Bab 25

636 90 3
                                    

"Assalammualaikum abang."

            "Waalaikumsalam, adik.  Adik abang sihat?" Ya Allah, sungguh aku rindukan mak dan Amar.  Minggu ini minggu peperiksaan.  Awal minggu aku sudah menelefon mak, mohon restu mak agar doakan aku.  Minta restu Amar walaupun tak perlu. Sebab, aku tahu doa Amar selalu ada untuk aku.

            "Alhamdulillah ... sihat.  Kau dan mak, macam mana?"

            "Alhamdulillah, sihat-sihat sahaja Mira.  Kau balik minggu ni, kan?  Dah mula cuti panjang, ya?  Nak aku jemput ke?"

            "Eh! Tak payah susah-susah.  Aku boleh naik bas."

            "Betul?"

            "Ya."

            "Kau tak balik dengan Najmi, kan?" Ada nada risau dalam pertanyaan Amar.

            "Insya-Allah, tak.  Kau kenal aku, kan?  Tempoh hari keadaan benar-benar mendesak.  Bas lambat dan aku terlalu risau kalau aku tak sempat jumpa mak.  Lagipun masa tu aku fikir, dia tu bekas komander aku.  Bukan orang yang entah siapa-siapa.  Aku memang ada berfikir juga sebelum aku terima pelawaan dia."

            "Baguslah Mira.  Biar kita dihina kerana tiada harta, tapi cuba elakkan daripada dihina kerana tiada maruah."

            "Amar ... mak mana? Macam mana keadaan mak?"

            "Sama macam masa mak balik dari hospital tempoh hari.  Mak banyak baring.  Keadaan mak lemah, hilang selera makan.  Mak makin kurus, Mira.  Bila aku dukung mak ke bilik air saat mak benar-benar lemah, aku dapat rasa berat badan mak kurang banyak."

            "Macam mana dengan kerja kau?  Tak susah ke asyik berulang ke rumah?  Bos kau tak kata apa ke?"

            "Alhamdulillah.  Allah kurniakan aku bos yang bertimbang rasa, Mira.  Dia beri aku waktu kerja yang fleksibel untuk aku bebas menguruskan mak, asalkan tugasan yang diberikan selesai mengikut jadual."

            "Syukur Amar.  Dalam kesulitan yang Allah beri, ada disertakan kemudahan.  Macam surah al-Insyirah ayat 5 dan 6. Segala-galanya yang tertulis itu, benar."

            "Bila kita pegang amanah kerja dengan baik, insya-Allah majikan percaya dan lebih bertimbang rasa.  Bos aku kata, sebab sebelum ni aku tak pernah berkira dalam urusan kerja yang diberi.  Kadang-kadang hujung minggu pun aku terima juga tugasan tanpa merungut.  Aku ganti orang pun aku tak bising. 

Sebab tu, bila mak sakit dan aku slow talk dengan dia, dia pun tak berkira sangat.  Dia bagi sumbangan, Mira.  Dan memang rezeki mak, bila kawan-kawan kat tempat kerja aku buat kutipan kilat untuk mak."

            "Amar ... Syukur, alhamdulillah.  Allah baik pada kita kan Amar?" Aku menahan tangis gembira.

            "Ya, Mira.  Allah baik sangat pada kita.  Walau tidak diberinya segedebuk puluhan ribu yang kita minta, tapi sedikit-sedikit pun sudah rasa bahagia.  Nampak kasih sayang Dia pada hamba seperti kita. Hamba yang tidak putus diuji oleh-Nya."

            "Tak apa Amar.  Andai kita bersyukur dengan yang sedikit, Dia akan tambah lagi."

            "Mira ... aku tak sabar nak tunggu kau balik.  Kau jaga diri."

            "Aku lebih lagi, Amar.  Aku rindu kau, aku rindu mak."

            "Mira ..."

            "Kenapa Amar?"

            "Kau ada rahsiakan apa-apa daripada aku ke?"

            Aku terdiam.  Kenapa Amar macam tahu? Ah! Aku selalu lupa yang dia, Amar adalah kembar aku.  Bukan hanya kembar pada nama, tetapi juga pada jiwa.

Amar AmiraWo Geschichten leben. Entdecke jetzt