BAB 74

943 32 1
                                    





———————————


Danny mengetuk pintu bilik tidur orang tuanya sekali lagi. Masih tiada sahutan. Dia menguap lagi. Jam di tangannya dikerling sekilas.

"Babah, babah dah bangun belum? Kata nak pergi solat subuh dekat masjid" ucap lelaki itu bersama kantuk yang masih bersisa. Setelah menunggu lebih dari tiga puluh saat, dia bertindak untuk memulas pintu bilik tidur itu.

"Babah.." panggil Danny lagi. Kelihatan ayahnya yang sedang terbaring di atas sejadah. Tangan kanan lelaki tua itu memegang tasbih dan tangan kirinya memegang bingkai gambar. Tanpa melihat gambar itu, Danny sendiri sudah tahu itu gambar siapa, pastilah itu gambar mamanya. Lelaki itu terus menyimpan senyum.

"Babah.." serunya sekali lagi. Kali ini dia tunduk sedikit dan bahu ayahnya dipegang. Danny tersentak. iPhone di tangannya terlepas dari genggamannya. Bersama sedikit gigilan di tangannya, dia terus mencari pergelangan tangan ayahnya. Nadi lelaki tua itu dicarinya.

"Bah.." Danny terus terduduk di samping ayahnya. Matanya masih membulat dan jantungnya berdegup laju. Tubuh Dato' Rahman terasa dingin dan lelaki tua itu langsung tidak bergerak apabila ditolak anak lelakinya. Air mata Danny mulai mengalir. Tangannya terus mencapai iPhonenya dan nombor abangnya didail.

"Hello? Kenapa Danny? Abang Riz ni" jawab lelaki di talian seakan berbisik.

"Ba..balik cepat. Ba..bah.." suara Danny berubah gagap dan sebak. Mulutnya ditekup.

"Babah kenapa Danny?" soal Mukhriz sedikit cemas.

"Ba..bah.."

"Cakap betul-betul, Danny." Belum sempat Danny mahu menjawab, kedengaran bunyi tembakan dari dalam talian dan talian itu terus terputus.


———————————


BAMMMM!! BAMMMM!!

Sarah terus jatuh ke lantai bersama tubuh ayahnya yang sudah tidak bernyawa. Wanita itu tersentak dan dengan spontan meleraikan pelukannya bersama Tan Sri Syazwan. Dia mengesot ke belakang. Tangannya yang basah dengan darah diperhati. Matanya semakin berair dan dia terus memandang ke arah Datin Salma yang juga sudah rebah di sisinya.

"Kak Salma!!" jerit Puan Sri Ruby kuat. Wanita 30-an itu terus berlari mendapatkan Datin Salma. Kepala wanita itu dipangkunya sambil matanya memandang ke arah tubuh suaminya yang sudah tidak lagi bergerak. Mukhriz dan Isaac yang sedari tadi berada di dapur terus berlari ke ruang tamu.

"Sayang.." Mukhriz terus menarik isterinya yang masih kaku di atas lantai ke dalam pelukannya manakala Isaac terus mendapatkan tubuh Tan Sri Syazwan. Nadi lelaki tua itu diperiksa dan dia memandang CCTV lalu menggeleng.

"Mama!!" Jeritan Niel memenuhi ruangan rumah itu. Dia terus menerpa ke arah Datin Salma yang sudah terbaring lemah. Berderau darahnya apabila tembakan Tan Sri Syazwan tersasar kepada ibu tirinya dan tanpa berfikir, dia turut memetik picu senjata yang dipegangnya ketika itu. Dia juga terkedu apabila melihat ibu tirinya menghalang lelaki tua itu daripada mencuba untuk membunuh diri tadi.

"Jangan tinggalkan Niel, ma!!" Tangisan lelaki itu semakin kuat.

"Ja..ga adik-adik. Ja..ngan.. ker..ja.. tu.. la..gi. Ma..ma.. sa..yang.. Niel.. Sa..rah.. dan.. Dan..ny" ucap wanita tua itu tersekat-sekat. Tangannya digagahkan untuk mengelus kepala anak tirinya.

"Ma.." panggil Sarah perlahan. Wanita itu terus memegang tangan ibunya.

"Ja..ngan.. sa..lah..kan pa.. pa" balas Datin Salma. Sarah terus teresak kuat. Dia memandang tubuh ayahnya yang berada dekat dengan Isaac di kirinya. Puan Sri Ayda dan Deena yang baru sahaja muncul di ruang tamu itu terus menerpa ke arah mereka semua dan memeluk belakang Sarah.

SARAH ✔️Where stories live. Discover now