Bab 20

647 94 13
                                    

Hati aku jadi tak tentu.  Aku tak sempat nak beritahu pada Ida secara berdepan, hanya sempat menitipkan nota di atas meja Ida.  Aku harap dia perasan nota kecil yang aku lekatkan.  Langkah kaki aku percepatkan.  Terik matahari yang memanah kepala sudah tidak lagi terasa.

"Mira ... mak kat hospital!"

Rasa bumi bagaikan berhenti berputar.  Rasa seolah-olah telinga disapa halilintar.  Jantung bagai direnggut hingga tidak lagi terasa berdenyut. "Kenapa dengan mak, Amar?  Hospital mana?" 

Kaki aku sudah longlai.  Lantai yang kupijak terasa tembus hingga tubuh jadi tidak seimbang.  Kepala katil aku pegang sebagai tempat berpaut sebelum aku jatuh terduduk di tepi katil.  Sudah tidak mampu untuk aku berdiri dengan kaki sendiri. 

Air mata sudah berjuraian turun.  Mendengar suara serak Amar yang bercampur tangisan juga menambah lagi rasa yang tidak menentu.  Takut, risau, sedih ... bercampur-baur semuanya.

Ya Allah, janganlah jadi apa-apa pada mak.  Mak ....

Orang di perhentian bas masih tidak begitu ramai. Kepala aku sudah terjengah-jengah mencari kelibat bas.  Aku menapak dari kolej ke perhentian bas di luar kampus sebab rasa lambat sangat untuk aku tunggu bas kampus masuk, berpusing-pusing di sekitar kampus.

Aku lebih rela berjalan jauh daripada menanti.  Dan bas awam juga nampaknya tidak mahu menyebelahi aku.  "Bas ni kalau ditunggu lambat pulak ...."

Tak mampu untuk aku sepi dari rungutan, walau sudah acapkali aku cuba untuk tidak merungut. 

Arwah ayah selalu berpesan.

"Jangan banyak mengeluh atau merungutIanya seolah-olah kita sedang marahkan Tuhan.  Setiap satu yang berlaku itu tiada satu pun yang terlepas daripada perhatian-Nya."

Tapi itulah, manusia.  Tidak pernah lepas dari berbuat dosa.  Ya Allah, ampunkan aku.  Maafkan Mira ayah.  Mira ....

"Mira?"

Aku menoleh.  Najmi!

"Kenapa?  Kau nak pergi mana pagi-pagi ni?"  Wajah Najmi nampak cuak.  Mungkin kerana melihatkan keadaan aku yang sudah tidak tentu arah.  Ibarat cacing kepanasan, ibarat pesalah menunggu hukuman.  Entah dari mana dia yang tiba-tiba muncul.

"Saya nak pergi hospital." Nada suara cuba aku kawal. Walau dalam hati sudah pun turun rintik-rintik hujan.

"Hospital? Hospital mana?  Siapa sakit?"

 "PPUM.  Mak ...." Dan memang aku tak boleh sebut nama mak saat ini.  Air mata yang kutahan turun juga meleleh di pipi.  Mula terbayang wajah cengkung mak, tubuh kurus mak yang sedang menahan kesakitan di hospital.

"Jom.  Aku hantar."

Aku hanya memandang Najmi. Ya Allah, macam mana ni?  Aku tak pernah walau sekali pun naik kereta atau motorsikal berdua dengan lelaki yang bukan mahram.

"Cepatlah.  Kereta aku kat tepi tu."

"Saya ...."

"Mira ...."

"Mak sakit Mira. Majikan mak telefon aku tadi.  Mak tiba-tiba je pengsan di kilang.  Mak kat hospital sekarang ni. Kat wad kecemasan. Aku dah ada kat lobi. Kau boleh datang sendiri tak?  Aku tak boleh tinggalkan mak.  Kena ada waris yang tunggu mak."

Kata-kata Amar berlegar dalam minda aku.

"Kena ada waris yang tunggu mak." Kenapa kena ada waris yang kena tunggu mak?  Mak tak apa-apa kan?  Mak hanya demam.  Mak hanya demam.

Amar AmiraWhere stories live. Discover now