak.

"Tapi dia pilih aku untuk dihalalkan." Ilya berkata lagi. Suami dan isteri sama saja, sama-sama nak menyakitkan hati aku.

"Kau cuma masa lalu dan aku masa sekarang untuknya."

"Masa sekarang patut berjaga-jaga sekarang sebab masa lalu akan datang untuk ubah masa depan."

"Kau yang nampak macam perampas sekarang ni."

Itu yang Ilya katakan sebelum bangun dan berlalu pergi lalu hilang dari pandangan mataku. Tangan aku kepal lalu kuhentak ke atas meja, orang di sekeliling mula memandang ke arahku. Ini mengingatkan kembali kisah sembilan bulan yang lalu, kisah bermulanya detik aku dintinggalkan.

Kata-kata Ilya terngiang-ngiang di telingaku seiring kejadian sembilan bulan yang lalu. Keinginan untuk memiliki Airil semakin bertambah. Tak salahkan kalau aku ingin ambil kembali apa yang aku miliki dulu?

Bukan Untuk DimilikiWhere stories live. Discover now