Bab 29

233 49 10
                                    

"RM20,000.00, Mira?" Amar hampir terjerit tapi aku sempat memberi isyarat dengan melekatkan jari telunjuk di bibir.  Aku tak mahu mak dengar.

            Aku mengangguk.

            "RM20,000.00 untuk stok sebulan sahaja?  Mana kita nak dapat duit sebanyak itu setiap bulan, Mira?" Amar sudah mula menggeleng, lemah. "Aku nak mak sihat, tapi aku tak tahu mana nak dapatkan duit banyak macam tu.  Banyak sangat tu, Mira."

            "Aku tahu ..." balasku lemah.

            Amar sudah tersandar di kusyen dengan muka mendongak memandang siling rumah.  Selalunya Amar lebih tenang berbanding aku.  Tapi bila melibatkan duit yang mana sekarang tertanggung atas dia, aku lihat dia runsing. Alhamdulillah aku ambil keputusan khabarkan perkara ini pada waktu malam.  Kalau aku tidak sabar dan beritahu pada dia siang tadi, tentu dia tidak keruan.

            "Amar ..."

            Amar tidak menoleh ke arah aku.

            "Aku nak pergi jumpa Doktor Camelia. Nak tanya lebih lanjut tentang kos ubat ni.  Insya-Allah, ada jalannya tu nanti."

            Amar tegakkan kedudukan badannya. "Bila kau nak pergi, Mira?"

            "Esok aku telefon Doktor Camelia dulu, buat temujanji. Atau aku tanya dalam telefon je kalau dia tak keberatan menjawab."

            Amar angguk.  Wajah Amar betul-betul nampak runsing.

            "Amar, jangan rasa ini tanggungjawab kau seorang.  Walaupun aku sedang belajar, ia masih lagi tanggungjawab aku juga."

            "Masa berjalan pantas, Mira.  Mak dah di tahap empat.  Kau faham kan, Mira."

            "Amar, kan aku dah cakap.  Insya-Allah pasti ada jalannya. Allah tak akan biarkan hamba-Nya sendirian menyelesaikan masalah yang Dia aturkan.  Dia hanya nak uji kesabaran kita dan kepercayaan kita terhadap pertolongan Dia.  Kita hanya perlu percaya dan sabar."

            "Apa yang kau nampak dan aku tak nampak, Mira?"  Amar sudah bertenang sedikit.

            "Bukan hanya kita sahaja Amar yang lalui semua ini."

            "Maksud kau?"

            "Kita susah, tapi ada orang yang lebih susah dan menderita berbanding kita.  Sekurang-kurangnya dalam keluarga kita, kita ada rumah, ada pendidikan, kita masih muda, sihat dan kau ada kerja tetap.  Dan... kita masih ada mak. Walaupun kini, mak menghidap barah hati tahap empat.

            Aku percaya, ada orang yang tiada rumah tetap, hanya duduk menumpang di tanah orang dengan kondisi rumah yang rosak, tiada pendidikan, anak-anak masih kecil atau ada anak remaja tetapi tidak berupaya dan tiada kerja tetap dan juga memiliki ahli keluarga yang menghidap penyakit yang sama macam mak dan juga berada di tahap empat."

            Amar diam.  Cuba mencerna apa yang aku cuba sampaikan.

            "Bagaimana mereka teruskan hidup Amar? Aku percaya bahawa mereka ada mendapat bantuan perubatan daripada pihak-pihak tertentu. Kita baru menghadapinya hari ini, Amar.  Kita tak tahu apa-apa pun tentangnya. Kita hanya perlu berusaha untuk ambil tahu dan belajar daripada mereka yang sudah melaluinya.

Jangan putus asa.  Banyak jalan di hadapan kita.  Kita hanya perlu pilih satu jalan.  Jika silap, kita undur dan pilih jalan lain.  Jangan hanya duduk di jalan yang salah dan meratapi nasib.  Memang penat dan meletihkan.  Tetapi itulah tujuan hidup.  Diuji dan berusaha untuk menghadapi ujian itu.  Bukan meratapinya.

Amar AmiraWhere stories live. Discover now